Usai membersihkan diri dan mengenakan pakaian tidur, Damia terus merebahkan badan di atas katil. Perjalanan dari Perlis ke Permatang Pauh agak memenatkan, walaupun bukan dia yang memandu.
"Kita balik Penang ya? Ibu rindu nak jumpa korang berdua,".
Ah, pandailah guna alasan ibu rindu! Kalau ikutkan hati, selepas selesai membeli-belah di Wang Kelian, mahu sahaja dia meminta Fauzan terus menghantar dia dan Hanim ke rumah sewa semula. Namun apabila melihat perubahan raut wajah Hanim, Damia mengangguk.
'Inilah satu-satunya keluarga kau, Mia!'.
Masalahnya dia tidak kisah untuk bermalam dan menghabiskan hujung minggu bersama-sama Junaidah dan Hanim. Namun bukan dengan Fauzan.
Mata dipejam rapat. Cuba untuk berehat. Cuping telinganya menangkap suara-suara halus yang sedang berbual di luar bilik. Tidak sukar untuk dia meneka.
"Angah tak pernah nak jujur,".
"Mengenai?".
"Kenapa angah beria-ia sangat mahu pikat Damia?".
"Cuba biasakan diri bahasakan dia 'Kak Mia'. Maniskan bunyinya,".
Fauzan ketawa memerli. Spontan Hanim menghempuk kepala Fauzan dengan bantal.
"Cuba sekali ni jangan buat lawak! Ibu!".
Junaidah tersenyum sahaja.
"Hahaha... Baiklah, Tuan Puteri. Maafkan patik,".
"Angah!".
"Apa?".
"Why her? Dalam ramai wanita yang angah kenal, kenapa pilih untuk pikat Mia?".
"Why? Can't I?".
"Bukan masalah boleh atau tidak,".
"Jadi?".
"Kenapa? Give me a solid reason,".
Hanim merenung ke dalam mata Fauzan, penuh harapan. Bukan dia tidak percaya kepada perasaan yang wujud dalam hati Fauzan. Dia cuma mahu tahu sebabnya.
"Memang kalau nak mencintai seseorang perlu ada sebab?".
Fauzan tidak melarikan pandangannya.
Ah, perempuan! Damia juga menyoalnya dengan soalan yang sama. Apakah penting sebab untuk wanita?
"It's kind of weird, you know! Angah bertanya mengenai Damia pada awal Hanim bawa dia balik rumah. Hanim ingat lagi, angah teruja sangat masa tu. Takkan jatuh cinta pandang pertama kot?".
Kening sebelah kanan digerakkan ke atas, persis gaya Ziana, seorang penghibur tanah air yang terkenal.
Fauzan mengalihkan anak matanya ke kaca televisyen. Diam.
Hanim mendengus, geram dengan kebisuan Fauzan.
'Kalau tahu sebab, senanglah nak tolong! Payah ada abang perahsia,' getus Hanim dalam hati.
Teringat semula situasi sepanjang berada di Wang Kelian pada hari ini. Damia kelihatan agak kalut apabila Fauzan menegur. Fauzan pula sepanjang hari tersenyum. Senyuman yang penuh makna. Sesekali dia perasan, pipi montel Damia berubah warna. Malu! Dia cukup kenal Damia. Wanita itu akan berubah warna pipi apabila dia malu.
"Hanim. Ibu. Logik tak kalau angah cakap angah jatuh hati pada dia pandang pertama?" Fauzan melontarkan soalan kepada Junaidah dan Hanim. Nada suara Fauzan berubah, bukan marah tetapi tegas.
Kedua-dua wanita itu terdiam.
"Bila? Pada kali pertama Damia datang rumah?".
"Tak,".
"Jadi?".
"Di hospital, empat tahun lepas,".
Hanim dan Junaidah saling berpandangan.
Mata yang dipejam rapat, terbuka kembali.
'Empat tahun lepas? Hospital?'.
Damia cuba mengingat semula, peristiwa empat tahun lepas. Kalau tidak silap, empat tahun lepas, kali terakhir dia pergi ke hospital di Alor Setar.
Mungkinkah Fauzan tahu mengenai peristiwa itu?
Comments
Post a Comment