Mata dipejam dan dicelik beberapa kali. Badan masih rasa penat kerana minggu pertama semester kedua sudah penuh dengan kuliah, kelas tutorial dan aktiviti kelab. Alahai, kalau ikutkan hati memang aku masih mahu bermalas-malasan di atas tilam asrama. Walaupun keras dan nipis, aku jenis mudah lena.
Namun apabila teringatkan janji dengan ahli-ahli teater, otak aku memproses dan menghantar signal ke setiap urat-urat dalam badan aku supaya bangun dan bersiap.
Aku bangkit dan duduk di birai katil. Rakan sebilikku masih lena. Usai solat Subuh, dia melelapkan semula mata. Penat katanya.
"Hanim,".
Tiada sahutan. Amboi, lena dia tidur! Malas mahu mengganggu lenanya, aku berdiri dan mengambil peralatan mandian. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, bayu pagi menerpa ke wajah. Tenang. Sempat aku berdiri tegak di hadapan pintu. Suasana asrama perempuan pada pagi hujung minggu seperti asrama tinggal. Sunyi. Mungkin masing-masing masih bermalas-malasan sambil menonton drama di komputer riba masing-masing atau mungkin juga ada yang keluar bersiar-siar.
"Eh, baik aku cepat! Puan Jah turun latihan sekali pagi ini,".
Berhati-hati aku menuruni tangga. Aku harap dia sudah turun sebab aku spesis gadis yang tidak suka menunggu.
"Aduh, kena menunggu lagi!" Omelku apabila tiba di hadapan pejabat kolej kediaman, susuk tubuh kenalan aku masih tiada. Tunggu pun tunggulah daripada aku kena jalan sendirian ke dewan terbuka Banai. Jam dipergelangan aku pandang sekilas, kemudian aku tersengih sendiri. Awal sangat aku turun. Biarlah. Sempat juga aku menikmati udara pagi di kerusi batu di hadapan asrama perempuan.
Baru semester dua di program persediaan. Kiranya aku masih baru di negeri jelapang padi ini. Keluarga aku jauh di Pantai Timur. Bukan berjauhan dengan keluarga menjadi masalah aku sekarang. Cuma berada di tempat baharu, aku ingin berubah. Berubah daripada menjadi kera sumbang, berubah daripada menjadi seorang gadis negatif kepada gadis yang lebih positif.
Masalahnya ada pada aku sendiri. Aku punya prinsip tersendiri dalam memilih sahabat. Entahlah. Mungkin aku terbiasa hidup dalam komuniti sekolah yang memegang prinsip 'berkawan untuk keuntungan peribadi', jadi aku mula membina tembok sendiri. Tembok untuk berkawan, baik dengan lelaki mahupun perempuan.
Jika zaman sekolah, aku lebih suka bergaul dengan rakan sebaya yang lebih terbuka dan tidak mementingkan akademik.
Apabila aku melangkah ke institusi ini, aku cuba untuk mencari sudut baru. Satu persepsi yang membolehkan aku untuk husnuzon dengan orang persekitaran.
"Susahnya!".
"Mek!" Panggilan seseorang menyentakkan aku daripada lamunan. Di seberang jalan, gadis yang aku tunggu sedang melambai-lambaikan tangan ke arah aku. Eh, lupa! Nama dia Fatin. Sambil aku menapak menghampiri dia, aku ceritakan sedikit mengenai Fatin.
Aku mula kenal Fatin semasa daftar Kelab Teater. Pada pandangan rabun aku, dia cantik dan pandai bergaya. Nampak gaya macam lembut tetapi sudah dua semester aku kenal dia, memang satu kepala dengan aku.
"Awal siap,".
Aku menjelirkan lidah. Dengan dia, aku tidak boleh menjadi gadis ayu. Mahu membara hati kalau tidak membalas sindiran dia.
"Jom, gerak ke dewan!".
"Jom,".
Kami melangkah beriringan. Sambil berjalan, kami berbual-bual kosong.
Tiba di satu kawasan pejalan kaki yang mempunyai dua laluan, satu laluan tangga dan satu laluan curam yang dikhaskan untuk pegguna kerusi tolak, otak aku boleh memikirkan idea mengarut. Fatin memandang sahaja perlakuan aku.
"Hoi, guna tanggalah! Nanti jatuh......,".
Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, aku sudah tergelincir dan jatuh menelentang. Aku yang masih terkejut terkaku dalam posisi kaki terangkat ke atas. Fatin pula ketawa besar.
"Hahahahahahaha..... Lawak!".
"Hoi, angkatlah!".
"Ba....baiklah!".
Dia masih ketawa. Aku memandang sekeliling. Mujurlah tiada sesiapa yang lalu-lalang di kawasan itu.
"Hahahaha....,".
"Sudahlah, Fatin! Saya nak awak lupakan semua yang berlaku,".
Tiada jawapan daripada gadis itu. Sebaliknya, makin galak dia ketawa. Akhirnya, aku sendiri ketawa. Aduh, buasnya!
Sesi penerangan oleh Puan Jah mengenai tugasan Kelab Teater pada semester ini sudah tamat. Pada masa yang sama, beliau juga sudah mempunyai projek teater terbaru. Mendengar projek baharu, semua teruja. Melainkan beberapa kerat ahli yang masuk ke dalam Kelab Teater secara terpaksa. Awal-awal lagi mereka menawarkan diri untuk menguruskan belakang tabir.
"Baiklah. Alang-alang semua ada sekarang, kita teruskan kepada pemilihan ahli-ahli untuk memegang setiap watak yang ada dalam persembahan teater terbaru kita,".
Rakan-rakan lain mula kalut. Aku? Masih statik di tempat duduk aku. Semenjak zaman sekolah, aku tidak pernah terpilih dalam kerja-kerja penting pun. Mungkin aku akan dapat tugasan belakang tabir juga. Seronok juga belajar sesuatu yang baharu.
"Puan, untuk watak Mak Andeh saya cadangkan Husna,".
Angan-angan untuk bekerja belakang pentas hancur. Bahkan, aku rasa seperti dibogelkan di khalayak ramai. Semua mata memandang ke arah aku dan Fatin.
Puan Jah memandang aku. Aku memandang Puan Jah dan rakan-rakan lain.
'Tolong jangan! Tolong!'.
"Siapa Pak Pandir tadi?".
"Saya, puan,".
Aku memandang ke sebelah kanan aku. Malik, rakan satu kursus dengan aku.
"Hm, elok juga cadangan awak, Fatin. Kamu setuju Malik?".
"Saya mana-mana saja, puan!".
"Baiklah. Husna, awak jadi Mak Andeh, isteri Pak Pandir!".
Semua bertepuk tangan, tanda memberi sokongan.
Aku pandang Fatin. Dia tersengih.
'Tidak!' Jerit aku dalam hati.
***
2012
"Hoi!".
"Hoi!".
"Korang berdua tahu tak cara beri salam?".
Soal Sufidah yang duduk di sebelah aku. Aku dan Fatin tersengih.
"Assalamualaikum, Fatin,".
"Waalaikumsalam, Husna,".
Sufidah mengetap bibir apabila melihat perlakuan kami berdua.
"Jadi, kita tunggu siapa di sini?".
"Kita tunggu geng kelas saya dulu. Gerak sama-sama,".
Fatin mengangguk faham. Sebenarnya kami sedang menunggu rakan-rakan sekelas aku untuk bergerak ke mesyuarat Bina Insan Guru. Kebetulan, kumpulan kelas aku digabungkan dengan kumpulan kelas Fatin untuk aktiviti perkhemahan empat hari tiga malam nanti.
"Seronoknya kita berkhemah sama-sama!".
Sebenarnya, saat ini aku punya banyak memori dengan kau, sahabat. Namun disebabkan aktiviti-aktiviti lasak yang para pensyarah kesayangan kita laksanakan, dalam otak aku penuh dengan bayangan penat.
*Hahahaha....*
***
2013
"Assalamualaikum,".
"Waalaikumsalam," balas mereka berdua serentak. Aku terus meluru masuk ke dalam bilik mereka dan duduk di katil Fatin. Fatin dan Sufidah berpandangan sama sendiri.
"Awak kenapa, Husna?".
Sebaik sahaja Sufidah menyoal aku, hanya dengan soalan mudah, aku terus menangis.
"Hoi, gila! Apa kes?".
"Ish! Fatin, aku pergi mandi dulu. Kau tenangkan dia,".
Aku teresak-esak di atas katil Fatin. Aku sendiri pun tidak tahu cara untuk bercerita kepada mereka berdua. Bunyi pintu bilik ditutup, tanda Sufidah sudah keluar dari bilik.
"Kau kenapa? Cuba cerita pada aku,".
"Mereka.... awak tahu.. mereka... kata... kutuk.... sakit hati....,".
Esak tangis aku kian menjadi-jadi.
"Aku tampar juga kau nanti! Menangis dulu. Nanti cerita,".
"Saya cerita sekarang!".
Fatin menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia memasang telinga. Ada tikanya esakan dan hingus yang bertakung di hidung menyukarkan Fatin untuk memahami butir bicara gadis itu.
Esakanku kian reda. Cuma hingus masih bersisa, menjadikan percakapan aku sedikit sengau. Fatin menggaru-garu dagunya. Dia sudah agak, lambat atau cepat, orang sekeliling akan tahu dan menjadi hakim terhebat.
"Aku sedar perbuatan aku salah,".
"Ta... tapi,".
"Terpulanglah pada awak, sama ada mahu berkawan atau tidak dengan aku. Setiap orang punya masalah dan sebab sendiri,".
Aku memandang Fatin. Dia tersenyum tawar.
"Sa... saya!".
"Apa?".
Fatin memandang aku dengan pandangan aneh. Bagaimanakah caranya untuk aku beritahu perasaan yang terselit dalam hati aku sendiri? Kalau aku luahkan, aku sendiri tidak pasti siapakah aku pada matanya?
"Se... sekali saya sayang seseorang, susah untuk saya benci atau lupakan,".
"Hah? Kau jangan buat ayat lesbian, aku terajang nanti!".
"Bukanlah! Kita masing-masing sudah dewasa. Sudah faham baik dan buruk dalam agama kita. Maksud saya, mungkin sekarang awak belum bersedia untuk terus terang dengan saya mengenai kutukan mereka. Saya akan tunggu sampai awak sedia dan apa-apa pun kekurangan awak, saya tetap anggap awak sahabat saya!".
Fatin terdiam. Aku tidak tahu dia terharu atau ragu-ragu dengan kata-kata aku. Namun aku harap dia percaya. Dia bangkit daripada kerusi dan duduk di birai katil.
"Terima kasih, sahabat,".
Aku tahu dan kau pun sedar, bukan sahabat? Berapa banyak fitnah perlu kita lalui? Berapa banyak masalah perlu kita tempuhi, semata-mata sikap menghakimi orang lain?
Bagi aku, percaturan Allah itu adalah terindah.
Aku mungkin bukan sahabat kau yang paling baik, paling cantik tetapi aku akan ada di sini untuk kau. In sha Allah.
Comments
Post a Comment