Lembaran kerja murid-murid yang telah ditanda diperhati. Sebelum menulis refleksi p&p, semua hasil kerja dan lembaran kerja murid-murid diperiksa dan dinilai oleh guru. Damia tersenyum sendiri apabila melihat ayat-ayat yang telah dibina sendiri oleh murid-muridnya.
'Sabarlah Damia. Nak buat macam mana, loghat utara sudah sebati dengan mereka,'.
Satu persatu lembaran kerja diperhati semula.
"Awat cikgu ghenyih sorang2 ni?" tegur satu suara yang tidak asing pada pendengaran Damia. Dia mendongak dan melemparkan senyuman kepada Amran, muridnya yang paling tua dalam kalangan murid-murid yang lain.
"Cikgu ghenyih sebab tengok kerja kamulah, Amran. Lain kali tulisan bagi cantik sikit,".
"Haih, segan ceq cikgu! Banyak sangat cikgu bagi,".
Damia ketawa kecil mendengar keluhan Amran dalam dialek utaranya.
"Amran kenalah rajin,".
Amran menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
"Cikgu, saya pi dulu,".
"Nak pi mana?".
"Nak pi tunggu ayah,".
"Tunggu sajalah di dalam kelas,".
"Takpa aih cikgu. Kak Norma ada dok tunggu yang lain kat pondok jaga. Salam cikgu," ujar Amran dan menghampiri meja Damia untuk bersalam. Begitulah didikan yang telah diterapkan kepada anak-anak istimewa yang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran di sini. Tiba-tiba, Damia merindui anak kesayangannya.
"Hati-hati balik, Amran,".
Amran melambai-lambaikan tangan dan menutup pintu bilik guru dengan perlahan. Damia tersenyum sendiri.
"Sikit lagi Mia. Siap ni kita balik ya," omel Damia sendiri. Apabila bersendirian, dia lebih mudah untuk fokus.
"Amboi, rajin cikgu!".
Teguran seorang lelaki yang kemas berkemeja hijau muda dan berseluar slack hitam merencatkan kerja Damia. Dia tersenyum sebaik sahaja memandang ke arah lelaki itu.
"Biasa saja, cikgu. Tengah siapkan buku rancangan pengajaran harian ni. Sebelum balik nak serah pada Guru Besar,".
"Eloklah tu. Mana cikgu-cikgu dan pembantu murid?".
Damia memandang jam di dinding bilik guru.
"Kalau Cikgu Hamid dan Cikgu Hanim mereka pergi PPD, mesyuarat. Cikgu Jun dan yang lain tunggu murid-murid di pondok jaga rasanya,".
Cikgu Khalid mengangguk faham.
"Baiklah. Ingat nak habaq sesuatu. Kalau macam tu, minggu depan sajalah kita jumpa. Saya balik dulu, cikgu. Nak ambil anak. Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
Cikgu Khalid mengangguk dan keluar daripada bilik guru. Damia menyambung kerjanya yang masih bersisa.
Hampir lima belas minit, dia berjaya melengkapkan buku rancangan pengajaran harian untuk minggu ini.
"Alhamdulillah. Masa untuk berkemas, hantar buku ni dan balik!".
Sudah menjadi tabiat Damia bercakap sendirian.
Usai mengemas mejanya, dia menapak keluar bilik guru dan bergerak ke arah pejabat.
"Assalamualaikum," salam diberi sebaik sahaja Damia menghampiri Fauziah, kerani tadbir di sekolah ini. Wanita berusia 40-an itu menjawab salam sambil tersenyum manis.
"Cikgu Besar ada kak?".
"Cikgu Besar baru keluar, Damia. Awat?".
"Nak hantaq buku ni ha,".
"Masuk pi je,".
"Hehe... Terima kasih kak,".
Damia menjengukkan kepalanya di muka pintu bilik Guru Besar. Nampaknya rakan-rakan guru yang lain lebih awal menghantar buku rancangan pengajaran harian masing-masing. Berhati-hati dia mengatur langkah masuk ke dalam bilik Guru Besar. Buku rancangan pengajaran harian ditindan di atas lambakan buku yang lain. Namun masih tersusun kemas. 'Masa untuk pulang lang lang!' jerit Damia dalam hati. Dia menapak keluar dari bilik Guru Besar.
"Damia!".
Langkah kaki Damia terhenti sebaik sahaja namanya diseru oleh Fauziah. Damia memalingkan wajahnya ke arah wanita itu. Kening diangkat-angkat. Fauziah memberi isyarat, supaya menghampirinya.
'Ya Allah, janganlah mak cik ni ulang soalan yang sama bulan lepas!'.
Senyuman Fauziah membuatkan Damia dapat mengagak perkara yang bermain di benak wanita itu.
"Kakak ada saudara ni. Dia masih bujang, sebaya dengan kamu. Nak tak kenal dengan dia?".
'Aku dah agak dah! Bulan lepas anak jiran dia. Bulan ni saudara sendiri pula,'.
Damia tersengih. Dia menggaru-garu pipi montelnya yang tidak gatal. Mahu menolak, nanti melukakan perasaan Fauziah. Mahu menerima, dia sendiri tiada minat. Ah, susahnya!
"Eh, kak tanya hang ni! Mahu kenal dengan dia atau tidak?".
"Kak Fauziah yakin dia bujang lagi? Manalah tahu dia sudah ada pilihan hati tetapi dia tidak beritahu kakak," ujar Damia, cuba mencari jalan keluar. Fauziah mengeluh perlahan.
"Kakak tanya dah. Dia habaq dia bujang lagi. Dia nak kahwin dengan cikgu,".
Damia tersengih. 'Cari jalan lain, Mia!'.
"Kak bagi nombor kamu pada dia, ya?".
Terkebil-kebil Damia memandang Fauziah. Masya-Allah. Kes dengan Fauzan belum selesai, ini tambah kes baru pula. Namun untuk menolak, dia kasihan apabila melihat raut wajah Fauziah, terlalu mengharap.
"Ikut kakaklah. Nanti saya cuba kenal dulu,".
"Dia mesti suka kamu,".
"Tengok saya pun belum,".
Damia tersenyum tawar. Majoriti lelaki memandang rupa. Ah, biarkan! Lagi cepat saudara Fauziah kenal dan melihatnya, lagi cepat selesai masalah. Kuat benar Fauziah cuba mencari calon suami kepadanya.
"Saya balik dulu, kak,".
"Mia! Nama saudara kak tu Khairul,".
Damia mengangguk dan cepat-cepat mengatur langkah keluar daripada pejabat.
Penggera kereta ditekan. Sengaja Damia membuka pintu kereta di hadapan dan belakang, supaya haba yang terkepung dalam kereta keluar. Pada masa yang sama, enjin dihidupkan. Dia berdiri di luar kereta.
Telefon pintar di dalam beg tangan bergetar.
- Assalamualaikum, Cik Damia. Balik sekolah dah? Rindu.
Damia menghembus nafas perlahan. Ini seorang lagi. Bilakah agaknya dia mahu putus asa? Skrin telefon pintar digelapkan. Malas mahu membalas mesej Fauzan. Perkara yang lebih utama pada masa ini, dia mahu pulang dan berehat.
Comments
Post a Comment