Skip to main content

Beza - Kisah Di Rumah Sewa Awin

Anak-anak tangga dipijak dengan berhati-hati. Tersilap langkah,  boleh tergolek. Tidak terasa mengah walaupun turun tangga dari tingkat tiga kerana rasa penat melayan murid-muridnya lebih menguasai dirinya. 'Baru kelas ganti. Kalau aku mengajar kelas Empat Aman,  boleh tercabut anak tekak,' bebel Awatif dalam hati. Namun seketika kemudian, dia tersenyum sumbing. Pelbagai ragam murid-muridnya menjadikan dia gembira.
"Cikgu,  jom main teka-teki!".
"Cikgu,  cantik tak lukisan saya?".
"Cikgu,  nak main bola kertas boleh?".
"Cikgu,  macam mana nak buat latihan Bahasa Inggeris ini?".
Kakinya berhenti melangkah apabila tiba di hadapan bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)  Masalah Pembelajaran. Sunyi. Mungkin penyelia membawa murid-murid ke makmal komputer. Awatif tidak terus masuk ke dalam.  Sebaliknya,  dia memilih untuk melepaskan lelah di kerusi panjang yang disediakan di luar bilik PPKI.
"Hah, panasnya!".
Awatif mengeluarkan sehelai sapu tangan dari dalam beg sandangnya. Renik-renik peluh di dahi dilap. Pandangannya tertancap pada taman mini di hadapan bilik PPKI. Sebulan yang lalu,  taman mini itu kelihatan berserabut dan penuh dengan rumput. Setelah berbincang dengan penyelia PPKI dan mencapai kata sepakat,  Awatif dan rakan-rakan berjaya memulihkan semula keceriaan taman mini itu. Walaupun panas dan penat,  akhirnya projek keceriaan mereka selesai.
"Hoi!" sergahan Syakila sekaligus mematikan lamunan Awatif.
"Bila kali terakhir kena tampar?" marah Awatif atau dengan lebih tepat,  dia terkejut dengan sergahan gadis kelahiran Sabah itu. Gadis tinggi lampai itu ketawa mengekek. Awatif melurut-lurutkan tapak tangan di dada,  dengan harapan menenangkan sekeping jantung yang berdegup kencang.
"Maaflah.  Nampak khusyuk sangat berkhayal. Ingat kesayangan ya?" usik Syakila.  Tanpa dijemput,  dia mengambil tempat di sebelah Awatif. Suasana sepi seketika.  Masing-masing melayan perasaan sendiri.
"Awa,  sudah lima tahun setengah kita kenal,  bukan?".
"Hahaha...  Hm,".
"Awa...  Boleh saya cerita sesuatu?".
"Sesuatu?  Cerita sajalah. Buat pelik apahal?".
Syakila terdiam. Awatif pula masih memberi reaksi bersahaja.
"Awa, saya ingat lagi peristiwa semasa kita berkhemah di Pangkor dan peristiwa semasa kita keluar makan di pekan dulu. Saya tahu awak boleh rasa benda ghaib di sekeliling awak,  bukan?" tanpa berselindung, Syakila terus meluahkan perkara yang terpendam di lubuk hatinya. Awatif terkedu seketika. Tidak tahu mahu membenarkan atau menafikan.
"Saya ingat lagi awak tiba-tiba menangis semasa Maghrib dulu,  di Pangkor. Awak menangis sebab awak takut,  bukan?".
"Hm,  apa maksud awak sebenarnya,  Syakila?  Apa kaitan dengan sesuatu yang awak mahu beritahu saya?" soal Awatif,  riak wajahnya masih tenang. Syakila mengubah posisi kedudukan badannya. Sengaja dia menentang mata dengan Awatif,  supaya gadis itu lebih yakin dengan ceritanya.
"Mengenai rumah sewa kami,  saya dan Awin,  di Arau beberapa bulan yang lalu," luah Syakila. Spontan Awatif menoleh ke kanan,  memandang tepat ke dalam anak mata Syakila.

(Imbas Kembali)

Peristiwa 1 - Kehadiran

"Syakila,  cepatlah buka mangga pagar!  Tak tahan ni," bebel Awin sambil menjengahkan kepala keluar dari tingkap kereta.
"Sabarlah!" balas Syakila. Pagar aluminium ditolak dengan berhati-hati sebaik sahaja mangga dibuka. Awin melepaskan pijakan di pedal brek kereta menyebabkan kereta Kelisa itu maju ke hadapan dengan perlahan. Kunci kereta dipulas,  sekaligus bunyi enjin kereta hilang.
"Saya masuk dulu.  Lepas awak ambil barang-barang awak,  jangan lupa kunci kereta ya," pesan Awin kepada Syakila yang sedang menutup pagar rumah.
"Baik," balas Syakila. Entah mengapa,  jantung dia berdegup kencang. Dia berselawat dalam hati.
Awin melangkah menghampiri pintu rumah.  Tergesa-gesa dia memasukkan kunci ke dalam lubang tombol.
Klik! Pintu rumah ditolak dari luar. Tiba-tiba,  angin dingin menyerbu keluar dan mengena tepat di wajah Awin. Gadis itu pegun di hadapan pintu,  bersama-sama degupan jantung yang berubah rentak.
"Aku datang,".

°°°
Peristiwa 2 - Darah

Azan berkumandang,  menandakan waktu Subuh telah menjengah. Syakila yang sudah bersiap lebih awal untuk menunaikan solat Subuh, menapak ke luar bilik dan menghamparkan sejadah. Pintu bilik Awin diketuk perlahan.
"Bangun,  solat Subuh," kejut Syakila,  sementara tangannya terus mengetuk pintu bilik Awin. Apabila mendengar balasan suara serak-serak basah Awin,  Syakila berlalu pergi dan menghampiri sejadah.
"Allahuakbar,".
Solat Subuh ditunaikan,  sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam.

Bunyi deburan air jatuh ke lantai menandakan Priya sedang mandi. Syakila pula,  usai sahaja solat,  dia terus ke dapur.  Sudah menjadi rutin dia di hujung minggu,  menyediakan sarapan untuk dia dan rakan-rakan di rumah sewa itu.
Pintu bilik air dibuka. Terpacul susuk tubuh Priya yang tinggi,  sedang mengeringkan rambut dengan membungkusnya menggunakan tuala. Syakila memandang ke arah Priya.
"Masak apa?".
"Nasi goreng.  Bolehkan?".
"Boleh saja," balas Priya. Tidak mahu mengganggu Syakila,  dia mengatur langkah masuk ke bilik. Namun langkahnya terhenti apabila namanya diseru oleh Syakila.
"Nanti basuh cadar.  Ada darah di situ," ujar Syakila perlahan. Priya tersenyum malu. Walaupun mereka sama-sama wanita,  apabila berbicara mengenai rahsia wanita,  mereka masih malu.
"Err...  Baiklah. Terima kasih sebab beritahu.  Maaf ya," ucap Priya ikhlas. Syakila tersengih.

Priya menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. Kosong. Tiada tanda darah di cadar katil. Untuk kepastian, Priya memetik suis lampu. Semerta bilik yang dikongsi dengan Syakila menjadi terang.
"Sah, tiada! Eh,  takkanlah Syakila menipu pula?" omelnya sendiri. Tiada secalit pun warna merah di cadar katil.
"Kila!" panggil Priya dari dalam bilik.
"Ya?" sahut Syakila,  kepalanya terjengul di hadapan pintu bilik.  Jarak di antara bilik tidurnya dengan dapur hanya sedepa,  membuatkan dia dapat mendengar suara Priya yang memanggilnya.
"Tiada kesan darah pun,".
"Eh,  adalah!  Tadi saya nampak," kata Syakila. Pantas dia menapak masuk ke dalam bilik.
"Tiada pun.  Cuba tengok,".
Bulat mata Syakila memandang katil. Kosong.  Suci. Hanya warna cadar yang berwarna ungu sahaja kelihatan.
"Em..  Maafkan saya.  Mungkin saya silap tengok,".
Kening Priya terangkat ke atas. "It's okay. Biasalah,  kadang-kadang mata pun menipu juga. Hehehe...," pujuk Priya. Lambat-lambat dia mengangguk. Sedangkan dalam hatinya,  kuat menafikan.
'Aku nampak tadi.  Ada darah. Tapi mana?' bertalu-talu soalan yang sama menyerang benaknya. Tiba-tiba,  bulu romanya meriding.

(Masa kini - Di sekolah)

Awatif terpaku. Cerita yang didengarinya dan perasaanya semasa melawat le rumah sewa Awin,  bagaikan ada pertalian. Mungkin perasaan tempoh hari bukan daripada gangguan atau khayalannya. Mungkin memang ada sesuatu.
"Selepas beberapa gangguan yang lain,  saya dan Awin mendapatkan bantuan Ustaz Aziz. Dia perawat perubatan Islam. Kami lakukan tanpa pengetahuan yang lain," tambah Syakila.
"Apa Ustaz Aziz buat dan beritahu?" tanya Awatif,  cuba mengorek rahsia rumah sewa tersebut.
"Ustaz Aziz minta Awin hantarkan gambar-gambar kawasan di dalam rumah tersebut. Selepas dia memerhati beberapa keping gambar yang dihantar oleh Awin,  hasilnya....," bicara Syakila terhenti seketika apabila beberapa orang guru melintas di kaki lima bersebelahan bilik PPKI. Mereka berbalas senyuman dengan guru-guru itu.
"Hasilnya?".
"Memang rumah itu bermasalah. Bahagian yang paling bermasalah adalah dapur dan bilik saya.  Kemudian,  ustaz minta kami baca Al-Quran untuk beberapa malam dan ustaz pun berusaha dari jauh," kata Syakila. Di akhir bicaranya,  ada riak ketenangan. Awatif tersenyum lega.
"Maksudnya,  gangguan itu berakhirlah?" teka Awatif. Syakila mengangguk.
"Alhamdulillah,  semua berakhir,".
Awatif mengangguk perlahan. Bahu Syakila diusap perlahan-lahan,  memberi kekuatan kepada rakannya itu.
'Jadi,  naluri aku terbuka pada hari aku melawat mereka. Ya Allah, lindungi aku, hamba Mu yang paling lemah dan tidak berdaya ini daripada segala gangguan syaitan dan jin,' bisik hati Awatif.

Buat masa sekarang, dia masih mampu bertahan. Untuk masa depan,  segala-galanya dia berserah pada Allah. Dia berbeza,  walaupun sedikit tetapi harapannya moga setakat itu kerana dia tahu,  betapa lemahnya dirinya.
"Namun Allah maha mengetahui sejauh mana kemampuan kau,".

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...