Manik-manik peluh di dahi disapu dengan belakang tapak tangan. Damia tersenyum lega apabila melihat lakaran-lakaran pada dinding semakin berseri apabila dicat. Tinggal beberapa lakaran lagi yang perlu dicat.
"Amboi, rajin aih Cikgu Damia kita ni! Panas lit-lit dok buat kerja mengecat lagi," tegur satu suara. Damia menoleh ke belakang. Dia tersengih.
"Buat sikit demi sikit, kak. Nanti tak tertangguh projek mural ni,".
"Ha, betul tu! Pasaipa sampai lagu ni jadi tudung ni? Nanti nak cuci payah,".
Damia memandang tudungnya sendiri kemudian dia ketawa. Tudung labuh itu memang sudah sedia rosak semenjak kali pertama dia mengecat dinding sekolah. Jadi dia terus menyimpan tudung yang sudah terkena cat untuk aktiviti-aktiviti mengecat seperti sekarang.
"Tak susah kak. Tudung ni memang saya simpan untuk mengecat,".
"Oh, ha takpa la! Kak naik atas dulu,".
"Baik, kak,".
Dia memandang semula dinding yang baru dicat. Matahari semakin tegak di atas kepala. 'Berhentilah dulu. Sambung lepas Zohor,' bisik hati Damia.
"Damia!".
Hampir gugur jantungnya apabila namanya diseru dan bahunya ditepuk dari belakang. Fauziah masih ada di situ.
"Ya Allah, terkejut saya kak!".
"Awat? Hang ingat hantu apa tengah hari lit-lit gini?".
"Hehehe.... Tadi kak kata nak naik pejabat. Ini tiba-tiba muncul menyergah, harimau pun terkencing kak,".
"Hahahahaha.... Hang pandailah auta! Ni, petang satgi saudara kak nak mai. Hang jumpa dia sat na?".
Damia memandang muka Fauziah yang berharap padanya.
"Siapa kak?".
"Ma sha Allah, budak ni! Khairul. Kamu lupa?".
Wanita itu tersengih.
"Qenyih pasaipa? Nanti jumpa dia sat!".
Baiklah. Itu bukan permintaan tetapi berubah kepada arahan. Belum sempat Damia membuka mulut, Fauziah sengaja menjarakkan diri daripada Damia. Kelibatnya hilang daripada pandangan. Mahu sahaja dia menghentakkan kepalanya di dinding tetapi apabila teringat bahawa dia baru sahaja selesai mengecat dan masih belum kering pun lagi cat di dinding, dia membatalkan niatnya. Terbantut niatnya mahu berhenti mengecat. Siapa pula Khairul? Benaknya sedang merencanakan sesuatu. Sesuatu apabila Khairul melihatnya, terus membatalkan niatnya mahu berkenalan dengan Damia. Dia memandang tudungnya yang dipenuhi dengan tompokan cat. Kemudian, dia tersengih sendiri.
"Baiklah! Teruskan mengecat!".
"Siapa Khairul tu, Cik Damia?" soal satu suara yang tidak asing pada pendengaran Damia.
'Mampus!' jerit Damia dalam hati. Perlahan-lahan, Damia mengangkat kepalanya dan menoleh ke arah kanan. Hanim berdiri memeluk tubuh sambil memandangnya. Sama ada pandangan penuh minat atau pandangan ragu-ragu, dia sendiri tidak dapat tafsir.
"Hehehe....,".
"Apa gelak-gelak? I am asking you, who is Khairul?".
"Sa.....saudara Kak Fauziah,".
"Are you dating him?".
"No!".
"Jadi apa maksud ayat Kak Fauziah tadi?".
Nafas ditarik dalam-dalam. Sarung tangan dibuang dan diletakkan di atas simen. Damia menghampiri Hanim dan dia memegang bahu sahabatnya itu. Ternyata rasa tidak puas hati terlakar di raut Hanim.
"Saya tak kenal siapa Khairul dan saya tak pernah jumpa dia,".
"Jadi?".
"Jadi.... Apa yang jadi? Saya tengah keliru ni,".
"Beritahu saja pada Kak Fauziah awak tengah merancang mahu kahwin dengan......,".
Bibir merah Hanim ditekupkan dengan tapak tangan. Habislah kalau cikgu-cikgu sekolah dengar. Dalam masa lima minit sahaja boleh tersebar! Damia membuat isyarat diam. Pada masa yang sama anak matanya meliar ke kawasan sekitar.
"Jangan pandai-pandai buat cerita! Pasal abang awak, kita cakap lain kali!".
Hanim menolak tangan Damia jauh dari mulutnya.
"Either you love my brother or not, you will be his!".
Damia terpaku. Mereka saling merenung. Tangan Damia masih di bahu Hanim.
"Awak.... Tak kisah saya jadi kakak ipar awak?".
"I don't mind and I love both of you,".
Apabila mendengar sebaris ayat yang diluahkan oleh Hanim, pipi Damia berubah rona. Hanim terkebil-kebil melihat reaksi sahabatnya itu.
'Ya Allah. Sebab ni kot angah jatuh hati pada Damia. Comel!'.
"Em... Pasal Khairul tu, bagi saya ruang untuk tolak dia. Biar dia lihat saya sendiri. Dalam keadaan seorang wanita gemuk yang disalut dengan cat,".
Hanim terdiam. Kadang-kadang, dia tidak tahu mahu mengelaskan sahabatnya itu dalam kategori perempuan yang mana, sama ada baik atau lurus bendul. Hanim mendengus perlahan.
"Baiklah. Make sure only angah can have you,".
"A...apa maksud ayat awak tu? Pergilah masuk kelas!".
Hanim ketawa kecil apabila melihat Damia malu. Mungkinkah dia punya rasa yang sama terhadap Fauzan?
"Awak takde kelas?".
"Hari ni sampai pukul sepuluh saja. Cikgu Khalid ambil alih sekejap. Ada urusan dengan budak-budak katanya,".
Apabila kelibat Hanim menghilang, Damia duduk di kaki lima bangunan. Semenjak akhir-akhir ini, Damia pantang sekiranya nama Fauzan disebut. Panasnya lain macam! Damia menampar lembut pipi montelnya. Dia perlu fokus untuk misi seterusnya!
Pintu van ditutup rapat. Bahang mentari tengah hari terasa di setiap inci kulitnya yang terdedah. Kawasan sekolah agak sunyi. Jam di pergelangan di pandang sekilas.
"3.00 petang. Budak-budak dah balik masa ni biasanya,".
Nafas ditarik dalam-dalam. Kalau bukan kerana ibu saudaranya meminta batuan, tidak mahu dia menjejakkan kaki di situ. Bukan ada kisah luka lama di situ tetapi dia faham helah Mak Langnya.
"Eh, kamu datang je la! Boleh kenal dengan cikgu bujang di sini,".
Ayat perintah yang dikeluarkan oleh Fauziah pagi tadi memang jelas. Semenjak sebulan yang lalu, Fauziah sering menyebut nama seorang guru di hadapan dia dan keluarganya. Namun dia ingat-ingat lupa. Kalau tidak berminat, nama pun boleh lupa!
"Assalamualaikum, Mak Lang. Saya dah sampai ni,".
"Waalaikumsalam. Ha, bagus! Hang pi tolong ambil komputer dekat bilik guru PPKI,".
"Ha, mana pula bilik guru PKKI?".
"PPKI le. Masuk je kot tepi makmal komputer tu dan bangunan pertama yang kamu jumpa, itu bilik gurunya. Pi sana. Mak Lang dah habaq kat Cikgu Khalid, tinggal komputer riba dia kat situ,".
"Hm... Baiklah,".
Talian diputuskan. Telefon disimpan ke dalam kocek seluar. Matanya meliar ke kawasan sekitar, mencari makmal komputer.
"Itu makmal komputer. Maksudnya.....,".
Lelaki itu mengatur langkah dengan cermat. Apakah pula rancangan Mak Langnya pada kali ini?
Damia duduk melepaskan lelah di atas simen. Niatnya sekadar untuk menunggu kehadiran lelaki bernama Khairul tetapi dia terlalu leka mengecat, sehingga hampir sempurna muralnya. Damia mendongakkan kepala, melihat hasil muralnya. Kemudian dia tersengih sendiri.
"Boleh tahan!".
Masuk bakul angkat sendiri pun boleh! Damia memandang kawasan sekitar. Sunyi.
"Jadi ke idok ni Kak Fauziah oi?".
Damia membebel sendiri. Hanim sudah pulang terlebih dahulu. Dia menumpang kereta Kak Farah, salah seorang pembantu pengurus murid di kelas PPKI sekolah ini. Mujurlah Damia mempunyai sahabat dan rakan serumah yang memahami. Tidak mahu berlama-lama di situ, Damia mengambil keputusan untuk berhenti mengecat dan menyimpan semua peralatan mengecat.
'Lantaklah! Bosan aku menunggu lama-lama ni,'.
Salam diberi tetapi tiada sahutan. Sunyi. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Tombol pintu dipandang.
'Kalau masuk tapi tiada orang, nanti kena tuduh mencuri pula! Mana semua orang ni?'.
Dia terus tercegat di hadapan pintu. Bau cat dan minyak tanah menyerbu ke dalam rongga hidung. Ibu jari digosok-gosokkan pada hidung. Bunyi tin-tin cat berlaga menarik perhatiannya.
'Ada orang ke belakang bangunan ni?'.
Lelaki berketinggian lima kaki setengah itu berjalan ke arah belakang bangunan. Kalau ada guru yang berkaitan, mudahlah urusannya.
Langkahnya terhenti apabila melihat sesusuk tubuh yang sedang menyusun tin-tin cat. Hairan.
'Biar betul? Dengan tudung labuhnya, perempuan ni mengecat?' bisik hatinya bagaikan tidak percaya. Dia melontarkan pandangan ke arah dinding yang masih baru dicat.
'Boleh tahan!'.
Dia terus tercegat di situ. Leka benar wanita bertubuh besar itu menyusun tin cat sehinggakan tidak menyedari kehadirannya.
"Assalamualaikum,".
Saat wanita itu menoleh ke arahnya, kakinya bagaikan dipasak ke bumi.
"Waalaikumsalam," jawab Damia sambil menoleh ke belakang. Terkebil-kebil dia memandang lelaki itu.
"Kau!".
"Awak!".
Serentak mereka menyebut. Masing-masing saling menuding jari.
"Apa kau buat di sini?".
"Apa awak buat di sini?".
Sekali lagi mereka menyoal secara serentak. Damia kaku di tempatnya. Dalam ramai-ramai manusia, kenapa lelaki itu dia bertemu semula?
'Jangan takut, Damia Husna. Bukan salah kau,'.
Dia tidak sesekali melupakan pemilik wajah di hadapannya. Tangan digenggam erat.
"Jangan tiru ayat aku!".
Nampak benar lelaki itu marah. Tidak mahu terus menghadapi kemarahan lelaki itu, Damia bangun dan membawa tin-tin cat ke dalam bilik guru.
"Kau nak lari ke mana, hah? Aku belum selesai dengan kau!".
Perbuatan Damia menambahkan kemarahan lelaki itu. Namun dia tidak dipedulikan oleh Damia. Apabila melihat Damia terus menapak meninggalkannya, dia pantas mengekori langkah wanita itu.
"Pekak ke? Aku kata aku belum selesai dengan kau!".
Bosan dengan lelaki itu, Damia berhenti di hadapan bilik guru dan meletakkan tin-tin cat itu. Damia mengalihkan badannya, menghadap lelaki kurang siuman yang tiba-tiba muncul semula di hadapannya.
"Maaf ya encik. Kita tiada masalah apa-apa pun,".
"Kau memang sengaja cari pasal, kan?".
"Siapa cari pasal? Encik ni kenapa tiba-tiba datang sekolah saya dan marah-marah saya ni?".
Lelaki itu tersenyum sinis. Dia meletakkan tangannya di pinggang.
'Dia ingat aku takutlah tu!' getus hati Damia.
Lama mereka saling memandang. Pandangan yang penuh perasaan benci.
"Kalau bukan kerana......,".
"Eh, Khairul dan Mia!".
Kemunculan Fauziah secara tiba-tiba mematikan bicara lelaki itu. Pantas mereka berdua memaniskan roman wajah masing-masing.
"Ha, baguslah hangpa dah berbual! Khairul, ni Cikgu Damia yang Mak Lang nak kenalkan kat hang. Mia, ni anak saudara kak. Namanya Khairul,".
Damia memandang ke arah Khairul. Lelaki itu tersenyum.
'Dasar pelakon lelaki terbaik!'.
"Oh, inilah Cikgu Mia yang selalu Mak Lang sebutkan ya!".
Terasa pahit air liurnya. Entah mengapa, Damia rasa ada maksud lain pada nada dan raut wajah manis Khairul. Damia cuba tersenyum tetapi tawar.
Fauziah sudah tersengih-sengih di hadapan mereka berdua.
"Beginilah mak lang. Hari pun dah makin petang ni. Apa kata hujung minggu ni kita ajak Cikgu Damia datang ke rumah? Gathering dengan keluarga kita?".
Bulat mata Damia memandang Khairul. Apakah?
"Ha, eloklah tu! Damia, Sabtu ni mai umah kak. Tak jauh pun. Kat Arau ja,".
"In sha Allah kak,".
"Errr.... mana komputer riba Cikgu Khalid?".
"Ada atas meja dia di dalam,".
"Ambil kejap, Mia. Khairul ni pandai baiki komputer. Cikgu Khalid yang minta tolong dia," ujar Fauziah.
Jadi sebab itulah lelaki itu ada di sini? Ujian apakah ini lagi?
"Ha, kak! Saya masuk ambil dulu,".
Fauziah bermain mata dengan Khairul.
"Apa, Mak Lang?".
"Cun dak?".
Khairul mengangkat ibu jari. Fauziah tersenyum puas. Bukan tanda dia suka tetapi dia sedang merencana sesuatu yang lain.
"Mak Lang gerak dulu, Khai. Banyak kerja kat pejabat,".
"Baiklah, Mak Lang,".
"Hang cakap elok-elok dengan Damia tu! Baik budaknya,".
Khairul tersenyum.
'Baik? Baik sangat!'.
"Kak, ini.....," bicara Damia terhenti apabila tiada batang tubuh Fauziah di situ. Sebaliknya Khairul yang berdiri sambil berpeluk tubuh. Tanpa banyak bicara, dia menghulurkan beg komputer riba kepada Khairul. Beg bertukar tangan. Tiba-tiba, pergelangan tangan Damia disambar dan dipegang erat. Wanita itu cemas.
"Sakitlah!".
"Urusan kita belum selesai! Ingat! Kalau kau tak datang rumah Mak Lang pada hari Sabtu nanti, aku tahu mana mahu cari kau!".
Semerta dia melepaskan pegangannya. Khairul tersenyum sinis.
Comments
Post a Comment