Ein sudah melangkah masuk ke dalam kereta, di bahagian pemandu. Aku terkulat-kulat sendiri. Memandang emak dan adik Ein yang sedang menapak ke arah kereta. Aku membuka pintu belakang, niat aku biar aku duduk di belakang dengan adiknya. Sebaliknya, emak Ein pula yang masuk ke dalam.
"Eh, mak cik duduk depan! Biar saya duduk belakang,".
"Takpa! Damia duduk depan takpa. Mak cik selesa duduk belakang dengan Nina,".
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ah, sudah! Emak Ein sengaja bagi peluangkah? Aku menutup pintu belakang dengan berhati-hati. Nanti tersepit kain bakal mak mertua aku. Eh, perasan!
Aku menjengahkan kepala ke dalam kereta. Ein tersengih memandang aku. Amboi, sengihan!
"Adik dan abang awak?".
"Depa naik motor dulu. Sampai di kaki bukit nanti, tukaq driver,".
Aku terdiam. Tukar pemandu? Ada soalan mahu ditanya tetapi aku diamkan dahulu.
"Jom, jom! Kita nak gerak dah,".
Aku mengangguk dan melangkah masuk dengan kaki kanan. Seram sejuk lain macam apabila duduk di sebelah Ein. Bukan seram sejuk yang menakutkan itu. Bayangkanlah, bakal mak mertua di belakang dan kena duduk sebelah anak teruna kesayangan. Seram lain macam! Faham atau tidak? Tak faham, aku doakan kalian rasa sendiri.
Kereta mula bergerak, meninggalkan perkarangan halaman rumah Ein.
***
"Damia pernah pi ka Gunung Jerai?".
Eh, kekok pula mahu berbual dengan emak Ein yang duduk di belakang! Macam tidak beradab pula. Aku mengalihkan badan, supaya kepala aku mudah dipusing untuk melihat emaknya. Masalahnya, posisi badan aku akan menghadap Ein pula! Uish, kekok! Aku pula jenis manusia cepat cair apabila menatap muka manis milik lelaki itu.
"Tak pernah, mak cik. Ini kali pertama," ujarku, tidak mahu mengambil kisah mengenai renungan Ein. Aku dan dia sama-sama main mata dalam diam! Nasiblah emak dia ada. Kalau tidak, sumpah aku melompat keluar dari kereta.
"Aih, dok Kedah lima tahun tak pernah naik?".
Aku memandang Ein. Dia mula membuka ayat mengusiknya.
"Kawan-kawan saya kata bahaya kalau perempuan naik tidak berteman,".
Ein tersenyum simpul. Dia memang suka kalau dapat buat aku geram mahu balas usikan dia. Beritahu aku, bagaimana aku mahu balas usikan dia kalau emak dia ada di belakang?
"Ha, takpalah! Seronok kat atas tu nanti,".
"Mak cik selalu pergi?".
"Selalulah juga. Kalau berkumpul dengan keluarga, kat sana la selalu,".
"Oh, seronoknya mak cik!".
Perbualan kami terganggu dengan deringan telefon pintarku. Aku melihat nama yang terpapar di skrin.
'Kenapa mamat ni telefon aku?'.
Antara mahu dan tidak, aku menolak jari telunjuknya ke kanan.
Ein sekadar memerhati aku dengan ekor matanya. Selebihnya difokuskan kepada jalan raya.
"Siapa?" soal Ein sebaik sahaja pemanggil memutuskan talian. Aku memandangnya.
"Kawan,".
"Kawan? Pasaipa?".
"Takdelah. Dia nak jumpa,".
"Lelaki atau perempuan?".
"Lelaki,".
"Ajaklah dia jumpa di Gunung Jerai,".
Aku menggeleng-geleng laju. Telefon disumbatkan ke dalam beg. Aku mencuri pandang ke arah wajah Ein. Berharap dia tidak ragu dengan aku.
Sepanjang perjalanan, pelbagai perkara kami bualkan. Emak Ein banyak bertanya mengenai diri aku. Aku jawab sejujurnya. Apa yang mahu disorokkan? Sepanjang perjalanan itu juga, Ein tidak pernah gagal membuatkan aku ketawa. Ada sahaja modal dia.
"Tak henti ketawa la kamu, Damia, kalau melayan si Ein ni!".
"Hahaha.... Betul mak cik!".
"Perangai tak ubah macam arwah ayah dia,".
Emak Ein ketawa kecil. Entah kenapa, tangkai hati aku dijentik sayu. Aku pandang Ein yang sedang memandu. Lelaki itu tersengih.
'Ya Allah, aku pun tak tahu kenapa dia yang aku suka. Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui, semenjak kali pertama Engkau temukan aku dengan dia. Engkau Yang Lebih mengetahui hati hamba Mu ini,'.
"Awak,".
"Err... ya awak?".
"Nanti masa nak daki bukit, abang saya akan pandu kereta ni,".
"Awak?".
"Saya naik motor, bonceng adik saya,".
"Hm... ok,".
"Nanti awak pindah duduk belakang. Biar Nina datang duduk depan,".
Aku mengangguk faham. Cemburu atau risau? Aku ingat lagi, ayat pertama yang dia pernah beritahu aku,"Awak, awak sama umur dengan abang saya tahu! Nanti jumpa dia, jangan berubah hati pada dia pula,". Aku tersenyum sendiri apabila teringat peristiwa itu.
"Kenapa senyum ni?".
"Nothing,".
Masalah sekarang, kalau Ein naik motor, bermakna aku akan bersendirian dengan keluarga dia!
Ya Allah, sesak nafas rasa!
'Kau boleh, Damia! Kau boleh! Berani kerana benar,'.
Eh, pelik betul kata-kata semangat hati aku ini!
Comments
Post a Comment