Minggu pertama praktikum masih lagi tidak sibuk dengan kelas kerana jadual waktu untuk mengajar masih belum dikeluarkan oleh pihak sekolah. Awatif memandang Diana dan Diana merenung Awatif. Tugasan sampingan yang diberikan oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas membuatkan dua orang sahabat itu memerah idea yang sesuai dengan tema dan kehendak pihak sekolah.
"Diana, saya tak pernah buat projek mural berskala besar begini. Awak yakinlah dengan saya?" soal Awatif sambil memandang Diana yang sedang melakar sesuatu di kertas kosong.
"Jangan kamu risau. Kita sama-sama tolong. Nda ada masalah bah ini," balas Diana sambil jari-jemarinya ligat menari-nari di atas kertas putih itu. Awatif menarik nafas panjang dan dihembus perlahan.
"Baiklah. Awak ajar saya cara mengecat ya!".
"Jangan risau. Serahkan tugas melukis pada saya dan kita sama-sama mengecat,".
"Bagus,".
Diana berhenti melakar. Awatif melihat lakaran yang dibuat oleh rakannya itu. Dia memandang Awatif dan mengangkat kening ke atas. "Baik kita tunjuk lakaran ini kepada Cikgu Bahar. Kalau dia setuju, kita mulakan," balas Awatif yang faham maksud pandangan Diana.
Butang pendingin hawa dipulas ke kanan, supaya hawa yang lebih sejuk dibebaskan keluar. Kehangatan mentari menjadikan ruang dalam kereta meluap-luap kepanasan.
"Kalau letak telur dalam kereta, mahu masak," kata Awatif. Diana tersengih. "Padanlah dengan jolokan kawasan terpanas di Malaysia," celah Diana. Pintu kereta ditutup serentak. Perlahan-lahan cermin tingkap kereta diturunkan. Kerutan di wajah Diana cukup untuk menerangkan kehangatan cuaca pada hari itu.
"Awak nak makan apa tengah hari ni?".
"Saya ikut kamu,".
"Kita cuba makan di Restoran P8, nak? Tak pernah singgah lagi,".
"Mana-mana saja bah,".
Gear kereta ditukarkan kepada D dan brek tangan dijatuhkan.
"Yeah, hujung minggu!" kata Diana tiba-tiba. Awatif tersenyum. Siapa tidak suka hujung minggu?
***
Awatif memandang ke setiap penjuru hutan itu. Dejavu.
"Kenapa?" tanya satu suara mencuri perhatian Awatif. Seraut wajah yang tidak asing pada matanya sedang berdiri di sebelah.
"Saya.... rasa saya pernah datang tempat ni," balas Awatif dengan suara perlahan dan ragu-ragu. Diana memandangnya tenang.
"Tiada apa-apa bah. Jom, kita gerak sekarang!" ajak Diana. Dicapai tangan Awatif dan dirangkul erat lengan gadis itu.
'Jom? Ke mana?' detik hati Awatif aneh. Namun bibirnya terkunci. Kakinya menurut sahaja langkah Diana. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan kawasan itu. Semak-samun setinggi paras pinggangnya. Mereka terus melangkah dan melangkah tetapi hanya Diana yang tahu arah tuju mereka.
Tiba di satu persimpangan, dada Awatif berdebar kencang. Kenapa firasatnya mengatakan sesuatu bakal berlaku? Tiba-tiba, semak-samun di sebelah kiri bergerak-gerak. Bunyi ranting-ranting dan dedaun kering dipijak sesuatu jelas kedengaran Awatif.
"Apa.... apa dalam semak?" soal Awatif, sekaligus menghentikan langkah. Diana menurut perlakuan gadis itu.
"Sssssssssssssss!"
Bersama-sama desiran kuat itu, muncul seekor ular tedung besar! Awatif menjerit. Pantas tubuhnya ditolak oleh Diana ke arah bertentangan menyebabkan Awatif rebah di dalam semak-samun. Berbeza dengan Diana, gadis itu berdiri menghadap ular tedung gergasi itu dan memasang kekuda.
"Jangan kau ganggu gadis ini! Dia bukan lawan kau!".
"Sssssssssssssss....!".
Kelopak matanya terbuka luas. Kelam. Hanya cahaya malap daripada lampu tidur menerangi kawasan kamar itu. Dia masih mamai. Benaknya cuba menilai dan mengingat semula. Beberapa ketika kemudian, barulah kotak ingatannya dapat mencerna semula memorinya.
"Ya Allah. Ya Allah. Mujurlah mimpi,".
Peluh dingin yang membasahi dahi dilap perlahan-lahan. Awatif bangun dan duduk berteleku di atas katil. Dia menoleh ke kanan. Diana lena diulit mimpi. Awatif menarik nafas lega. Tangannya mencapai telefon pintar yang berada di sisi bantal. Apabila melihat waktu yang tertera di skrin telefon, dia menelan air liur. Muka diraup berkali-kali.
"Allah. Dugaan apakah yang bakal kami lalui?" soalnya sendiri.
Tiba-tiba, bulu romanya menegak. Awatif membatukan diri. Pantas dia mencapai selimut yang berada di hujung kaki dan menyelimuti dirinya sendiri. 'Cepatlah siang!' jeritnya dalam hati.
"Aku datang! Kau dan aku adalah satu!".
Langit masih gelap tetapi dua anak gadis itu telah bersiap untuk ke sekolah. Diana kalut memasukkan barang-barangnya ke dalam beg sandang. Manakala Awatif sudah tercegat di luar pintu rumah sewa.
"Na, jangan lupa kunci pintu dan tutup semua suis," pesan Awatif sebelum masuk ke dalam kereta.
Diana bergegas meletakkan beg ke dalam kereta, sebelum dia masuk semula ke dalam rumah dan memeriksa semula semua suis, sama ada sudah ditutup atau belum. Setelah berpuas hati, Diana melangkah keluar dan berhati-hati pintu rumah ditutup lalu dikunci.
"Na,".
"Ya?".
Bicara Awatif mati seketika. Benaknya tengah menimbang, sama ada dia perlu berterus-terang atau tidak kepada Diana mengenai mimpi yang mengganggunya semenjak tiga malam berturut-turut. Diana masih memandang ke arah Awatif yang sedang memandu.
"Saya.... ada benda nak cerita,".
"Apa?" perlahan Diana menyoal. Apabila melihat air muka Awatif yang tegang dan teragak-agak, dia bagaikan dapat mengagak topik cerita Awatif. Sebelum mereka berdua menyewa rumah bersama-sama, masing-masing sudah tahu keistimewaan yang ada pada mereka, sama ada Awatif mahupun Diana, mereka berbeza berbanding rakan-rakan lain.
"Sebelum itu, saya harap Diana terima perbezaan saya,".
"Saya sama juga bah. Bezanya pancaindera kita. Awak mampu rasa dan saya mampu melihat,".
Perbualan antara dia dan Awatif masih melekat kuat dalam ingatannya.
"Saya....," bicara Awatif terhenti. Matanya difokuskan kepada bahu jalan. Diana hairan.
"Kenapa tiba-tiba diam?" soal Diana. Awatif tidak menjawab sebaliknya matanya terus tertancap pada bahu jalan. Dengan penuh rasa hairan dan ingin tahu, Diana mengalihkan pandangan ke hadapan. Giliran dia pula terkelu. Mereka membatukan diri. Mujurlah Awatif mampu mengawal kereta dan emosinya.
Susuk putih yang berdiri dalam kelam mencuit keberanian mereka. Semakin kereta menghampiri susuk putih itu, semakin menggila debaran di dada mereka. Apakah itu? Pagi-pagi tidak mungkin 'benda' itu mula aktif? Apakah yang akan terjadi sekiranya mereka melepasi susuk putih itu?
"Ya Allah!" luah Awatif dan Diana serentak sebaik sahaja kereta melepasi susuk putih itu. Diana mengurut-urut dadanya. Awatif pula tidak putus beristighfar.
"Jururawat!".
"Apalah dia buat dalam gelap di tepi jalan?".
Diana mengangkat bahu. Seketika kemudian mereka ketawa. Lucu kerana uniform putih yang dipakai oleh jururawat wanita itu berjaya menerbitkan rasa sangsi dan takut mereka.
"Awa, apa yang awak nak cerita tadi?" soal Diana sebaik sahaja tawa mereka reda. Giliran Awatif pula terdiam. Nafas ditarik dalam-dalam. Mimpi buruk yang telah menghantui lenanya selama tiga hari diceritakan kepada Diana.
Gadis itu terdiam. Bibirnya digigit. Mungkin dia cuba menganalisis mimpi Awatif. "Beginilah. Mengenai mimpi itu, nanti saya ceritakan kepada bapa saya," ujar Diana tenang. Awatif mengangguk faham. Dia sudah sedia maklum dengan kepercayaan kaum Diana terhadap mimpi berkaitan jin. Awatif menarik nafas lega.
"Awa, saya nak beritahu sesuatu juga,".
"Ya?".
"Saya minta maaf sebab tak beritahu awal-awal,".
"Mengenai apa?".
"Tapi janji dengan saya jangan takut,".
"In sha Allah," balas Awatif cuba bereaksi tenang. Dalam hatinya hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
"Sebenarnya sepanjang seminggu kita ke sekolah, di rumah atau keluar, ada bayangan hitam ikut kita,".
Tiba-tiba sahaja air liur dirasakan melekat di tengkuk. Bulu romanya menegak. Matanya masih fokus kepada pemanduan.
"Kenapa awak tak pernah beritahu?".
"Sebab saya risau awak takut,".
Awatif menarik nafas dalam-dalam. Ujian buatnya dan Diana bakal bermula. Amaran pertama adalah kepada Diana dan mimpinya merupakan amaran kedua. Suasana sepi seketika. Bunyi suara juruhebah radio yang petah berbicara memenuhi kereta.
"Awak rasa, 'benda' itu saya punya atau awak punya?" spontan Awatif menyoal Diana. Gadis itu menggeleng perlahan.
'Dugaan apakah yang bakal Engkau berikan, Ya Allah?".
***
Kedinginan hawa dalam bilik guru membuatkan Awatif hampir tertidur. Matanya dipejam dan dicelikkan beberapa kali, berharap rasa mengantuknya hilang. "Mengada sangat mata pun! Mujurlah tiada sesiapa dalam bilik guru," omelnya sendiri. Awatif berdiri dan menggeliat. Jam dinding dipandang sekilas. Sudah 15 minit waktu persekolahan telah tamat. Jadi tidak hairanlah bilik guru kosong.
"Awatif tak balik lagi?" soal Farihah, salah seorang pembantu murid yang bertugas di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran, yang tiba-tiba muncul dan membuka daun pintu. "Nak balik juga. Tunggu Diana," balas Awatif. Baru seminggu dia praktikum di sekolah tersebut. Jadi masih ada rasa malu dan kekok untuk terlalu ramah dengan para guru dan staf di situ.
"Oh, tunggu Diana! Rasanya dia ke kantin tadi. Beli air katanya," tambah Farihah. Dia menapak ke arah peti ais dan menyimpan sesuatu ke dalam peti ais.
"Mana semua orang kak?".
"Kalau tak silap kakak, Kak Adila, Kak Zainun dan Kak Azie pergi arked sebelah sana. Yang lain baiklah kot,".
Terangguk-angguk kepala Awatif, tanda faham. Farihah menghampiri pintu bilik guru.
"Awatif, sebelum balik matikan suis pendingin hawa dan lampu ya," pesan Farihah sebelum hilang daripada pandangan. Awatif kembali melabuhkan punggung di atas kerusi. Bosan pula menunggu Diana pulang dari kantin. Dia memerhati sekeliling bilik guru. Walaupun padat dengan meja guru tetapi susun atur perabot dan barang-barang sangat kemas serta teratur. Keceriaan bilik guru juga terserlah dengan warna dinding yang cerah. Pintu ditolak dari luar.
Batang tubuh Diana berdiri tegak di hadapan pintu. Di tangannya dibawa bersama-sama dua cawan kopi ais. "Amboi, banyak beli air!" tegur Awatif. "Ini untuk kamu satu," balas Diana lalu tersenyum. Kasut ditanggalkan dan dia melangkah masuk ke dalam bilik guru. "Errr.... terima kasih," ucap Awatif sebaik sahaja cawan bertukar tangan.
Diana meloloskan diri ke dalam kereta setelah lima minit enjin dihidupkan. "Nikmatnya," ujar Diana perlahan sambil tapak tangannya dihadapkan ke arah lubang pendingin hawa. Kehangatan mentari benar-benar membuatkan Diana berharap agar mereka cepat sampai di rumah sewa. Tiba-tiba, Awatif menepuk dahi. Diana menoleh ke arah Awatif dan memandang dengan penuh rasa hairan.
"Saya tertinggal barang dalam bilik guru! Sebentar ya," kata Awatif. Pintu kereta dibuka. Diana menghantar Awatif dengan anak mata.
Kosong. Tiada sesiapa di dalam bilik guru. Awatif kaku di hadapan pintu. Tangkai hatinya dijentik perasaan aneh. 'Perlukah kau melangkah masuk? Berani?' detik hatinya. Awatif menarik nafas dalam-dalam. Suis lampu dipetik. Beberapa ketika kemudian, bilik guru diterangi oleh cahaya lampu kalimantang. Tidak mahu berlama-lama di situ dan berperang dengan nalurinya, dia menapak masuk dan menuju ke mejanya. Segaris senyuman terukir apabila barang yang tertinggal akhirnya ditemui. "Kalau tertinggal buku teks ni, mahu sengsara nak buat rancangan pengajaran," bebelnya sendiri. Awatif menapak ke arah pintu. Sebelum melangkah keluar, tangannya pantas memetik suis lampu. Bilik guru kembali gelap. Dengan ekor matanya, dia sempat menangkap bayangan hitam melintas. Spontan dia menoleh ke belakang.
'Khayalan akukah?'. Semerta bulu romanya menegak. Tanpa membuang masa, dia melangkah keluar dan pintu bilik guru ditarik rapat.
"Aku datang!".
Usai membersihkan diri, Awatif menghempaskan badannya di atas katil. Perutnya kekenyangan selepas menikmati makan malam yang dimasakkan oleh tuan rumah. Dia menjeling ke arah Diana yang sedang berbual dengan seseorang melalui telefon. Awatif tidak dapat menangkap makna percakapan Diana kerana gadis itu menggunakan bahasa suku kaumnya. Mungkinkah dia bercerita mengenai mimpi itu?
"Waalaikummusalam,". Perbualan telefon berakhir di situ. Air muka Diana jelas menunjukkan ada sesuatu yang merisaukannya. "Kenapa?" soal Awatif memberanikan diri.
"Saya telefon bapa saya berkaitan mimpi kamu,".
"Jadi?".
Awatif memandang Diana dengan penuh rasa minat. Gadis kelahiran Sabah itu duduk berteleku di atas lantai. Bagaimanakah caranya untuk menerangkan kepada gadis itu? Diana menggigit bibirnya, sementara benaknya cuba menyusun ayat-ayat yang sesuai.
"Bapa kata, mungkin ada orang mahu menghantar sihir pada keluarga kami dan kamu mungkin akan terkena tempiasnya," kata Diana dalam ayat yang paling mudah. Terkebil-kebil Awatif memandang Diana.
"Kenapa saya pula yang kena tempias?".
"Sebab kamu kawan saya,".
Aneh. Berkerut-kerut dahi Awatif. "Itu andaian bapa saya sahaja. Apa-apa pun, persiapkan diri. Saya sendiri tidak tahu apa yang akan menimpa kita. Yang saya pasti satu sahaja," bicaranya terjeda seketika. Matanya memandang pintu rumah.
"Benda itu ada di luar sana. Semakin hari, benda itu semakin berani menghampiri kita," ujar Diana. Tiada riak bergurau pada wajahnya apabila dia menuturkan ayat itu.
"Persoalannya, 'benda' itu mahu siapa?" celah Awatif. Diana memandangnya. Persoalan yang masih tiada jawapan.
***
Cikgu Bahar memandang dua orang guru pelatih yang terlena di meja dalam bilik guru. Kemudian dia memandang guru-guru yang berada di situ. "Lena depa tidur. Penat sangat kot," kata Cikgu Bahar. Dia tidak kisah jika dua orang guru pelatih itu mahu berehat. Lagipun Diana dan Awatif menunjukkan prestasi kerja yang memberangsangkan. Guru-guru hanya tersenyum dan mengangguk perlahan.
"Nanti kejutkan mereka. Jangan sampai Guru Besar nampak," pesanan terakhir Cikgu Bahar kepada guru-guru sebelum dia menghilang ke biliknya.
"Mujurlah Cikgu Bahar bagi depa kelonggaran,".
"Kak Azie, kejut depa,".
"Ish, biarlah! Kak nampak depa penat sangat ni,".
"Pasaipa? Banyak sangat kerja?".
Azie memandang Adila dan Kent silih berganti. Sekilas dia menoleh ke arah Diana dan Awatif yang masih hanyut dalam dunia mimpi. Kemudian dia memberi isyarat supaya Adila dan Kent duduk. Dua orang guru itu terus mencari kerusi dan duduk menghadap Adila. "Depa cerita kat kami kelmarin," Azie memulakan cerita.
(Imbas Semula)
Diana memejamkan matanya. Awatif memandang sahabatnya itu dengan rasa simpati. 'Rehatlah sahabat. Satu-satunya tempat yang tenang buat kita berdua adalah di sekolah. Aku faham dan aku pun rasa,'. Bahu Awatif ditepuk perlahan, membuatkan dia sedikit terkejut. Apabila dia menoleh ke belakang, Azie memandangnya.
"Kenapa dengan Diana?" soal Azie. Farihah dan Hajar turut berada di dalam bilik guru. Awatif tersenyum tawar. "Dia migrain, kak," balas Awatif pendek. Pada masa yang sama, kepalanya berdenyut-denyut perlahan. Petanda migrain bakal menyerang.
"Pasaipa? Sebab tak makan nasi kot," celah Hajar. Diana ada satu corak pemakanan iaitu dia tidak pernah menyentuh nasi semenjak menjejakkan kaki di Semenanjung. Apabila Awatif bertanyakan sebab dia tidak makan nasi, balasannya "Sakit perut sampai muntah,".
"Bukan, kak,".
"Habis tu?".
Awatif terdiam. Perlukah dia berkongsi cerita? Mampukah orang luar memahami masalah yang dihadapi oleh mereka? Awatif memandang Diana.
"Kak tanya ni. Pasaipa diam?" soal Azie sekali lagi, menyedarkan Awatif daripada khayalan. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia bertawakal kepada Allah. Kalau dia membuka cerita dan tiada sesiapa yang memahami atau kata mereka berdua berkhayal, dia redha.
"Kami diganggu, kak,".
Berubah raut wajah tiga orang wanita yang berada dalam bilik guru itu. "Diganggu? Siapa?" celah Farihah, penuh rasa ingin tahu. Zaman sekarang manusia kian aneh dan kejam. Risau juga seandainya dua orang gadis itu diganggu oleh lelaki-lelaki tidak elok.
"Bukan orang, tapi benda ghaib," balas Awatif pendek.
"Benda... ghaib?".
"Ya,".
"Maksudnya hantu?".
"Jin dan syaitan mungkin lebih sesuai,".
"Sudah berapa lama?".
"Hampir sebulan,".
"Apa yang berlaku?".
Awatif berhenti seketika. Dia memandang Azie, Farihah dan Hajar silih berganti. Ada riak terkejut, teruja dan takut pada wajah masing-masing.
Awatif sibuk menyapu lantai yang dipenuhi dengan semut merah. Dia sangat pantang melihat semut, bagaikan musuhnya. "Assalamualaikum semut. Sila keluar dari rumah saya," omel Awatif sendiri.
"Awa!" sergah Diana tiba-tiba, memeranjatkan Awatif. Dia menoleh memandang Diana. Gadis itu memandangnya dengan pandangan tajam dan marah.
"Pada siapa kamu beri salam?".
"Se.... semut. Kenapa?".
"Jangan sembarangan beri salam malam-malam begini! Jangan buat!".
"Kenapa?".
"Salam kamu itu berbalas! Saya dengar. Jangan ulang lagi, faham?".
Apabila mendengar kata-kata Diana, bulu romanya menegak.
"Semenjak hari itulah, kami diganggu. Lebih tepat, saya sendiri mula berubah," ujar Awatif perlahan. Berkerut-kerut dahi mereka bertiga, cuba mencerna cerita yang keluar dari mulut gadis itu.
"Berubah? Maksud kamu?".
"Diana cakap, sudah seminggu saya meracau-racau semasa tidur malam. Sedangkan saya tak ingat apa-apa pun, kak,".
"Dia ada cakap kamu meracau apa?".
"Yang Diana cakap, saya seperti sedang marahkan sesuatu,".
"Selama seminggu?".
"Ya, kak. Mungkin sebab itu badan saya mudah letih sekarang ni. Tidur pun macam tak tidur,".
Mereka bungkam seketika. Aneh dan pada masa yang sama mereka bersimpati.
"Itu sahaja gangguan?" soal Hajar ingin tahu.
"Tak. Ada lagi," balas Awatif.
Comments
Post a Comment