Kelam kabut aku mencapai kunci kereta. Sesekali jam tangan dipandang. Perjalanan dari tempat aku ke tempat pertemuan mengambil masa 20 minit.
- Saya dah habis kerja. Boleh jumpa sekarang?
Aduh, semakin kalut!
- Baik.
- Jumpa nanti ya!
Setelah yakin dengan penampilan diri dan memastikan semua barang yang penting ada di dalam beg sandang, aku bergegas keluar dari bilik dan menyarungkan kasut.
"Woi, laju!".
"Maaf awak! Saya pergi dulu,".
"Hati-hati Mia!".
Fads tersenyum memandang kelibat sahabatnya yang kian menjauh. Dia menyambung semula kerjanya, iaitu menyidai kain.
Stereng kereta digenggam kemas. Semakin menghampiri tempat pertemuan, semakin gelisah aku rasa. 'Bertenang, Mia. Mohon bertenang. Dia adik kau sahaja,'.
Hatiku cuba memujuk diri aku sendiri. Ah, penipu besar kau Damia!
Kau mula jatuh hati kepada Muhammad bukan? Kau sebenarnya jatuh hati pada kali pertama kau pandang dia dulu, bukan? Kau jatuh hati kerana naluri kau sendiri bukan?
Aku terdiam sendiri. Tidak mahu menyanggah desakan hati aku sendiri.
Skrin telefon dipandang. Perbualan antara dia dan gadis itu dibaca semula. Segaris senyuman terukir di wajahnya. "Bambam!" spontan nama gelaran yang dia panggil meniti di bibirnya. Pandangan dilontarkan pula ke luar tingkap kereta. Cantik suasana di luar istana. Namun saat ini, bukan hiasan lampu istana menarik perhatiannya secara total.
'Kalau kau jumpa dia nanti, kau nak bincang apa?'.
'Aku mahu tahu jawapan dia,'.
'Mengenai?'.
'Perasaan dia pada aku,'.
'Kalau dia suka kau?'.
Sepi. Otaknya ligat mencari jawapan untuk soalan yang diajukan oleh hatinya.
'Rasanya tidak salah kalau aku terima dia,'.
Deringan telefon membantutkan peperangan antara hati dan akalnya.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam. Di mana sekarang?".
"Saya rasa saya di hadapan kereta awak,".
Aku memandang sebuah kereta yang sedang berhenti di sebelah pintu utama istana, melalui cermin pandang belakang. Muhammad menyebut nombor pendaftaran keretaku, untuk memastikan sama ada betul atau tidak.
"Yes, correct!".
"Kamu gerak dulu. Saya ikut dari belakang,".
"Baiklah,".
Signal ke kanan aku berikan. Pada masa yang sama, aku berusaha menenangkan jiwa aku yang kian galak meracau. "Sudahlah, hati oi! Bertenang semua sistem badan!".
Aku memandang cermin pandang belakang. Pantulan wajah di cermin aku perhatikan berkali-kali. Pada masa yang sama, aku memerhati pergerakan pemandu kereta di belakang aku. Baiklah, dia sudah keluar dari kereta!
'Ya Allah, bagi aku kekuatan sedikit pun jadilah! Makhluk Engkau yang satu ini, lain pula daya tarikan dia!'.
Aku cuba bertenang. Tarik nafas dalam-dalam, hembus. Tarik! Hembus! Tarik! Hembus! Nah, sampai berkabus kaca mata aku! Setelah memastikan kunci kereta ditarik keluar dan semua barang-barang berharga sudah berada di dalam beg tangan, aku membuka pintu kereta dan melangkah keluar dari kereta itu.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
Baiklah, cermin mata aku berkabus sekali lagi! Ini semua gara-gara badan aku panas apabila melihat senyuman Muhammad. Tanpa banyak bicara, aku memahami maksud pergerakan badan Muhammad. Tiba masa untuk mengisi perut. Sudah nama pun makan malam. Jadi, masa untuk makan!
"Terima kasih," ucap kami serentak kepada pelayan sebaik sahaja dia selesai mencatat pesanan kami berdua. Tiba-tiba, rasa pelik! Baik, baik! Cuba bayangkan ya. Kamu selalu bertanya khabar dalam mesej, saling mengutuk sesama sendiri dalam telefon, tiba-tiba keluar dan berjumpa untuk makan malam! Yang lagi buatkan rasa pelik dan gembira campur teruja campur gugup, orang itu orang yang kamu suka! Wah, ini melebih-lebih Damia!
"Bambam, kenapa diam?".
"Amboi, suka hati panggil bambam! Nak gaduh di sini?".
Muhammad ketawa. Aku pula termalu sendiri. Nampaknya dia tahu sikap aku yang azali, iaitu mudah memberi reaksi terhadap sesuatu tindakan atau aku jenis spontan membalas sesuatu perkara.
"Baiklah, maaf ya. Memang bambam pun kan,".
Eh, budak bulat! Aku memang..... Eh, geram sahaja! Masalah aku sekarang, perasaan geram aku akan hilang apabila tengok dia ketawa dan senyum. Minta lesung pipit sedikit!
"Kenapa pandang saya?".
"Baiklah, saya pandang meja ya,".
Dia ketawa lagi. Aduh, boleh kurus aku begini! Badan sauna semula jadi.
"Kita terus kepada topik utama kita sekarang, boleh?".
"Apa?".
Ah, Damia Husna! Kau sudah tahu bukan? Sengaja mahu bertanya.
"Jawab soalan saya dengan jujur,".
"In sha Allah, saya cuba,".
Aku cuba bertenang. Istighfar, Damia.
"Awak suka saya?".
Soalan pertama cukup untuk membuatkan aku tidak mahu mendengar soalan-soalan seterusnya. Pernah tengok cerita kartun Jepun, yang satu reaksi apabila watak utama malu, keluar asap daripada atas kepalanya? Begitulah keadaan aku sekarang. Pipi aku panas. Muhammad masih memandang aku dan aku faham makna pandangan itu. Dia mengharapkan satu jawapan yang jujur dan benar. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan-lahan, agar kekuatan meresap masuk ke dalam diri aku.
"Ya,".
"Sebagai apa?".
Laju pula soalan dia. Aku memandang meja. Saat ini, aku tidak kuat untuk memandang Muhammad. Boleh jadi aku akan menangis, boleh jadi aku tidak akan mampu untuk tidak memandang wajahnya yang manis.
"Awak anggap saya sebagai apa?".
Giliran dia pula terdiam. Mungkin terkejut dengan soalan aku.
"Saya selesa berkawan dengan awak,".
Berkawan? Baiklah, aku bunyi sesuatu retak di dada.
"Saya jenis lelaki yang berkawan, bukan sekadar untuk berkawan. Kalau setakat untuk berseronok, saya takkan berani ajak jumpa,".
Sudah! Sudah! Aku memang tidak faham kiasan.
Dia bagaikan memahami maksud kerutan di wajah aku.
"We keep this thing simple. Kita berkenalan sekarang, kenal hati budi masing-masing. Kalau hubungan ini boleh pergi jauh, biar saya bawa emak saya jumpa keluarga awak. Faham?".
Dia sedar atau tidak pipi aku makin panas? Panas sehingga mampu melawan kedinginan angin malam yang bertiup perlahan saat ini. Tanpa dipaksa, aku mengangguk. Eh, aku mengangguk! Apakah yang sedang berlaku? Perbualan kami terhenti apabila makanan yang kami pesan telah sampai.
"Kita makan dulu,".
"Eh, awak nanti!".
"Apa bambam?".
"Baca doa,".
Entah dari mana aku mampu berkata-kata sedemikian. Dia tersenyum. Tanpa banyak bicara, kami menadah tangan dan dia mengepalai bacaan doa sebelum makan.
Sepanjang aktiviti makan malam, aku dan dia berkongsi sedikit latar belakang keluarga dan kisah cinta lama kami. Ah, aku sendiri terpaku mendengar kisah cinta dia! Kisah kami berbeza tetapi pengakhirannya sama, ditinggalkan tanpa sebab.
Usai makan malam dan perbincangan ringkas, mengenai hala tuju hubungan ini. Masih baru tetapi aku sedar sesuatu, malam ini merupakan titik tolak sesuatu cerita baharu. Selesai membayar harga makanan, kami menapak ke kereta masing-masing.
"Muhammad,".
"Damia, boleh saya minta sesuatu?".
"Apa?".
"Boleh panggil nama saya dengan nama satu lagi?".
"Apa?".
Dia tersenyum.
"Ein?".
"Well, saya lagi suka nama penuh saya! Kalau awak panggil Ein pun boleh,".
"Ein,".
"Ya?".
"Boleh saya tahu sesuatu?".
"Apa?".
"Kalau saya ke mana-mana atau buat apa-apa, perlu saya maklum pada awak? Atau kalau saya keluar makan dengan kawan-kawan satu kampus saya?".
Muhammad terdiam.
"Pada pandangan saya, itu hak awak. Awak bukan sesiapa lagi. Bukan tunang atau isteri saya. Selagi awak bukan hak milik saya, awak bebas untuk buat apa-apa. Saya tidak halang. Melainkan awak tunang saya atau isteri saya, masa itulah awak tanggungjawab saya,".
Ish, ulasan dia berjela!
"Boleh bagi satu jawapan? Ya atau tidak?".
"Beginilah. Apa yang awak rasa terbaik untuk awak, maka terbaik untuk saya,".
Ish, makin pening! Atau aku kena faham sendiri sebenarnya?
"Baiklah, baiklah!".
"Hati-hati, bambam!".
"Awak pun hati-hati, bulat! Sampai rumah beritahu saya,".
Pintu kereta aku buka.
"Ah, ya lupa sesuatu!".
Terjeda aku dari masuk ke dalam kereta.
"Jari awak. Jari manis awak pastikan kosong sehingga saya sarungkan sendiri cincin kat situ. Pastikan kosong ya!".
Dia ketawa kecil sebelum masuk ke dalam kereta.
Sudahlah bulat! Pandai dia!
Comments
Post a Comment