Usai menunaikan solat Subuh, sejadah dilipat kemas dan diletakkan di birai katil. Kedinginan suhu di kawasan peranginan itu cukup untuk membuatkan wanita itu memeluk tubuh sendiri. Sebatang tubuh yang sedang enak dibuai mimpi dipandang sekilas. Dia sudah sedia maklum bahawa sahabatnya itu uzur. Sengaja dia membiarkan gadis kelahiran Pahang itu tidur lebih lama. Telefon pintar miliknya bergegar.
- Selamat pagi dunia dan Assalamualaikum bambam kesayangan!
Dahi Damia berkerut, geli dengan panggilan manja yang diberikan kepadanya. Seketika kemudian, dia tersenyum sendiri.
- Waalaikummusalam. Awal bangun.
Damia teragak-agak mahu menekan butang 'Hantar'. Baru sahaja dia menghantar pesanan ringkas itu, telefon pintarnya sekali lagi bergetar. Kali ini panggilan daripada seseorang.
"Hai,".
"Hai,".
Masing-masing sepi seketika. 'Eh, dia pula yang diam!' omel Damia dalam hati. Apa motif menelefon kalau diam?
Lidahnya terkelu. Terpana mendengar suara wanita itu. Berbeza pula rasanya berbalas mesej dengan berbual.
"Hai, encik! Kenapa diam?".
"Suara awak menggoda sangat,".
Sepi. Tiada balasan. Fauzan menepuk dahinya sendiri. Dia terluah bicara hatinya.
"Kamu berdua dah bangun? Jom, sarapan!" ujar Fauzan, cuba menutup rasa malunya sendiri dan meleraikan kebisuan antara mereka.
"Saya bangun dah encik. Hanim belum lagi,".
Fauzan mengeluh perlahan. 'Kalau ikutkan hati, nak aku keluar berdua dengan Damia! Alang pun satu hal, kalau tidur, tidur mati!'.
"Encik?".
"Ya?".
"Jadi?".
"Kejutkan dia. Dalam satu jam kita jumpa di lobi hotel,".
"Baik, encik,".
"Damia, jangan panggil saya encik. Panggil Fauzan,".
"Baik, encik,".
"Fauzan!".
"Err..... Baiklah, F.... Fauzan,".
"Bagus. Jumpa nanti. Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
Talian diputuskan. Fauzan tersenyum puas. Sementara menunggu Damia dan Hanim bersiap, dia kembali merebahkan badan di atas katil. Siling hotel direnung kosong.
Jelas bukan dia sebenarnya punya hati pada Damia? Mudahnya lagi Damia sahabat adiknya, Hanim.
"Angah nak berkawan dengan Damia? Kenapa?".
Fauzan teringat semula reaksi pertama Hanim apabila dia menyatakan hasrat untuk mengenali dan berkawan dengan Damia.
"Angah bujang lagi ni. Tak salah mahu berkenalan kan?".
"Tolong sikit, angah. Awak tu duda. Jangan perasan bujang sangat,".
Fauzan menunjukkan penumbuknya ke arah Hanim. Ibu dan along ketawa kecil mendengar usikan Hanim.
"Ibu, boleh tak Fauzan nak kenal dengan kawan Hanim?".
"Siapa?".
"Angah ni ibu. Nak kenal Damia,".
Junaidah terdiam seketika. Cuba mengingati raut wajah Damia.
"Ibu ingat tak kawan Hanim, Damia? Yang datang beraya di sini tahun lepas,".
"Oh, yang badan sedap tu?".
Hanim tersenyum.
"Kamu bersungguh ke ni Fauzan?".
"Ya, ibu. Ibu kenalkan anak lelaki ibu ni,".
"Sebab ibu kenal kamulah ibu tanya ni,".
"Kenapa ibu? Ibu tak suka?".
"Bukan tak suka,".
"Habis tu?".
Junaidah tersenyum. Sebenarnya dia tahu rahsia Damia. Itu pun Hanim yang cerita.
"Sebab Fauzan duda?".
Junaidah memandang Hanim. Pandangan yang hanya difahami oleh mereka berdua. Fauzan rasa tidak puas hati apabila ibu dan Hanim bermain mata.
"Apa ni ibu, Hanim?".
"Beginilah Fauzan. Ibu izinkan kalau kamu nak berkenalan dengan Damia. Namun kenal dia betul-betul. Ibu suka dengan Damia tu,".
"Jadi apa masalahnya?".
"Masalahnya angah yang disayangi, Damia tu minat dekat angah ke?".
Hanim tersengih seperti kerang busuk. Fauzan mengetap bibir.
"Jadi, adik kesayangan angah ni kenalah main peranan!".
Bayu pagi yang berhembus perlahan menyapa kulit wajah Damia. Berbulan-bulan sibuk di sekolah, inilah masa yang sesuai untuk melepaskan lelah. Skrin telefon pintar ditatap sayu. Terpapar gambar seorang kanak-kanak lelaki yang tersenyum comel.
'Jangan nangis, Damia. Jangan! Kau kena kuat,' desis hatinya. Cuba untuk menahan tangis dan rasa rindu.
"Jom, Mia! Angah dah tunggu di bawah,".
Teguran Hanim memeranjatkan Damia. Spontan dia menekan butang di sisi telefon pintarnya dan skrin terus gelap. Hanim tersengih.
"Rindu cinta hati?".
Damia cuba tersenyum, menahan rasa rindu yang tiba-tiba menggila. Dia mengangguk. Hanimlah sahabatnya yang tahu mengenai kisah silamnya.
Tanpa diminta, Hanim menghampirinya dan memeluk batang tubuh Damia. "Awak jangan sedih ya, sayang! Saya ada,".
Damia membalas pelukan Hanim.
"Angah pun ada," bisik Hanim lalu tersenyum nakal.
Pantas Damia mencubit lembut pinggang Hanim, menyebabkan gadis itu menjerit kecil.
Sesekali Fauzan memandang jam di pergelangan. Perutnya sudah berkeroncong. Sesekali dia melemparkan pandangan ke arah lif. Apabila seraut wajah menjengah ke dalam benaknya, Fauzan memandang refleksi tubuhnya pada cermin yang tersedia di lobi hotel.
Yakin dengan penampilan dirinya, dia tersenyum lega.
'Apa kenalah dengan kau ni, Fauzan? Macam orang jatuh cinta tahu tak?'. Fauzan menggeleng sendiri.
"Hai, angah!".
Fauzan terkejut dengan sergahan Hanim, yang tiba-tiba muncul dari tepi.
"Tak reti bagi salam?".
"Assalamualaikum, angah yang disayangi. Patik sudah membawa tuan puteri turun dari singgahsana," perli Hanim dengan bahasanya yang tunggang-langgang. Fauzan memandang ke arah Damia. Wanita itu sedang menahan ketawa. Entahkan sebab melihat reaksi dia terkejut atau kerana melihat perbalahan kecil mereka berdua.
'Ya Allah, comel!'.
Hanim memetik jari di hadapan wajah Fauzan. Tindakan Hanim menyebabkan Fauzan mengetap bibirnya.
"Jangan pandang lama-lama. Nanti jatuh cinta,".
Damia tertunduk malu.
"Mengadalah kamu, Hanim! Angah lapar ni. Jom, makan!".
Fauzan sengaja berjalan mendahului mereka. Cuba untuk bertenang.
Pemandang hijau di kawasan tanah tinggi itu menarik perhatian Damia.
"Mia pernah datang sini?".
"Tak pernah, encik,".
"Ehem!".
Baru Damia tersedar sesuatu.
"F..Fauzan pernah datang sini?".
"Pernah, dengan ibu,".
"Oh! Kenapa tak ajak ibu sekali? Mesti seronokkan kalau ibu ikut kita juga,".
Damia sudah biasa memanggil Junaidah 'ibu'. Semenjak kali pertama dia dan Hanim berkawan. Dengan lebih tepat, semenjak kai pertama Junaidah mengetahui rahsia Damia.
Fauzan ketawa kecil.
"Ibu ada janji temu dengan kawan-kawan persatuan dia. Lagipun saya dapat cuti masa ni je,".
Termuncung-muncung bibir Damia.
"Angah sengaja ambil cuti masa kita cuti, Mia," celah Hanim yang dari tadi hanya mendiamkan diri. Dia geram melihat angah yang lambat bertindak. Kerja dia asyik curi-curi pandang Damia yang duduk di sebelahnya.
'Payah ada abang lambat macam dia ni!'.
Fauzan memandang Hanim menggunakan cermin pandang belakang. Dia memberikan isyarat diam.
"Ya? Terima kasih ya, awak. Sebab sudi teman saya dan Hanim makan angin di sini,".
"Sama-sama. Lagipun ibu risau kalau awak dan Hanim pergi berdua je,".
Damia tersenyum.
'Boleh mencair dari dalam ni!'.
Stereng kerete digenggam kemas. Kali ini, dia tidak mampu untuk memandang wanita di sebelahnya.
"Mia, awak teman angah ya! Saya nak pergi jalan-jalan!".
"Hanim!" serentak Fauzan dan Damia memanggil gadis itu. Namun tidak dihiraukan dan semakin hilang daripada pandangan.
Mereka saling berpandangan. Fauzan menarik nafas dalam-dalam dan cuba bertenang. Memang tiada dalam perancangan.
"Damia, bagi peluang pada angah. Tolong, awak! Dia nak kenal awak sangat," kata-kata Hanim berdengung dalam benak Damia.
"Jadi, tinggal kita berdualah! Awak pernah datang sini?".
Terkebil-kebil Fauzan memandang Damia.
"Pe...pernah,".
"Jadi, awak kena bawa saya jalan-jalanlah! Kalau tengok peta kawasan ni, luas juga ya! Saya ingatkan ada ladang straberi saja,".
Fauzan memandang ke arah peta yang sedang dipandang oleh Damia. Nampaknya wanita itu cuba mewujudkan suasana yang harmoni.
'Be cool, Fauzan! Inilah masa kau nak kenal dengan dia!'.
"Cik Damia larat nak keliling kawasan ni?".
"Hahaha.... Tengok oranglah! Bambam bukan sebarang bambam tahu!".
Fauzan dan Damia ketawa serentak. Dia tahu, wanita itu bukan jenis mudah terasa hati.
"Baiklah, Cik Damia. Disebabkan saya menjadi pemandu pelancong cik yang tidak bergaji, maka bolehlah kita meneruskan perjalanan kita sebelum ladang ni tutup,".
Damia ketawa melihat tingkah-laku Fauzan. Dia menapak beriringan dengan Fauzan, memulakan aktiviti mengelilingi ladang straberi itu.
Nun jauh di satu sudut, sepasang mata yang semenjak awal mengintai mereka berdua. Kemudian, sebaris senyuman terukir di wajahnya.
"Angah, mohon guna kesempatan ini sebaik-baiknya! Terima kasih Damia!".
Comments
Post a Comment