Tumpuan Miera untuk membaca terganggu apabila mendengar bacaan Al-Fatihah yang tidak lancar. Buku yang berada di tangan ditutup rapat. Dia memasang telinganya.
"Bacaan dollin ni bagi panjang sikit,".
Syafiq mengangguk. Nafas disedut sedalam dia mampu. Mariam mahu ketawa melihat reaksi wajah cucunya itu. Comel. Bersungguh benar cuba mempraktikkan cara bacaan tajwid yang betul.
"Aaminn. Ha, semputlah!".
Mariam gagal menahan ketawanya. Syafiq memandang neneknya. Kemudian dia tersengih.
"Bagusnya cucu nenek! Dah boleh bacakan?".
"Perlahan-lahan bolehlah nenek. Tak lancar,".
"In sha Allah. Kalau Syafiq berlatih baca dengan tajwid yang betul, lama-lama bolehlah. Nanti hafal Surah Al-Fatihah ni ya. Tahu kenapa?".
Syafiq mengangguk laju.
"Ummi kata, nanti solat kena baca Al-Fatihah. Wajib baca,".
Mariam menggosok ubun-ubun kepala cucunya.
"Syafiq dah belajar solat?".
"Syafiq baru belajar pergerakan dalam solat, nenek. Syafiq tak hafal lagi bacaan dalam solat,".
Mariam tersenyum.
"Siapa ajar?".
"Ummi,".
"Nanti minta pada ummi, nak beli buku panduan solat ya,".
"Ummi beli dah. Nenek, Syafiq laparlah,".
"Aik, bukan tadi dah makan?".
"Ala... Syafiq nak makan sup ayam nenek. Boleh ya, nenek cantik?".
Mariam mencubit perlahan pipi cucunya. Pandailah buat muka comel.
"Baiklah, lepas nenek solat Isya',".
"Hehe... Terima kasih nenek cantik,".
Syafiq meletakkan Al-Quran biru itu di atas meja tepi kepala katil Mariam. Kemudian, dia berlari-lari anak ke ruang keluarga.
Miera bangun dari perbaringannya. Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus perlahan-lahan. Jam di meja lampu dipandang seketika. Sudah masuk waktu Isya' tetapi bayang suaminya masih lagi tidak kelihatan. Tiba-tiba, telefon pintarnya bergegar. Skrin telefon pintar menunjukkan lambang ada satu pesanan ringkas telah masuk ke dalam peti simpanan mesejnya.
-Sayang, abang minta maaf. Abang keluar dengan Hasif dan Amar kejap. Dalam pukul 10 abang sampai rumah. Sayang awak!
Miera tersenyum. Panjang umur suaminya. Jari-jemarinya laju menaip, membalas semula mesej suaminya.
-Baiklah, abang. Jangan lewat sangat. Jaga diri.
Ketawa Aminul Syafiq menarik perhatian Miera. Pada masa yang sama, aroma sup ayam menjentik nafsu makannya. Tiba-tiba, perutnya berkeroncong. Tanpa menunggu lama, Miera bangun dan menapak ke arah meja solek. Meneliti pantulan diri di dalam cermin. Apabila sudah berpuas hati dengan penampilan diri, dia mengatur langkah ke luar kamar tidur dan menuju ke dapur.
"Ha, Miera! Jom, makan sekali!".
Ajak Mariam sebaik sahaja melihat Miera masuk ke ruang dapur. Menantunya itu tersenyum manis.
"Sedapnya bau sup ayam, mak. Lapar pula,".
"Eloklah. Makan sekali. Syafiq lapar, itu yang mak hangatkan semula sup ayam,".
Aminul Syafiq memandang ke arah Miera. Mulutnya yang penuh dengan isi ayam menghalang dia dari menegur Miera. Ummi marah kalau bercakap dengan mulut penuh.
"Sedap sup ayam tu Syafiq?".
"Sedap, ibu. Ibu nak makan tak?".
Miera tersenyum lalu mengangguk. Rak mangkuk dihampiri.
Usai mengambil mangkuk yang sesuai, Miera menapak pula ke arah periuk yang berisi sup ayam di atas dapur.
Asap nipis kelihatan menyerbu keluar daripada mulut periuk. Bertambah naik selera Miera.
"Ibu,".
"Ya, Syafiq?".
"Ibu makan lebih sikit tau. Ummi cakap, sup bagus untuk budak-budak. Nanti ibu makan lebih, adik pun boleh rasa sekali,".
Terkedu Mariam dan Miera seketika. Mertua dan menantu itu saling berpandangan.
"Adik?".
"Ya. Ummi cakap Syafiq akan dapat adik,".
Fahamlah Mariam dan Miera. Adik yang dimaksudkan adalah janin yang sedang membesar dalam rahim Miera. Wanita itu tersenyum.
"Baiklah. Ibu makan lebih sikit ya,".
Mariam menggosok-gosok bahu Syafiq.
'MasyaAllah, cerdiknya budak ini! Ya Allah, kau ampunkanlah dosa anak lelaki aku kerana melepaskan ummi Syafiq. KAU lindungilah menantu aku itu walau di mana dia berada,' doa Mariam dalam hati.
Comments
Post a Comment