Skip to main content

Aminul Syafiq (18)

"Syafiq!".
Laungan Mariam merencatkan aktiviti Aminul Syafiq pada petang itu. Bagaikan memahami maksud laungan neneknya itu, dia melepaskan Yen, kucing  kesayangannya,  dari pelukan. Dia menapak ke arah dapur. Kepala dijengulkan di pintu dapur.
"Ya, nenek?".
Kelihatan neneknya sedang menyusun mangkuk-mangkuk di atas meja.
"Kata nak belajar resepi rahsia kek coklat ummi?".
Bulat matanya memandang Mariam. Terkocoh-kocoh dia menanggalkan selipar dan masuk ke dapur. Mariam tersengih sendiri melihat gelagat cucunya. Pantang sebut sesuatu berkaitan Damia, pasti anak kecil itu menunjukkan minat. Tiba-tiba,  rindu menjengah ke dalam hatinya. Rindu pada menantunya yang nakal, kuat mengusik dan banyak bertanya itu.
"Nek, apa yang Syafiq kena buat?" pertanyaan Aminul Syafiq menyedarkan Mariam daripada lamunan.
"Pertama sekali basuh tangan.  Tadi Syafiq pegang Yen, kan?".
Aminul Syafiq mengangguk.  Tanpa banyak soal, dia menuju ke arah kepala paip air di luar rumah, yang lebih rendah.
"Nak ke mana tu?".
"Basuh tanganlah nenek cantik!".
"Kenapa tak basuh di sinki?".
"Syafiq pendek. Nanti kalau Syafiq panjat sinki tu, nenek cantik pula jerit!".
Mariam ketawa kecil mendengar kata-kata cucunya.

***

Suara kanak-kanak lelaki itu menyerbu ke gegendang telinganya. Tanpa dipaksa, hatinya jadi rawan. Raut wajahnya berubah. Bayangan Damia bermain-main di ruang matanya.
Miera yang berada di sebelah, perasan akan perubahan air muka suaminya. Dia memahami punca perubahan raut wajah Azfar. Dia bersorak dalam hati.
"Abang, kenapa ni?".
Bahu suaminya diurut-urut lembut. Anak mata Azfar masih melekat pada skrin televisyen. Namun jiwanya galau, melayan hasutan-hasutan kebencian yang menyinggah.
"Nothing, sayang. Abang penat sikit,".
Azfar mengalihkan pandangannya ke sebelah kanan. Wajah Miera ditatap lalu tersenyum. Miera membalas senyuman Azfar. Spontan dia memegang tangan Azfar dan mengangkat lalu meletakkan di perutnya yang kian membesar.
"Sayang, papa tengah sedih! Pesan pada papa, jangan sedih-sedih, nanti adik pun sedih,".
Azfar tersenyum tawar. Anak matanya dijatuhkan pada perut Miera. Ya, bukti cintanya dan Miera kian membesar. Bermakna tidak lama lagi, Aminul Syafiq akan dapat adik.
Matanya dialihkan semula pada wajah putih Miera. Pandangan mereka bertaut.
"Abang jangan benci Syafiq, ya. Sayang dia selayaknya. Sebab Miera tak nak Syafiq dan bayi baru kita ni bertengkar sebab cemburu,".
Suara lembut Miera menerjah ke cuping telinganya.
'Benci? Siapa kata aku benci dia? Cuma......,'.
"Abang, dengar tak?".
"Ya, sayang. Abang dengar. Dah, sayang jangan risau ya! Sayang tu patut banyak rehat. Anak sulung kita kan ni,".
Azfar menundukkan kepalanya dan dia mencium perut Miera. Wanita itu ketawa manja.

"Abi, ibu!".
Aminul Syafiq yang tiba-tiba muncul memeranjatkan Azfar dan Miera. Pipi wanita itu merona malu.
"Ya Syafiq?" soal Miera lembut. Azfar mendiamkan diri dan kembali menonton televisyen.
"Jom, nenek panggil makan kek!".
"Kek? Kek apa Syafiq?".
"Nenek ajar Syafiq cara buat kek coklat yang ummi selalu buat,".
Azfar mendengus kasar. Entah kenapa, mendengar sahaja mengenai Damia, hatinya panas. Miera yang perasan akan perubahan emosi Azfar, dia mengajak Aminul Syafiq ke dapur.
"Jom, Syafiq! Ibu laparlah,".
"Abi?".
"Abi....   tak makan kek. Dia tak nak gemuk. Jom, Syafiq!".
"Baiklah,".
Azfar menghantar Miera dan Aminul Syafiq dengan ekor mata. Kelibat mereka berdua hilang.
Gigi diketap. Pesanan Miera terngiang-ngiang di telinga.
Bukan dia berniat mahu membenci Aminul Syafiq. Dia sedar, perbuatannya dan layanannya terhadap anaknya sendiri hambar.
'Apa aku nak buat? Setiap kali aku tengok dia, aku akan ingat Damia!' jerit hati Azfar. Mata dipejam rapat. Suara-suara di televisyen tidak lagi memenuhi pendengarannya. Mindanya melayang, kembali kepada kenangan lalu.

***

Tangisan bayi membuatkan Azfar mempercepatkan langkahnya dari dapur ke bilik tidur.
"Kenapa? Kenapa?".
Wanita yang sedang mendukung seorang bayi lelaki ketawa kecil apabila melihat gelagat suaminya, yang baharu seminggu memegang status abi.
"Aminul Syafiq saja merengek ni, panggil abi dia agaknya,".
Azfar menarik nafas lega. Dia menghampiri isteri dan anaknya lalu duduk di birai katil. Dipandang raut wajah si isteri, sebelum pandangannya jatuh pada Aminul Syafiq. Anak lelaki sulungnya itu hanya merengek sekejap. Dicium lembut pipi merah Aminul Syafiq. Damia tersenyum bahagia melihat perbuatan Azfar. Dua-dua cinta hatinya.
Lama Azfar merenung wajah anaknya. Menilai dalam diam.
"Sayang, Syafiq banyak iras awak kan!".
"Eh, kenapa abang cakap macam tu?".
"Hidung dia, kening dia dan paling utama anak mata dia. Bersinar macam awak,".
"Hahaha... Saya rasa macam mentol pula awak kata mata saya macam tu,".
Azfar mengetap bibir geram. Susah ada isteri nakal seperti Damia. Ada sahaja perkara mahu dijadikan modal mengusik. Spontan Azfar mengepit hidung Damia dengan jarinya. Damia menjerit perlahan.
"Padan muka! Abang cakap betul, dia main-main pula!".
"Semenjak jadi abi ni, buat lawak pun salah dah,".
Azfar ketawa apabila melihat muncung isterinya. Pura-pura merajuk memang lakonan terhebat isterinya itu.
"Tapikan abang, ada satu yang anak kita ikut awak,".
"Apa sayang?".
"Lesung pipit,".
"Eh, mengada awak kan! Masa kecil dah boleh nampak ke lesung pipit tu?".
"Nantilah dia besar sikit,".
"Hahaha... Sengaja ambil hati abanglah tu!".
Damia tersengih. Mereka sama-sama memandang raut tenang Aminul Syafiq.
"Nanti kalau saya mati dulu, mesti awak rindu saya kan?".
"Sayang, kenapa cakap mengarut macam ni?".
"Hehe.... Kalau awak rindu saya, tengok Syafiq selalu tahu!".
"Kita jaga Aminul Syafiq sama-sama, sayang,".
Damia terdiam. Dia tahu, nada suara Azfar berubah tegas. Damia mengangkat wajahnya dan memandang Azfar. Giliran Azfar memandang isterinya.
"Abang sayang awak, Damia. Seadanya awak. Kalau awak pergi dulu, abang tak tahu..... tak tahu nak teruskan hidup tanpa awak,".

***

Mata dibuka. Tanpa diduga, air jernih bergenang di tubir mata.
'Ya Allah, kenapa dengan aku ni?'.
Azfar bangkit dan menapak ke arah televisyen. Butang merah ditekan, sekali gus skrin gelap.

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...