*Empat Tahun Yang Lalu*
Api kemarahan meluap-luap dalam dirinya. Semenjak mendapat panggilan kecemasan daripada pihak hospital, fikiran Azfar berkecamuk. Bayangan isterinya dan Miera saling bertindih.
'Siaplah!' ugut Azfar dalam hati. Pedal minyak dipijak lebih rapat.
Kerisauan menjengah dalam dirinya. "Ya Allah, ujian apakah ini lagi?" omel Damia sendiri. Wanita yang berbalut di kepala dan tangan kanan dipandang sayu. Miera terbaring di atas katil hospital. Dia lena. Mungkin kesan ubat yang telah dimasukkan ke dalam badannya.
"Ah.... Ab...abang?".
Damia terkejut apabila mendengar bisikan Miera. Dia sudah sedar? Bibir Miera kelihatan bergerak-gerak perlahan tetapi matanya masih terpejam.
"Miera? Miera sedar tak ni?" soal Damia perlahan. Dia mendekatkan wajahnya. Mata Miera separuh terbuka.
"Abang?".
Perit rasa hati Damia setiap kali panggilan 'abang' meniti di bibir Miera. Dia tahu panggilan itu merujuk kepada Azfar.
'Sabar, Mia. Miera tak sihat ni,' pujuk hati kecilnya sendiri.
"Miera, ini Mia. Abang Azfar dalam perjalanan,".
Anak mata Miera terbuka luas apabila benaknya dapat mencerna pemilik batang tubuh yang berada di sisi katilnya.
Raut wajahnya berubah. Masam mencuka. Damia menarik nafas dalam-dalam.
"Mana abang? Aku nak abang. Aku tak nak kau! Sebab kau aku masuk hospital!".
Damia kaget apabila Miera tiba-tiba meninggikan suara. Mujurlah dia ditempatkan di wad yang ada privasi.
"Kejap lagi dia sampai,".
"Mana abang? Mana dia?".
Mariam dan Aminul Syafiq yang muncul di muka pintu bilik terkejut mendengar suara Miera. Tanpa menunggu lama, Mariam masuk sambil memimpin Aminul Syafiq dan menutup pintu bilik.
"Kenapa ni Damia, Miera?".
"Mak cik, mana abang? Miera nak abang!".
"Azfar dalam perjalanan. Sabar ya, Miera!".
Dada Miera kelihatan berombak-ombak, nafasnya turun dan naik. Benci benar dia memandang wanita gemuk itu.
Mariam menghampiri katil dan memegang lembut bahu Miera.
"Miera baring ya, nak,".
Pandangan Miera beralih ke arah Mariam. Dia membalas senyuman Mariam.
'Mak Azfar pun suka aku!' bisik hati Miera sendiri.
Mariam sekadar menjaga hati wanita itu. Kalau ikutkan hati hitamnya, mahu dibiarkan sahaja Miera bersendirian di hospital.
"Ummi, dukung! Dukung," pinta Aminul Syafiq yang baru sahaja boleh berbicara. Tanpa banyak soal, Damia mendukung putera kesayangannya itu. Aminul Syafiq mencium pipi Damia bertubi-tubi. Perbuatan itu menghiburkan Damia.
Rasa cemburu menguasai Miera. Kalau bukan kerana budak itu, tidak akan ada masalah untuk dia memiliki Azfar.
'Dua-dua jahanam!' sumpah Miera dalam hati.
Mariam memahami maksud renungan Miera. Penuh kebenciannya pada Damia dan Aminul Syafiq. Hati tuanya tiba-tiba berasa gerun.
"Mia, pergilah solat dulu,".
Dia cuba menjauhkan Damia dari sisi Miera buat masa ini. Damia mengangguk. Dia menyerahkan Aminul Syafiq kepada Mariam tetapi anak kecil itu menggeliat enggan berpisah dengan Damia.
"Ah! Ah! Ummi! Nak ummi!".
"Sayang, ummi nak pergi solat,".
"Ahhhh.... Nak kut ummi! Ummi!".
Mariam mengusap-usap kepala cucunya.
"Bawalah sekali, Mia. Surau tak sesak dengan orang pun,".
Damia mengalah. Akhirnya dia membawa Aminul Syafiq bersama-samanya.
Mariam memandang ke arah Miera. Matanya terpejam. Elok juga, biar dia rehat. Mariam duduk di kerusi, melepaskan lelah.
Miera sekadar memejamkan mata tetapi otaknya tidak berhenti daripada berfikir. Cuba mencari jalan untuk membenihkan kebencian dalam diri Azfar terhadap Damia.
Miera menangis teresak-esak. Tangisan Miera menjadi minyak kepada api kemarahan Azfar yang sedia menyala semenjak awal dia mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa Miera. Kepala dan tangan Miera yang cedera dipandang, sekaligus menambahkan rasa bencinya kepada Damia.
Mariam sengaja menunggu di luar sebaik sahaja Azfar tiba di bilik wad.
'Melampau sungguh Damia kali ni! Muka nampak naif tetapi perangai macam syaitan!' marah Azfar dalam hati.
Miera bersorak dalam hati. Dia yakin dia telah berjaya memperdayakan Azfar. Ah, bukan dia tidak tahu cara menguasai Azfar! Lelaki itu mencintainya separuh mati. Bermodalkan air mata dan lakonan watak seorang mangsa, dia berjaya.
"Sayang rehatlah, ya,".
"Abang mahu ke mana?".
"Abang nak cari Damia,".
"Abang, janganlah! Miera tak mahu jadi penyebab rumah tangga abang dan Kak Mia retak,".
"Abang tak buat apa-apa pun sayang. Jangan risau, ya. Sayang rehat. Nanti abang datang balik,".
Perlahan-lahan Miera merebahkan badannya di atas katil. Azfar menyapu sisa air mata yang mengalir di pipi Miera.
"Sayang jangan sedih, ya. Abang ada di sisi sayang,".
Miera mengangguk.
Apabila Miera sudah memejamkan mata, Azfar mengatur langkah keluar dari bilik sakit. Sekarang, dia perlu berdepan dengan Damia.
Aminul Syafiq memandang lelaki yang mendukungnya. Lelaki itu juga merenung ke dalam anak mata Aminul Syafiq. Wah, comelnya anak mata dia!
"Ummi?".
"Err... ummi adik tengah solat,".
"Colat?".
"So....lat,".
"Coooooolat,".
Lelaki itu ketawa kecil. Dia memandang kawasan sekeliling, mencari kelibat wanita yang meminta tolongnya seketika tadi.
"Encik, maaf ya. Boleh tolong tengok-tengokkan anak saya sekejap? Dalam lima belas minit saya datang semula,".
Tanpa teragak-agak, wanita bertubuh besar itu menyerahkan anak kecil itu kepadanya.
'Aku tak tolak apa kes? Ah, layankan aje! Budak ni pun manja ja,' getus hatinya. Seronok melayan ragam anak kecil itu.
"Nama adik siapa?".
"Huh?".
"Nama?".
"Nama?".
Aminul Syafiq meletakkan jari telunjuk di pipinya sendiri.
"Capik,".
"Capek?".
"Capik! Ca.....pik!".
Lelaki itu ketawa. Syafiq, dia faham. Sengaja mengusik anak kecil itu.
"Umur?".
Aminul Syafiq tidak menjawab. Sebaliknya dia mengangkat tiga jari kanan.
"Tiga tahun? Pandainya,".
Sejujurnya, lelaki itu kagum dengan kanak-kanak lelaki itu. Pada usia tiga tahun, mampu menjawab soalan dengan ramah.
"Nama?" giliran Aminul Syafiq pula menyoal lelaki yang mendukungnya. Lelaki itu ketawa lagi.
"Fauzan,".
Terkebil-kebil Aminul Syafiq memandang raut wajah lelaki itu. Spontan dia meraba-raba keseluruhan wajah dan rambut Fauzan.
Seketika, Fauzan tergamam.
'Kenapa pula dengan budak ni?'.
Fauzan bertambah terkejut apabila menerima ciuman di pipi kiri dan kanan. Dia memandang Aminul Syafiq.
"Jangan cedih. Jangan cedih,".
Sekali lagi dia kagum. Bagaimanakah anak seumur tiga tahun mampu mengetahui situasi hatinya sekarang?
Dia merenung dalam-dalam wajah Aminul Syafiq. Mungkinkah ini perasaan menjadi seorang bapa?
"Syafiq panggil 'abah' boleh?".
Tanpa berfikir panjang, Fauzan menyoal Aminul Syafiq, bagaikan anak kecil itu memahami butir bicaranya.
Tiada balasan. Aminul Syafiq memandang tepat ke muka Fauzan.
'Ah, mana mungkin! Gila agaknya aku ni!'.
"Abah!".
Fauzan terpana. Dia silap dengarkah?
"Apa?".
"Abah!".
Runtun jiwa lelakinya. MasyaAllah, subhanallah!
Damia memegang pipi kanannya. Perit terasa kesan tamparan Azfar. Buat pertama kali dalam hidupnya, pipinya ditampar. Terketar-ketar tangan Azfar. Nafsu marah merasuk jiwanya.
"Puas hati abang sekarang?".
Ada getar dalam nada Damia. Dia mampu mengawal nada suaranya dari meninggi tetapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Perit ditampar tidak seperit rasa di hati apabila difitnah. Bukan fitnah itu yang menyakitkan tetapi kepercayaan yang hilang daripada seorang suami, itu yang paling mengoyakkan hati.
"Aku tak kisah kalau kau tidak redha kalau aku kahwin dengan Miera. Tapi kali ini kau melampau, Damia!".
"Apa saya buat, abang?".
"Apa kau buat? Kau jangan nak buat-buat bodohlah, Damia. Kau ingat aku tak tahu kau cuba cederakan Miera, kan? Buktinya sekarang dalam wad sana!".
"Astaghfirullahalazim! Abang fikir saya rancang semua tu?".
"Hei, jangan guna zikir Allah itulah! Jangan nak jadi malaikat sangat! Miera dah ceritakan semua! Dulu aku tak nak percaya sebab aku fikir ini hanya kes cemburu. Sekarang, kau memang lebih teruk berbanding Miera!".
Tersentak hati Damia apabila dibandingkan dengan Miera. 'Ya Allah, fitnah apakah lagi ini?'.
"Sebelum abang buat kesimpulan, cuba dengar cerita kedua-dua belah pihak," usul Damia. Dia masih bertenang walaupun pipinya terasa perit. Sekarang bukan masa untuk lemah!
"Tak guna!".
"Mesti abang dah tak percayakan saya, kan? Apa kata abang tanya mak?".
Marah Azfar kembali marak.
"Jangan nak libatkan mak dalam hal kita,".
"Mia bukan minta abang libatkan mak. Cuba abang tanya mak perkara sebenar. Apa yang berlaku sehinggakan Miera terlantar di atas katil hospital sekarang,".
Azfar ketawa sinis. Hati Damia kecut mendengar tawa suaminya. Mujurlah Azfar mengheretnya ke kawasan yang sunyi. Tiada kakitangan hospital ataupun pelawat di sekitar itu.
Tiba-tiba, Azfar menolak tubuh Damia rapat ke dinding. Pergelangan tangan Damia digenggam kemas.
"Dengan aku, kau boleh buat hal. Bukan dengan Miera, jauh sekali keluarga aku. Hei, dengar sini elok-elok ya, Puan Damia! Aku ceraikan kau dengan talak satu. Lepas Miera keluar dari hospital, aku akan siapkan semua dokumen-dokumen perceraian kita dan kau boleh berambus dari hidup aku!".
Azfar menjarakkan dirinya daripada Damia. Dia suka melihat reaksi yang terpapar di wajah Damia. Puas hatinya. Tanpa menunggu lama di situ, dia berpaling dan menapak pergi meninggalkan Damia sendiri.
Damia terduduk. Air matanya mengalir laju. Kemudian, esakannya kedengaran.
Di sebalik dinding bangunan sebelah, Fauzan berdiri kaku. Dia mendengar segala-galanya pertengkaran yang berlaku seketika tadi. Dia memandang Aminul Syafiq yang terlena dalam pangkuannya. Tujuan dia mencari ummi kepada Aminul Syafiq adalah untuk menyerahkan semula anak kecil itu kerana hampir setengah jam, wanita itu tidak muncul. Apabila dia terlihat kelibat wanita itu dari jauh, segera dia menapak ke arah bangunan yang agak sunyi di sini.
Rupa-rupanya, ada drama yang perlu dia saksikan sendiri.
Fauzan istighfar dalam hati. Dipandang sayu muka suci anak kecil yang bijak itu.
....
Fauzan terus menonton televisyen. Pada hakikatnya, roh dia melayang kembali pada memori empat tahun lalu. Saat pertama kali dia jatuh cinta, selepas sekian lama dia patah hati. Dia jatuh cinta pada anak calon syurga yang comel dan bijak itu, Aminul Syafiq. Saat dia mendengar ummi Aminul Syafiq diceraikan, timbul keinginan untuk melindungi kanak-kanak lelaki itu. Namun dia tidak tahu caranya. Sehinggalah saat dia bertemu Damia di rumahnya sendiri.
Pada ketika itulah, dia rasa bersyukur kepada Allah. Mungkinkah Allah makbulkan doanya selama ini?
Comments
Post a Comment