Kad 'Touch & Go' yang sedia dipegang dihalakan ke arah mesin pembayaran tol automatik. Sekali diimbas, kereta sudah boleh melepasi tol berpalang itu. Papan tanda hijau yang tertulis nama daerah itu membuatkan aku lebih kemas menggenggam stereng kereta.
'Istighfar, cik kak oi!' Jerit hati aku. Semenjak bila kau jadi pengecut Cik Damia? Masalahnya, ini bukan hal pengecut atau tidak! Ini masalah apabila bertemu dengan keluarga. Faham atau tidak?
"Apa masalahnya? Jumpa keluarga dia saja,".
"Banyaklah saja! Keluarga bermaksud ada mak dia, kakak dia, adik dia! Faham?".
"Bukan patut banggakah? Dulu Rahman sorok kau daripada pengetahuan keluarga dia, kan? Ein bersemangat mahu temukan kau dengan mak dia. Benda elok kan?".
Apabila aku bermonolog dengan akal aku sendiri, kadang-kala betul juga. Bijak kau, akal! Terbayang pula raut wajah Rahman.
Sudah! Bukan masanya mahu mengenang kisah lama. Apabila kereta kian menghampiri lorong masuk ke rumah Ein, signal ke kanan aku beri. Lalai beri signal mahu masuk lorong, nanti ada kereta lain 'cium' bontot kereta aku. Hehe... Baiklah, cuba berlawak untuk tenangkan diri.
Jalan tanah merah yang hanya memuatkan sebuah kereta, dilalui berhati-hati. Takut terpijak ayam orang kampung. Nanti riuh satu kampung. Hoi, ayam harta orang kampung tahu! Kau orang bandar apa tahu? Hehehe..
Terpacak susuk tubuh yang tidak asing lagi pada pandanganku. Amboi, macam tetamu kehormat pula rasa apabila Ein sedang tercegat di hadapan rumah! Brek kaki dipijak dan brek tangan ditarik ke atas.
"Tok! Tok!".
Eh, cepatnya dia jalan! Bila pula dia tercegat di luar kereta? Ein memberikan isyarat supaya aku keluar tanpa mematikan enjin kereta.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikumsalam,".
"Keluar sat! Saya nak gostan kereta,".
Aku sekadar mengikut. Apabila aku keluar dari kereta, Ein mengambil alih tempat pemandu. Aku sekadar memandang.
"Pasaipa tercegat kat situ? Jom, masuk dulu awak! Tunggu kakak mai," tegur Ein apabila melihat aku kaku berdiri di tepi pagar. Aku tersengih.
'Dia saja buat-buat tak faham? Aku malulah!'.
Ein tersengih ke arah ku. Mungkin dia faham. Dia memberi isyarat supaya masuk ke dalam rumah. Perlahan-lahan aku menapak mendekatinya.
"Mak cik mana?".
"Mak ada di dapur. Eh, awak duduk dulu!".
Ein berlalu masuk ke dalam bilik. Kemudian keluar.
Eh, peninglah aku tengok dia ke sini dan ke sana!
"Yang awak berdiri macam patung tu pasaipa?".
"Err.... Nothing! Saya pergi tolong mak cik kat dapur!".
Ein mengangguk. Dia memerhati sahaja langkah aku. Kenapa kekok sangat Cik Damia?
"Assalamualaikum, mak cik,".
"Waalaikumsalam. Ha, Damia! Maaflah. Mak cik tengah kalut kat dapur ni,".
Aku menghampiri mak Ein dan bersalam dengannya.
"Ada apa-apa nak tolong ke, mak cik?".
"Takda pa dah. Tolong bawa masuk barang-barang dalam kereta dululah,".
Aku mengangguk. Adik bongsu Ein datang menghampiriku dan bersalam.
"Apa lagi nak bawa ni, Na?" soal aku kepada adik bongsu Ein.
"Takda pa dah. Semua dah letak atas meja kat luar,".
"Baiklah,".
Tanpa banyak bicara, aku melangkah ke luar rumah dan memasukkan semua barang-barang (makanan) ke dalam tempat simpan barang di belakang kereta.
Bunyi enjin motor menarik perhatian aku. Adik Ein yang kedua baru pulang dari sesuatu tempat. Aku pandang sekilas dan menoleh ke arah lain. Eh, bukan sombong ya! Aku malu mahu pandang lelaki lama-lama.
Seketika kemudian, bising suara Ein dan adiknya saling bertingkah.
"Hang ni la! Pi cari ikan lagi ka?".
"Ha la!".
"Hang nak ikut dak?".
".....,".
"Aku tanya hang nak ikut dak,".
"Nak!".
"Pi mandi! Da tau nak keluar balik lewat pasaipa,".
Baiklah, bunyi bahasa utara macam kasar. Alhamdulillah, belajar hampir lima tahun di utara membuatkan aku sudah biasa dengan dialek utara yang biasa-biasa. Kalau dialek sebelah Baling atau Kuala Nerang, yang itu aku belum kuasai lagi. Hehehe...
Bunyi deburan air mencuri perhatian aku. Spontan aku menoleh ke belakang. Pantas aku mengalihkan pandangan ke depan. Aduhai, malu pula aku! Adik Ein tengah mandi. Sopan tetapi aku malu. Panas muka tiba-tiba.
"Awak, kejap ya! Adik mandi,".
Aku mengangguk tanpa memandang Ein.
Berada dengan keluarga Ein, buatkan aku rasa tidak terasing. Rasa senang dan mudah untuk bergaul. Apa lagi kejutan semasa berkelah di Gunung Jerai nanti?
Comments
Post a Comment