Lampu Hijau
"Aisha mahu ke kantin. Ada sesiapa mahu kirim makanan atau minuman?" tanya Aisha Alifa, sambil mengintai ke kelas sebelah. Kelihatan Hamidah sedang leka di meja kerja. Manakala Hanim sedang memerhati dan membimbing murid-muridnya menyiapkan kerja seni lukis. Serentak mereka memandang ke arah Aisha Alifa yang sedang tersengih.
"Air Milo ais satu,".
"Sirap limau ais!".
"Baik. Danny, kau nak kirim tak?" soal Aisha Alifa, meninggikan sedikit suaranya.
"Weh, aku mahu kirim teh o ais!" balas Danny, selang satu kelas. Usai mengambil pesanan, Aisha Alifa keluar daripada bilik darjah dan menyarungkan kasutnya.
Telefon pintarnya bergetar, menandakan ada pesanan masuk ke dalam peti simpanan mesej. Jari telunjuk kanan diletakkan pada bahagian belakang telefon. Beberapa saat kemudian, skrin telefon bercahaya dan skrin dinyahkunci.
Hai Cikgu Aisha. Where are you going?
Aisha Alifa tersenyum sumbing melihat nama yang tertera pada aplikasi Whatapps. Tahu sahaja lelaki itu mengenai pergerakannya di kawasan sekitar sekolah.
Kantin. Wanna join me?
Sengaja Aisha Alifa tidak bertanya bagaimana lelaki itu tahu pergerakannya, seolah-olah ada kamera litar tertutup yang dipasang khas untuknya.
Terima kasih sudi ajak tapi bukan sekarang.
Baiklah.
How about this weekend? Jadual cikgu penuh atau tidak?
Setakat ini jadual saya dipenuhi dengan menonton anime sahaja. Kalau ada orang sanggup ubah jadual hujung minggu saya.
Great then. Saya kira Aisha setuju. Selepas Jumaat, kita keluar.
Wait. Saya tak beri keputusan ya atau tidak, bukan?
Hafiz tersenyum sumbing apabila membaca pertanyaan Aisha Alifa. "Hah, itulah engkau tak tahu!" jerit Hafiz dalam hati. Jari-jemarinya bergerak laju di atas skrin telefon.
Saya dapat cop mohor dari Abah awak. Kira lampu hijaulah, kan?
Terkebil-kebil Aisha Alifa memandang skrin telefon. Kemudian dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. "Biar betul mamat ni. Berani betul. Abah pun, haish...," omel Aisha Alifa perlahan. Walaupun dia mengeluh perlahan, tetapi ada sebaris senyuman terukir perlahan-lahan di bibirnya.
Cik Aisha Alifa? Hello, are you there?
Argh.. Baiklah! Awak menang, Cikgu Hafiz. When and where?
:-) Anywhere you want to spend your weekend.
Aik, awak ajak saya keluar, saya kena fikir nak pergi mana?
I'm okay anywhere, as long as with you, Miss Aisha.
Aisha Alifa tersenyum sendiri.
Okay. Saya nak lepak kawasan pantai. Awak orang sini, mesti awak tahu.
Bisa diatur. See you soon, I guess?
In sha Allah.
Telefon pintar disimpan ke dalam kocek baju kurung. Aisha Alifa menapak masuk ke dalam bilik makan guru. Senyuman masih terukir di bibir.
Tanpa disedari, nun di satu sudut, sesusuk tubuh sedang memerhati gadis itu dari jauh. Sengaja dia mengikut langkah Aisha Alifa, semata-mata mahu melihat reaksi gadis itu. Selepas kelibat Aisha Alifa hilang dari pandangan, Hafiz membelok ke kanan, mendaki anak-anak tangga, naik ke aras satu.
***
Kampung Badak, Kelantan
Bayu petang bertiup perlahan, menyapa sebatang tubuh tua yang sedang duduk berehat di kerusi batu. Sesekali dia tersenyum sendiri, kemudian membetulkan cermin mata yang kian melurut jatuh dari batang hidung.
“Yang abang senyum sendiri ni, kenapa?” tegur Maryam yang tiba-tiba muncul dari belakang. Dia menatang dulang yang berisi dua cawan teh o panas dan cempedak goreng.
“Nak senyum pun tak boleh? Itukan hak asasi manusia,” balas Aziz tenang. Maryam meletakkan dulang di tangan dengan berhati-hati, sambil menggeleng-geleng perlahan. “Tiada masalah pun tetapi senyuman abang ni, lain macam,” balas Maryam.
Aziz tersenyum, sambil menggerakkan keningnya ke atas dan ke bawah berulang kali. “Atau abang gembira mengenai budak yang telefon abang semalam?” serkap jarang Maryam.
“Ya, kot,”.
“Aik, ya kot?”.
Aziz ketawa kecil. Tangannya mencapai sebiji cempedak goreng, lalu disumbatkan ke dalam mulut. Maryam termenung jauh. Raut wajahnya tenang tetapi ada sesuatu yang sedang berputar di benaknya. Aziz memandang isterinya itu dengan hujung anak mata.
“Abang…,”.
“Hm?”.
“Kalau…,”.
“Kalau?”.
“Macam mana kalau budak lelaki yang telefon abang tu cuma main-main?” akhirnya Maryam meluahkan kegusaran yang bersarang di hatinya, semenjak semalam. Aziz tidak terus menjawab, sebaliknya dia menelan sisa cempedak goreng dalam mulut. Sementara Maryam pula menanti dengan penuh sabar. Bukan dia menafikan ada hati yang terpaut pada anak daranya, Aisha Alifa. Cuma peristiwa lalu membuatkan hati tuanya galau dan pasrah andai anaknya itu akan membujang sehingga tua.
“Dulu abang nak mengurat awak pun melalui arwah abah kan?” giliran Aziz pula memberi soalan kepada Maryam. Sengaja dia tidak terus memberi jawapan tetapi dia membalas dengan melontarkan semula kenangan lama sebelum dia dan Maryam disatukan. Isterinya tersenyum malu.
“Ini kali pertama ada lelaki yang berani minta kebenaran daripada kita untuk berkawan dengan Aisha. Berilah dia peluang,” ujar Aziz. Cawan teh o panas dicapai lalu dicicip dengan berhati-hati. Maryam diam. Wajah Mustafa tiba-tiba menerjah ke dalam kotak ingatannya. Hati tuanya hiba seketika. Lelaki yang diharapkan untuk menjaga anak daranya memutuskan tali pertunangan, beberapa bulan sebelum majlis berlangsung. Tanpa sebab dan tanpa berita.
“Perkara yang sudah berlaku, biarkan berlalu. Kita sebagai orang tua, kena reda, kena pasrah. Kalau kita rasa sakit hati dan malu, apatah lagi Aisha. Biarlah. Dia dah bangkit semula. Mungkin dia nampak kuat sekarang sebab kita berdua pun tidak jemu beri dia semangat. Sekarang, ada yang tertawan dengan anak dara kita tu. Beri mereka masa dan peluang,” tiba-tiba suaminya bersuara, memecah rantai kesepian yang membelenggu mereka.
“Ish, abang ni macam boleh baca fikiran saya pula!”.
“Hahaha… Awak tu isteri saya, Maryam. Sekilas ikan di air, sudah saya tahu jantan atau betina,”.
Maryam ketawa perlahan. Suaminya menghalau segala rasa gundah yang bersarang dalam hatinya.
‘Ya Allah Ya Tuhanku. Engkau Maha Mengetahui segala yang berlaku di antara langit dan bumi. Andai lelaki itu merupakan satu ujian buat Aisha, Engkau kurniakanlah anakku itu kesabaran dan keimanan yang tinggi. Andai lelaki itu satu anugerah jodoh buatnya, Engkau lindungilah mereka dan permudahkan segala urusan mereka,’.
Comments
Post a Comment