Skip to main content

Aminul Syafiq (21)

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, kakinya pantas diatur ke dapur. Pintu peti ais dibuka. Sebotol air mineral dicapai. Perlahan-lahan, air jernih yang sejuk itu diteguk. Lega. Walaupun malam tetapi bahang panas siang masih terasa. Mujur sahaja masjid di kawasan taman rumahnya dipasang pendingin hawa.
Ekor matanya menangkap sekeping memo kecil dilekatkan di pintu peti ais.

Bro, aku keluar berkhemah dengan geng kerja aku! Lusa baru balik.

Syafiq merenung memo itu seketika. Nampaknya dia akan bersendirian sepanjang hujung minggu ini. Dia mengeluh perlahan. Botol air mineral yang masih bersisa dicapai dan dibawa ke bilik.
Setelah memastikan pintu pagar dan semua pintu rumah telah selamat dikunci, barulah dia mengatur langkah ke bilik. Malam hujung minggu beginilah waktu yang paling sesuai untuk bermalas-malasan setelah seminggu berhempas-pulas di sekolah.

Badan direbahkan di atas katil.
"Nikmatnya cuti!".
Syafiq menggeliat, cuba meregangkan urat-urat yang tegang. Biasanya pada malam minggu, dia dan Razak akan keluar makan di bandar.
"Nasib kaulah, Syafiq. Kahwin tidak, membujanglah sampai beruban," omelnya sendiri. Siling bilik dipandang kosong. Benaknya tiba-tiba memutarkan semula peristiwa pada tengah hari tadi.

(Tengah hari)

Syafiq memandang sahaja perlakuan Aminul Syafiq. Kanak-kanak itu kelihatan kekok menekan nombor-nombor yang tertera di skrin.
"Nak ustaz tolong tak?".
"Saya boleh, ustaz. Nanti ustaz ingat nombor ummi dan ustaz telefon ummi,".
Syafiq mengecilkan anak matanya.
'Habis, nanti nombor tu automatik akan tersimpan dalam senarai panggilan keluar juga, kan? Tak faham aku,' bisik hati Syafiq. Malas mahu bertingkah dengan kanak-kanak lelaki itu, Syafiq duduk berdiam diri.
Muka Aminul Syafiq penuh pengharapan.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikumsalam. Ya, cari siapa?".
"U....ummi! Ini Syafiq. Aminul Syafiq, anak ummi,".
Syafiq mahu ketawa tetapi dia menahan diri. Naif sungguh budak ini!
'Takkanlah ibu tak kenal anak? Kelakarlah hang ni Aminul,'.
"Syafiq baik saja ummi. Syafiq....,".
Aminul Syafiq terdiam. Mungkin umminya sedang bertanya pelbagai soalan.
"Ummi. Tenang ummi. Jangan tanya banyak soalan. Tak sempat Syafiq nak jawab,".
Syafiq tersenyum senget. Dia boleh membayangkan lenggok suara dan cara percakapan ummi Aminul Syafiq. Masih sama seperti dahulu mungkin wanita itu? Mudah kalut dan membebel andai sesuatu berlaku pada seseorang yang disayanginya.
Kenangan beberapa tahun lalu, semasa masih sama-sama belajar, beberapa kali Damia menunjukkan sikap ambil beratnya. Syafiq sendiri tidak akan lupa satu peristiwa yang membuatkan hati lelakinya tercuit.

"Awak! Saya dengar cerita awak jatuh motor! Betul?".
"Eh, cepat betul berita tersebar!".
"Betullah ni? Awak di mana sekarang?".
"Aku.... di bumi,".
"Cuba jangan buat lawak boleh tak? Macam mana boleh jatuh motor? Ada lukakah? Patah? Motor awak teruk?".
"Hoi, sabarlah! Kau cuba tanya satu soalan demi satu soalan boleh?".
"Hm...,".
"Aku jatuh biasa sahaja. Bukan teruk sangat. Setakat luka di kaki,".
"Hah? Boleh jalan?".
"Bolehlah. Siap boleh rempit pergi masjid,".
"Ish, budak ni! Awak dah makan?".
"Kalau belum?".
"Kalau belum saya tolong belikan,".

Syafiq tersenyum sendiri. Perempuan paling kalut tetapi dialah satu-satunya gadis yang boleh tahan dengan sikapnya yang satu lagi, sikap kuat mengusik.
"Ustaz,".
"Ya?".
"Ummi nak cakap,".
Syafiq memandang telefon yang berada di genggaman Aminul Syafiq. Terkebil-kebil Aminul Syafiq memandang ustaznya.
"Ustaz?".
"Ya... Ya,".
Telefon pintar bertukar tangan. Syafiq berdehem perlahan.
"Assalamualaikum, ustaz,".
"Waalaikumsalam, puan,".
"Ustaz, maaf susahkan ustaz. Anak saya....,".
Nada Damia berubah. Syafiq terkelu. Suara itu masih sama. Syafiq tahu, ummi kepada Aminul Syafiq sedang berusaha menahan tangis.
'Jangan menangislah, Damia! Aku tak pandai nak hentikan tangisan kau!' jerit hati Syafiq. Semenjak dahulu lagi, dia memang tidak tahu cara menghentikan tangisan Damia.
"Puan jangan risau, ya. In sha Allah, Aminul baik budaknya. Dia tidak bawa masalah kepada pihak sekolah,".
"Alhamdulillah. Syafiq selalu cerita mengenai ustaz. Apa nama ustaz ya?".
Syafiq terdiam. 'Dia lupa aku?'.
"Ustaz?".
"A... em... Saya Syafiq,".
"Hm. Terima kasih ustaz,".

(Sekarang)
Syafiq mendengus perlahan.
"Kau boleh lupa aku, Damia? Eh, sakit pula hati kita!" bebel Syafiq sendiri. Kemudian dia ketawa kecil. Telefon pintar yang berada di tepi bantal dicapai. Senarai panggilan keluar diperhati. Seketika kemudian, dia tersenyum.

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...