Aminul Syafiq melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sesekali bibirnya bergerak-gerak perlahan sambil anak matanya terus melekat pada sesuatu tempat selama beberapa saat.
Suhaila sudah masak benar dengan tingkah laku anak saudaranya itu. Setiap kali melalui kawasan yang baru, Aminul Syafiq akan diam dan cuba menghafal arah jalan yang dilalui dan beberapa papan tanda serta bangunan yang memudahkan dia untuk mengingat laluan.
"Kenapa Syafiq suka hafal jalan dan bangunan-bangunan sekitar?".
"Ummi pesan, kalau melawat tempat baru, Syafiq kena belajar kenal dan ingat laluan yang dilalui. Nanti, kalau jadi apa-apa, sesat, Syafiq tak panik,".
Itulah jawapan yang diperoleh apabila Suhaila menyoal perilaku Aminul Syafiq. Bijaknya budak ini! Hampir tujuh tahun dia dibesarkan sendirian oleh Damia, ini hasilnya. Bayangkan kalau sampai sekarang Aminul Syafiq tinggal dan dididik oleh kakak iparnya itu? Apabila teringat perbuatan abangnya, rasa geram tiba-tiba singgah di hatinya.
'Ada abang pun tidak guna! Semenjak bila dia jadi begitu?'.
"Mak Acik, rumah ustaz nombor 13. Ni dah nombor 11," teguran Aminul Syafiq menyedarkan Suhaila daripada terus tenggelam dalam perasaan sendiri. Kelajuan kereta diperlahankan. Dia meniru perilaku Aminul Syafiq, memerhati ke arah kiri jalan, deretan rumah semi-d tersusun cantik. Apabila dia melihat nombor rumah 13, brek kereta dipijak.
"Betul ini rumah ustaz?".
Aminul Syafiq mengangguk, sambil menghulurkan sekeping kertas putih yang tercatat alamat rumah Ustaz Syafiq.
Suhaila menggangguk betul.
"Itu motor oren ustaz, Mak Acik. Betul ni," ujar Aminul Syafiq yakin.
"Baiklah. Jom, kita turun dan bagi salam dulu! Beg jangan bawa turun lagi, takut salah rumah,".
"Baik,".
Serentak mereka membuka tali pinggang keselamatan dan keluar dari kereta. Berhati-hati, Suhaila menapak ke arah pagar rumah sambil memimpin tangan Aminul Syafiq.
"Assalamualaikum,".
Sunyi. Tiada balasan. Pintu rumah pun tertutup rapat. Aminul Syafiq menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Mak Acik, senyap je,".
"Ustaz kamu tidur ke, Syafiq?".
"Cuba kita beri salam sama-sama, Mak Acik. Bergabung meletup!".
Suhaila ketawa kecil melihat ragam Aminul Syafiq. Aminul Syafiq membuat reaksi mengira kepada Suhaila.
"Assalamualaikum!".
Suara orang memberi salam merencatkan tumpuan lelaki berseluar trek itu untuk menonton televisyen. Dia bangkit dan menyelak sedikit langsir. Gadis mana pula yang berdiri di hadapan pagar rumahnya dan bawa anak pula?
"Woi, Syafiq!".
"Apa?".
Panggilannya disambut dari dapur.
"Hang ada marka?".
"Marka celah mana pula kau ni?" soal Syafiq yang baru keluar dari dapur.
"Hang mai sat tengok. Ada perempuan bagi salam kat luaq nu,".
Syafiq memandang Razak dari jauh dengan pandangan hairan. Perempuan? Syafiq mengintai dari tingkap sama yang diperhatikan oleh Razak.
"Oh, Aminul Syafiq! Itu murid akulah,".
"Oh, yang hang kata nak mai belajaq kat sini?".
"Ya,".
Tanpa banyak bicara, Syafiq menapak ke arah pintu rumah.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikumsalam,".
Aminul Syafiq tersenyum. Suhaila menarik nafas lega apabila melihat susuk tubuh lelaki itu.
"Ha, kan betul Mak Acik! Ini rumah ustaz. Syafiq ambil beg sekarang, ya,".
"Baiklah, sayang,".
"Maaflah, cik. Saya tengah masak tadi. Tak dengar pula orang bagi salam,".
Pintu pagar dibuka.
"Takpe, ustaz. Maaf ya, ustaz. Susahkan ustaz pula hujung minggu begini,".
"Tiada masalah, cik. Lagipun bujang, takde kerja sangat nak buat,".
"Mak sampaikan salam. Dia kata, harap ustaz sabar dengan Syafiq. Harap ustaz fahamlah keadaan Syafiq,".
"Ya Allah, perkara kecil sahaja cik,".
Suhaila dan Syafiq terdiam.
"Mak Acik, salam!".
Aminul Syafiq menghulurkan tangan dan disambut oleh Suhaila.
"Syafiq jaga diri tahu. Jangan susahkan ustaz banyak sangat. Mak Acik tahu Syafiq nakal, beritahu nenek!".
Aminul Syafiq tersengih.
"Syafiq, buah tangan untuk ustaz mana?".
Aminul Syafiq menepuh dahi. Kemudian dia berlari-lari anak masuk ke dalam kereta semula.
"Nah, kek coklat untuk ustaz!" ujar Aminul Syafiq sambil menghulurkan plastik biru yang mengandungi bekas plastik bulat. Syafiq terkedu.
"Siapa buat ni?".
"Ini nenek buat. Nenek pesan, ini resepi sama macam ummi pernah buat dulu untuk ustaz,".
Syafiq terkejut. Malu pada Suhaila. Apabila melihat air muka Suhaila yang hairan, fahamlah Syafiq bahawa gadis itu tidak memahami maksud ayat Aminul Syafiq.
"Jom, kita masuk Aminul!" ajak Syafiq, berusaha untuk mengalihkan topik kek coklat.
"Err... saya balik dulu ustaz,".
Suhaila mengatur langkah ke arah kereta dan masuk ke dalam kereta.
Syafiq dan Aminul Syafiq masih berdiri di pagar. Aminul Syafiq melambai-lambaikan tangan ke arah Suhaila.
Mereka berdiri di pagar sehingga kelibat kereta Suhaila hilang daripada pandangan.
"Jom, masuk!".
"Jom!".
"Kamu sudah makan tengah hari?".
Aminul Syafiq mengangguk. Syafiq mengerling pada beg plastik yang berada di tangan kanannya. Kek coklat. Dia tersenyum sendiri.
Comments
Post a Comment