Skip to main content

Warkah Gadis Separa Wanita

Assalamualaikum dan salam rindu.


Ke hadapan bakal zaujku,
Moga kamu berada dalam keadaan sihat sejahtera, di bawah lindungan rahmat Allah dan terus istiqamah berada di jalan agama-Nya.

Bakal zauj,
Kita berdua masih termangu-mangu, mencari erti kehidupan, di samping belajar menjadi khalifah di Bumi Allah yang luas ini. Warkah ini, aku tujukan khas buatmu. Baca dan hayati, semoga engkau memahami tujuan warkah ini dikarang khas untukmu.

Bakal zauj,
Aku gadis biasa yang sedang mengalami peralihan usia, dari gadis menjadi wanita. Gadis separa wanita ini, belum banyak isinya; sebagai wanita kehendak Melayu mahupun sebagai muslimah yang dituntut dalam Islam. Egoku tinggi, emosiku terkadang stabil, adakalanya aku kalah pada emosi. Gadis separa wanita ini, masih terumbang-ambing, mencari tempat untuk mengukuhkan pautan. Gadis separa wanita ini juga adakalanya terlalu membenarkan kata hati melangkaui percaturan akal.

Bakal zauj,
Aku bukan seperti wanita idamanmu, jauh sekali persis bidadari teman mimpimu. Aku, gadis separa wanita, yang pernah dilukai hatinya, dipersiakan kasihnya. Aku membesar dalam kalangan wanita yang perlu berdikari untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ilmu-ilmu hidup yang aku serap, hanya untuk menjadikan aku kelihatan kuat pada mata orang luar. Pada hakikatnya, secara fitrahnya, aku punya fitrah seperti wanita yang diciptakan Ilahi. Perwatakan aku kasar; lagak sahaja; kerana aku mahu maruah aku terlindung, aku mahu bekas luka lama tidak kembali berdarah.

:)
Aku dipotretkan pada mata masyarakat; gadis yang tiada kecantikan secara zahir, tidak menawan, nakal, gila-gila, mudah ditipu dan lurus. Aku izinkan mereka memotret aku dengan cara begitu, kerana pada aku, biar insan yang jujur dan ikhlas serta kuat sahaja dapat melihat diriku yang sebenar.

Bakal zauj,
Puas aku melaungkan kata-kata "Aku tidak akan jatuh cinta lagi! Aku hanya perlu ambil tahu hal insan yang ambil tahu mengenai aku sahaja!".
Entah di mana silapnya, mungkin aku angkuh melaungkan kata-kata ini.
Mungkin aku terlalu yakin dengan tembok ego yang dibina sendiri, sehingga lupa, kuasa Allah melampaui segala-galanya. Apabila DIA berkehendakkan sesuatu berlaku, maka akan berlaku.

Aku lupa, pertemuan, perpisahan, pertemuan semula dan perpisahan semula adalah salah satu daripada percaturan-Nya. Aku ditemukan oleh-Nya denganmu, dengan cara yang aku, kau dan mereka tidak jangka.
Aku terus menolak, menolak dan menolak. Hinggakan, tembok yang aku pernah bina, retak dan runtuh semula.
Saat robohnya benteng keegoan aku, saat aku menjahit semua luka-luka lama, aku sedar, aku memberi ruang kepada kamu.

Menangis. Hanya itu aku mampu. Menangis kerana sedar kau bukan lelaki biasa. Menangis kerana aku sedar, kau punyai agama. Saat itu, aku sedar, aku akan dibanding bezakan denganmu. Bukan kerana menyesal, tetapi bimbang kau menjadi punca luka baru akan membekas di hati. Aku menangis mengenangkan kata-kata lampau akan kembali menyeksa batin aku. 
"Kau tidak sesuai dengan lelaki warak seperti dia,".
"Kau sedar diri, bolehkah? Dia tidak sesuai untuk kau. Cerminlah diri,".
"Dia terlalu baik untuk engkau. Pilihlah yang sekufu dengan kau,".
Bohong kalau aku kata aku tidak terkesan.
Kesannya mendalam, sehingga wujud diri aku yang ketiga; gadis yang bersangka buruk dengan lelaki, gadis yang merendah diri dengan lelaki.

Aku terus menangis, terus berada dalam kegelisahan, sehingga Allah tegur aku, hamba-Nya yang hina ini, dengan cara yang paling mudah. DIA hantarkan kepada aku seorang sahabat untuk mengingatkan aku.
"Kenapa kamu perlu lari, ya sahabat? Kamu berhak memilih pasangan hidupmu. Kamu berhak untuk bahagia. Kenapa kamu perlu terus dikuasai oleh kisah-kisah lama? Jika datang seorang lelaki yang beragama kepada awak, berusaha menjadi wanita yang baik untuknya. Lelaki, suami kamu yang akan bimbing kamu kelak, bukan isteri yang mengepalai keluarga kamu kelak,".
Allah sedarkan aku dengan cara itu.
Kenapa aku perlu lari?

Bakal zauj,
Peringatan untuk kamu.
"Saya bukan gadis separa wanita yang sempurna. Saya masih belajar menjadi insan yang terbaik. Masih banyak lompangnya, masih banyak bimbingan yang diperlukan. Saya ini gadis separa wanita yang kalut, yang emosinya kadang-kadang melayang melampaui rasional, berlagak kuat walau secara fitrahnya saya hendak dilindungi dan dimanjakan. Saya gadis separa wanita yang mampu bertoleransi tetapi sekali saya menetapkan prinsip saya, hanya sesetengah insan sahaja yang mampu meleburkan prinsip saya itu. Andai, andai awak mampu menerima dan menampung kekurangan saya serta meraikan kelebihan diri saya, saya akan melakukan perkara yang sama. Semoga hubungan ini, bukan berlandaskan nafsu,".

Semoga, catatan isi warkah ini dapat kau fahami.
"Sekali awak melangkah masuk ke dalam hidup saya, sukar untuk awak berpatah balik semula,".

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...