Skip to main content

Beza - Aku Datang (Episod Akhir)

Masing-masing leka merancang dan mencari idea untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Melayu pada minggu hadapan.  Usai sahaja solat Isya',  mereka terus mengangkat komputer riba dan buku-buku rujukan yang berkaitan subjek Bahasa Melayu ke luar beranda. Tuan rumah telah meletakkan sebuah meja kayu yang besar di beranda beserta kerusi-kerusi plastik. Diana dan Awatif menjadikan kawasan beranda itu sebagai markas untuk mereka mencari idea dan menyiapkan segala tugasan berkaitan sekolah.
Angin bulan Mac yang bertiup lembut,  tidak kira siang dan malam,  cukup untuk menghalau rasa panas bahang mentari. Tiba-tiba,  Diana ketawa sendiri.  Kedua-dua belah kening Awatif terangkat. Padanya bukan perkara luar biasa kerana gadis kelahiran Sabah itu selalu ketawa sendiri,  terutama sekali apabila dia menonton anime.
"Na,".
"Ya?".
"Anime apa kamu tengok?".
"Ini. Baby Bell,".
"Oh,  baiklah!".
Awatif kembali fokus kepada tugasannya. Buku Rancangan Pengajaran Harian dicapai dan dibelek sehingga tiba di muka surat subjek Bahasa Melayu. Beberapa komen tulisan tangan penyelia untuk subjek Bahasa Melayu diperhati sekali lagi. Kemudian,  dia mengeluh perlahan. Diana perasan akan keluhan yang terluah daripada bibir sahabatnya.
"Jangan mengeluh bah,".
"Hmmm,".
"Kenapa?".
"Saya tidak fahamlah tulisan tangan Encik Sufian!".
Diana ketawa mendengar omelan sahabatnya. Tangan kanannya dihulurkan.  Awatif memahami maksud perbuatan Diana,  menghulurkan bukunya kepada Diana. Suasana sepi seketika. Hanya bunyi bayu yang bertiup perlahan dan diselang-seli dengan bunyi sekumpulan cengkerik yang saling bersahutan memenuhi pendengaran. Rasa tenang menyelinap ke dalam jiwa Awatif. Diana membelek-belek buku pengajaran milik Awatif.
"Oh,  patutlah encik komen begini!  Cara kau tulis objektif ini terlalu umum," ujar Diana selepas berdiam diri dan menganalisis komen-komen yang telah ditulis oleh Encik Sufian.
"Bagaimana cara yang betul?".
"Begini....,".
Diana menerangkan satu persatu teknik yang betul untuk menulis objektif pengajaran dan pembelajaran untuk subjek Bahasa Melayu kepada Awatif.
Tanpa mereka jangka, ketenangan hujung minggu mereka bakal terganggu.
"Aku datang!".

****

Keropok goreng yang masih bersisa digigit dan dikunyah perlahan-lahan.  Keruh di wajah kedua-dua guru pelatih itu jelas kelihatan.  Farihah dan Cikgu Firman memandang Awatif dan Diana silih berganti.
"Baiklah.  Semua beratur, baca doa selepas makan dan berbaris elok-elok masuk ke kelas," arahan diberikan oleh Cikgu Bahar kepada murid-murid PPKI apabila waktu rehat hampir tamat. Beberapa orang guru dan pembantu murid turut bangun.
"Awa," panggil Cikgu Firman perlahan. Sementara anak matanya mengawasi pergerakan murid-muridnya. Awatif menoleh ke arah Cikgu Firman. Guru lelaki yang kurus tinggi itu memberi isyarat kepada Awatif supaya berjalan di barisan belakang murid-murid. Dengan kata lain,  dia mahu berbual dengan gadis itu. Memahami maksud isyarat Firman,  dia menapak ke barisan paling belakang.

"Kenapa muka keruh sangat?  Gaduh dengan marka?" bertalu-talu soalan diajukan oleh Cikgu Firman. Awatif ketawa perlahan mendengar persoalan cikgu muda itu. Dia tahu guru-guru di PPKI jenis yang mengambil berat mengenai kebajikan rakan sekerja. Awatif terharu walaupun dia dan Diana datang atas dasar praktikum,  namun layanan yang mereka peroleh sangat istimewa,  bagai kakak dan abang.
"Saya tiada 'marka',  cikgu,".
"Hang jangan tipu.  Cuba cerita,".
Awatif tersengih tetapi tidak mampu menipu mata Cikgu Firman. Nafas ditarik dalam-dalam. Firman menumpukan sepenuh perhatian kepada Awatif.
"Sebenarnya,  saya dan Diana kena ganggu lagi,".
"Ganggu? Oh,  Azie ada cerita fasal gangguan yang kamu berdua kena semenjak menyewa di sini! Bila?".
"Hujung minggu lepas,".
Perbualan mereka terhenti apabila tiba di kawasan bilik darjah PPKI.  Murid-murid duduk berselerak di luar kelas,  membuka kasut masing-masing dan diatur dengan kemas di atas rak kasut yang disediakan. Firman memandang jam di pergelangan.
"Awa ada kelas lepas rehat?".
"Ada.  Pukul sebelas nanti,".
"Elok!  Kalau begitu,  jom lepak di kerusi batu dulu.  Cerita gangguan yang berlaku,".
"Hm,  boleh juga!" balas Awatif. Sekilas dia menjeling ke arah pintu bilik guru.  Sepasang kasut sukan biru milik Diana terletak elok di atas rak kasut guru. Kemudian dia menyoroti langkah Cikgu Firman.

(Imbas Semula)

Kelopak matanya terasa berat. Sesekali Awatif memejam dan mencelikkan semula matanya,  berharap rasa mengantuk yang singgah berlalu pergi. Dia mencuri-curi pandang ke arah sahabatnya.
'Ah,  masih belum ada tanda-tanda mahu lena nampaknya sumandak ini!' bisik hati Awatif. Telefon bimbit dicapai.  Terbeliak matanya apabila melihat waktu yang dipaparkan di skrin telefon. Sudah hampir pukul satu pagi.
"Diana," panggil Awatif perlahan dan manja. Satu situasi yang biasa pada Diana. Dia sudah masak dengan perangai sahabatnya yang satu itu.  Apabila Awatif mengantuk atau penat,  gadis kelahiran Pantai Timur itu akan berubah manja,  persis kanak-kanak.
"Ya.  Kau mengantuk?".
Awatif mengangguk perlahan,  kemudian dia menguap.
"Kalau begitu,  kau masuklah bilik dulu,".
"Kamu?".
"Kenapa dengan saya?".
"Beranikah duduk di beranda malam-malam begini?".
"Aku berani saja,  bah. Pergilah kau. Sambung esok,".
"Kamu tidak mahu tidurkah?".
"Belum mengantuk lagi.  Pergilah.  Kemaskan barang-barang kamu ini," kata Diana,  bertindak sebagai kakak kepada Awatif. Tanpa banyak bicara,  Awatif mengemaskan alat tulis dan buku-bukunya.
"Saya masuk tidur dulu. Assalamualaikum,".
"Waalaikumsalam.  Oyasumi,".

Sudah dua jam Awatif terbaring di atas katil. Namun matanya tiba-tiba sahaja tidak mampu dipejam. Puas dia bergolek ke kanan dan kemudian mengubah posisi mengiring ke kiri.  Namun sukar untuk dilelapkan mata.  'Ah, tidurlah Awatif!' pujuk hatinya. Dia tidak rasa dia bersendirian.
'Diana,  masuklah tidur!' Awatif menjerit dalam hati. Telefon bimbit dicapai dan aplikasi pemain muzik dibuka. Bacaan Kursi memenuhi corong telinga Awatif.  Perlahan-lahan,  kelopak matanya dipejam.
"Arghhhhh! Sial! Kau tunggu!".

Berbeza dengan Awatif,  Diana masih lagi leka menghadap komputer ribanya. 'Esok cuti lagi!' bisik hatinya. Anak matanya meneliti setiap fail yang terpapar di skrin komputer riba.  Dia melakukan dua kerja dalam satu masa,  mencari bahan pengajaran dan pembelajaran serta memuat turun anime terbaru. Diana tersengih sendiri.
"Hoi!".
Hampir luruh jantungnya apabila dia disergah. Siapa?  Mustahil Diana.  Pencurikah? Antara berani dan tidak,  dia menoleh ke belakang.  Kosong.  Hanya kelam malam yang memenuhi ruang penglihatannya. Spontan Diana menoleh semula ke hadapan dan disumbat 'earphone' ke dalam lubang telinganya.

"Hehhh..  Hehe....  Hehhh...,".

*Keesokan pagi*

"Na!  Diana!" panggil Awatif sambil menggoyang-goyangkan tubuh sahabatnya. Tiada respon. "Diana!" kejutnya sekali lagi tetapi kali ini,  Awatif memicit ibu jari Diana. Perbuatan Awatif berjaya mengganggu lena Diana.
"Ermmm,".
"Bangunlah,".
"Ermm...  Nantilah.  Nanti saya bangun," ujar Diana malas. Malas mahu mengganggu sahabatnya,  Awatif bangun dan melangkah keluar daripada bilik. Niatnya mahu mengajak Diana sarapan bersama-sama dengan tuan rumah.
'Biarlah,' katanya dalam hati.  Sebenarnya dia mahu berkongsi cerita semalam. Entah mengapa,  dia rasa dia perlu beritahu kepada Diana. "Tunggulah dia bangun.  Penat sangat buat kerja semalam agaknya," omel Awatif sendiri. Apa-apa pun,  sekaya Mak Cik Biah menanti di meja makan! 😝

Terlopong mulut Awatif mendengar peristiwa Diana disergah semalam.  Tapak tangannya melurut-lurut bulu roma di lengan yang tiba-tiba menegak. Diana tidak menunjukkan sebarang reaksi takut mahupun risau. Dia berbaring sambil menghadap komputer riba.
"Na,  mungkinkah kita berdua kena kacau semalam? Benda itu mahu kacau saya tetapi dia pergi kacau awak,".
"Maksud kau?" bicara Awatif menarik perhatian Diana. Awatif membetulkan duduknya,  berteleku di atas katil sambil menghadap Diana.
"Semalam saya tidak boleh tidur. Saya rasa seperti diperhatikan. Jadi,  saya pasang bacaan Kursi. Kemudian,  barulah saya dapat tidur," balas Awatif. Diana menggigit bibirnya.
"Jadi,  benda itu ikut saya atau ikut kamu?" soal Diana.  Awatif mengangkat bahu,  tanda tidak tahu. Mereka berdua punya masalah berbeza tetapi perkara yang sama,  iaitu berkaitan makhluk ghaib.

(Di sekolah - masa kini)

Cikgu Firman memeluk batang tubuhnya sendiri. Bulu romanya menegak.
"Ish,  seramnya!  Kalau saya,  lepas kena sergah,  langkah seribu masuk bilik!" komen Cikgu Firman. Awatif ketawa perlahan. Namun pada kaca mata Firman,  gadis di hadapannya penat. Sudah dua minggu wajah Awatif pucat tetapi sengaja didiamkan.
"Mesti kamu penat,  bukan?".
Awatif tersenyum hambar.
"Penat atau tidak,  suka atau benci,  saya dan Diana perlu lalui. Mungkin ada hikmah yang Allah sembunyikan," ujar Awatif. Firman tersenyum tawar.
"Tapi,  cikgu tahu,  petang Sabtu kami diganggu lagi. Peristiwa yang hampir membuatkan saya dan Diana bergaduh," tiba-tiba Awatif bersuara.  Dadanya terasa berat.  Dia mahu bercerita kepada seseorang. Bulat mata Cikgu Firman memandang Awatif.
"Peristiwa apa?".

(Imbas semula - sebelah petang)

Walaupun diganggu semalam,  semangat mereka berdua masih kuat. Usai menikmati makan tengah hari,  Awatif dan Diana mengambil keputusan untuk menyiapkan tugasan yang tergendala di beranda sekali  lagi.
"Siang begini mustahil ada gangguan," pujuk Diana,  dapat membaca kerisauan yang terpancar di wajah Awatif. "Eh,  saya tak kata apa-apa pun!" balas Awatif. Diana ketawa terkekeh.
Mereka berdua berulang-alik masuk dan keluar bilik,  mengangkut buku-buku dan bahan-bahan yang akan digunakan untuk membina bahan bantu mengajar.
Meja kayu itu dipenuhi dengan barang-barang mereka sahaja. Diana yang sudah selesai mengangkat barang-barangnya,  mengambil tempat duduknya.
"Ah,  saya tertinggal botol air!" ujar Awatif yang baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi.  Tanpa berlengah,  Awatif berdiri dan masuk semula ke dalam rumah.

"Na! Diana!" panggil Awatif dari dalam rumah. Nada cemas Awatif mengusik tangkai hati Diana. Dia bangun dan menapak masuk ke dalam rumah.
"Kenapa?" tanya Diana sebaik sahaja menghampiri sahabatnya itu.  Raut wajah Awatif pucat. "Awak ku...kunci pintu bilik tadi?" soal Awatif kembali. Diana menggeleng laju.
"Kau buat lawakkah?" soal Diana.
"Tidak!" nada suara mereka mula berubah. Lambat-lambat Diana memegang tombol pintu bilik dan dipulas. Berkunci. Pintu bilik memang berkunci. Diana memandang tepat ke wajah Awatif.
"Kau kunci dari dalam?".
"Tidak!".
"Atau...  Atau kau terkunci semasa keluar tadi?".
"Mustahil.  Tangan saya penuh dengan barang," kata Awatif. Ada sinar kejujuran pada mata Awatif. Pada masa yang sama,  terpancar ketakutan pada wajah sahabatnya. Mereka pegun di depan pintu bilik seketika.
"Na,  aa..awak pergi minta kunci pendua dengan Mak Cik Biah.  Saa...saya tunggu sini," kata Awatif. Diana tidak pasti sebab utama rakannya tiba-tiba berubah sikap dan ketakutan. Namun dia tidak mahu menambahkan lagi rasa takut Awatif.
"Baiklah.  Kau tunggu sebentar,".
Sebaik sahaja kelibat Diana hilang,  Awatif berundur beberapa tapak daripada pintu bilik. Nalurinya mengesan sesuatu tidak elok. Semasa dia menghampiri pintu bilik yang terkunci itu,  angin sejuk menyapa kulit wajahnya. Aneh.  Petang yang membahang,  mana datangnya angin sejuk? Awatif memeluk tubuhnya sendiri,  sambil hatinya tidak lepas daripada berselawat ke atas junjungan besar,  Rasulullah SAW.

"Kenapa pintu boleh terkunci,  Na?" tanya Sofia,  anak bongsu Mak Cik Biah. Diana tersenyum. "Awa terkunci semasa keluar bilik tadi," balas Diana. Sengaja dia tidak mahu Sofia mahupun tuan rumah tahu gangguan yang mereka lalui.
"Oh!  Baiklah,  Piya buka dah! Piya pi dulu," kata Sofia dan berlalu pergi ke belakang rumah. Cepat kelibat gadis genit itu hilang daripada pandangan.
Diana memandang pintu bilik. Awatif sedang menanti di pintu sebelah lagi,  yang menghubungkan bilik dengan ruang tamu. Kunci pendua yang ada hanya untuk pintu utama masuk ke bilik yang mereka sewa. Dengan perasaan ragu-ragu,  daun pintu ditolak. Angin sejuk menyerbu keluar dari dalam bilik.  Diana kaku di hadapan pintu bilik.

Awatif menanti dengan penuh debar. Dia dapat mendengar dengan jelas suara Sofia dan Diana berbual-bual dan pintu bilik ditolak dari sebelah luar.
Tap!
Selak pintu dilonggarkan kedengaran.
"Di... Diana?".
"Bilik kita...  Sejuk," ujar Diana,  ada getar dalam nadanya. Mereka saling berpandangan.  Awatif faham maksud pandangan yang cuba disampaikan oleh gadis itu. Tanda minta maaf kerana meninggikan suara kepadanya.
"J... Jomlah,  kita buat kerja!  Buat awal,  boleh rehat awal," ajak Awatif,  cuba melupakan kejadian seketika tadi. Diana sekadar mengangguk dan menapak menyoroti langkah sahabatnya.

(Di sekolah - masa kini)

Nafas ditarik dalam-dalam. Mendengar cerita aneh gadis di hadapannya,  membuatkan dia bagai berada di situasi itu.
"Betul Awa tak kunci pintu tu?" tanya Cikgu Firman,  cuba mendapatkan kepastian.
"Betul,  cikgu.  Tangan saya penuh dengan barang-barang,".
Firman menggigit bibirnya sendiri. Rasa kasihan dan simpati menjalar di dalam hatinya.
"Pernah cuba untuk berbincang dengan Mak Cik Biah?".
Awatif menggeleng perlahan,  kemudian nafas berat dihembuskan.
"Kalau...  Kalau saya beritahu,  saya risau Mak Cik Biah tidak akan percaya. Lagipun,  kami sendiri tidak pasti,  sama ada benda yang mengganggu itu 'milik' siapa,  antara saya atau Diana," luah Awatif.
"Sabarlah.  Mungkin ada hikmah dari-Nya. Kalau terlalu parah,  cuba perubatan tradisional atau rawatan Islam," usul Cikgu Firman.
"Terima kasih,  cikgu,".

***

Lagu yang diputarkan oleh penyampai radio membuatkan Diana dan Awatif turut menyanyi. Awatif menumpukan fokus pada pemanduan.  Sementara Diana pula seperti biasa,  sedang memuat turun siri anime yang digemarinya.
"Awa, di mana rumah sewa Awin dan kawan-kawan?" soal Diana. Awatif terdiam seketika,  cuba mengingati alamat rumah yang diberi oleh Awin melalui aplikasi Whatsapp.
"Saya lupalah!  Cuba mesej Awin dan minta dia hantarkan lokasi rumah sewanya," kata Awatif. Dia hanya tahu jalan untuk ke Arau. 😂

Setelah satu jam berputar di Arau dan hampir terlajak patah semula ke Kodiang,  akhirnya mereka menemui lokasi rumah sewa Awin yang betul. Kelihatan kereta Kelisa Awin diparkir elok di hadapan rumah.
"Alhamdulillah.  Sampai pun," ucap Diana. Mungkin dia bosan lama terperuk dalam kereta.
"Maaflah,  Na. Saya memang mahir bab sesat dalam bandar ni," ujar Awatif dan disambut dengan ketawa Diana.
"Jom,  keluar!".

"Assalamualaikum," salam diberi serentak.
"Waalaikumussalam," salam dijawab dari dalam. Terpancul susuk tubuh yang tidak asing pada mata Diana dan Awatif.
"Kami datang nak beraya!".
"Nak beraya,  sila balik!  Ramadhan pun tidak menjelma lagi," balsan yang diberikan oleh Awin membuatkan dua orang gadis itu ketawa lucu. Awin melangkah keluar rumah dan menghampiri pagar. Mangga yang tersisip kemas di pintu pagar dibuka.
"Masuklah," ajak Awin. Perkara biasa yang dilakukan oleh para gadis apabila bertemu dengan rakan-rakan,  bersalam dan berlaga-laga pipi.
"Mana yang lain?" soal Awatif sambil menjengukkan kepalanya ke dalam rumah.
"Ada.  Nanti depa keluarlah. Eh,  masuklah!" ajak Awin.

Tujuan utama Awatif dan Diana berkunjung ke rumah sewa Awin dan rakan-rakan adalah bagi memenuhi jemputan Awin untuk meluangkan hujung minggu di Kuala Perlis.
"Diana,  Awa,  rehatlah dulu.  Kita tunggu Laila sampai,".
"Laila bertolak dari kampuskah?".
"Ya. Eh,  dahaga atau lapar,  pergilah ambil sendiri di dapur!  Buat macam rumah sendiri," ujar Awin sebelum menghilang masuk ke dalam bilik. Masing-masing sedang bersiap. Priya sedang mandi. Syakila pula sibuk menggosok tudung.  Awin dan Jihan sedang bersiap.
"Semua sibuk.  Kita kena layan dirilah,  Na,".
"Hahaha....,".
"Saya nak ke dapur.  Kau mahu air?" tanya Awatif.  Mata Diana melekat pada skrin televisyen.
"Saya mahu air kosong sahaja,".
Awatif bangun dan mengatur langkah ke dapur.

Zap!
Nalurinya 'hidup'.  Awatif memandang ke sekeliling pelosok dapur. Air liur terasa melekat di kerongkong. Tiada apa-apa.  Kosong. Tangannya menggeletar. Hawa dingin menyerbu ke kulit wajahnya apabila pintu peti ais dibuka.
'Awa,  selawat Awa!  Jangan kau takut,  Awa!' hatinya memberi semangat kepada dirinya sendiri. Terasa bagai ada sepasang mata memerhati setiap pergerakannya. Siapa?  Di mana?  Di dapur atau dari bilik yang terbuka?
Tidak betah berlama-lama di dapur,  dia menapak laju ke ruang tamu. Kelihatan Diana sedang berbual dengan Syakila.
"Hai,  Awa!".
"Hai,  Kila!" sahut Awatif dan cuba memaniskan roman wajahnya.
'Allah,  dugaan apakah ini?  Kalau benda itu memang datang dia untuk aku,  biar hanya aku yang menanggung!  Lindungi rakan-rakan ku,' doa Awatif dalam hati.

(Malam Di Rumah Sewa Awatif)

Kepenatan masih menguasai mereka berdua. Seharian berpeleseran di Kuala Perlis dengan rakan-rakan yang praktikum di negeri yang sama. Bunyi air terhenti.  Tanda Diana sudah selesai membersihkan diri. Pintu bilik air dibuka.
"Ah,  segarnya mandi!  Awa,  kau tidak mahu mandi?" tanya Diana sambil tangannya ligat mengeringkan rambutnya dengan tuala. Awatif sedang duduk di birai katil.
"Nanti saya mandi,".
"Baiklah,".
Awatif termenung seketika. Diperhati setiap tingkah laku rakannya itu. Ada sesuatu yang sedang bermain dalam benaknya. Peristiwa di rumah sewa Awin benar-benar meninggalkan kesan dalam dirinya.
"Kenapa?" soal Diana,  hairan dengan kebisuan dan renungan Awatif.
"Diana,  kalau benda yang mengikut dan mengganggu kita itu milik saya, saya minta maaf," ujar Awatif tiba-tiba. Diana berhenti mengeringkan rambutnya.  Dia terdiam seketika.
"Saya pun minta maaf atas sebab yang sama,".
"Saya rasa, kita perlu buat sesuatu,".
"Maksud kau?  Berubat?  Atau beritahu Mak Cik Biah?".
Awatif menggeleng perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam.
"Benda itu mahu kita,  sengaja takutkan kita.  Sebelum ia makin teruk dan seronok, diri kita sendiri kena kuat. Diana,  kita usaha sama-sama," kata Awatif tenang dan nekad.
"Bagaimana?".
"Tiada apa yang perlu kita takut melainkan Allah. Percaya pada DIA dan hanya dengan DIA kita wajib berlindung,".
"Baiklah,  Awa.  Saya faham.  Kita susah sama-sama,  senang sama-sama,".
Awatif tersenyum lega.

'Ya Allah Ya Tuhanku,  hanya pada Mu kami memohon perlindungan. Ya Allah,  kurniakan kami kebaikan tempat ini,  kebaikan di dalam tempat ini dan kebaikan ahli tempat ini. Dan kami berlindung daripada kejahatan tempat ini,  kejahatan di dalam tempat ini dan kejahatan ahli tempat ini,'.

*Tamat*

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...