Skip to main content

Aminul Syafiq (24)

Terik mentari menyengat kulit muka dan lengannya. Sesekali tapak tangannya menyapu manik-manik peluh yang terbentuk di dahi.
"Kalau bukan sebab perempuan itu.... Ish, biar betul aku ni! Perlukah aku percaya kata-kata budak gemuk itu?" omelnya sendiri. Apabila teringatkan dua orang gadis yang bertandang ke rumah Mak Langnya pada minggu lepas, hatinya diserang rasa ragu-ragu dan bersalah pada masa yang sama. Tidak tahan berlama-lama di dalam kawasan arked, Khairul mengambil keputusan untuk membasakan tekak di kawasan gerai makan berhampiran arked tersebut.

***
(Seminggu yang lalu)

Suasana sepi seketika. Tiga pasang mata merenung tepat ke arah Damia dan Hanim yang duduk bersimpuh di hadapan mereka. Saat itu, hanya mereka berlima sedang duduk dan berbincang di ruang tamu.
"Mak cik, pak cik dan Encik Khairul. Kedatangan kami pada malam ini bukan semata-mata mahu memenuhi hajat Kak Fauziah sahaja. Tapi kami berdua datang mahu selesaikan masalah kami dengan Encik Khairul," kata Damia, dengan penuh sopan. Khairul memandang Damia dengan pandangan menyampah.
'Pandailah kau berlakon depan ibu dan abi aku, bukan?' marah Khairul dalam hati. Namun dia masih cuba mengawal reaksi di wajahnya. Hambali melirik ke arah Khairul.
"Kalau tidak keberatan, apa masalah antara kamu dengan anak teruna mak cik ni ya?" soal Aminah ingin tahu. Damia memandang Hanim.
"Begini mak cik, saya....,".
"Mak cik, pertama kali saya minta maaf pada mak cik, pak cik dan Encik Khairul," pantas Damia memintas percakapan Hanim. Dia tahu rakannya itu serba-salah tetapi dia berharap Hanim diam, seperti perjanjian awal mereka.
Tiga pasang mata masih tepat memandang mereka berdua. Hanim semakin tidak selesa apabila berterusan direnung oleh Khairul.
"Panggil aku Khairul sudah!" celah Khairul. Naik geli telinganya apabila mendengar panggilan 'Encik' yang ditujukan kepadanya. Hambali merenung Khairul dengan ekor mata. Jarang untuk anak lelakinya itu bercakap kasar dengan wanita dan dia pantang sekiranya anak-anak lelakinya tidak hormat pada golongan Hawa. Khairul yang memahami maksud renungan abinya, mengunci bibir dan menundukkan kepala.
"Ya. Tapi apa masalahnya ya?".
"Hm...,".
Khairul semakin bosan dengan perbincangan tersebut.
"Ibu, abi. Sebenarnya mereka berdualah yang langgar motor Khai tempoh hari," ujar Khairul. Tiada segaris senyuman di wajahnya, cukup untuk membuktikan dia sakit hati dengan perbuatan pemilik kenderaan hitam yang melanggar motornya. Namun Khairul tidak dapat mengagak antara gadis gemuk atau gadis genit di sebelahnya yang sengaja melanggar motornya. Yang dia yakin, kereta hitam itu milik Damia.
Aminah dan Hambali terdiam seketika. Mereka tahu Khairul sangat menyayangi motor RXZ tersebut yang dibeli sendiri menggunakan wang simpanan hasil titik peluhnya.
"Ya, saya yang salah. Maaf sebab mengambil masa yang lama untuk berhadapan dengan Khairul," balas Damia. Hanim terdiam. Dia cukup kenal gadis di sebelahnya. Nada suara yang digunakan oleh Damia cukup tenang dan yakin, bermakna gadis itu bersungguh-sungguh meletakkan kesalahan itu atas dirinya sahaja.
"Awak jangan bersuara. Biar saya tanggung semua. Kalau Khairul atau keluarga dia nak marah, biar saya yang tanggung. Kalau awak buka mulut, siap!" ugutan Damia masih bergema dalam benaknya.
Khairul tersenyum sinis.
"Ingat dengan minta maaf dapat baiki semula kerosakan motor itu?" ujar Khairul sinis. Aminah dan Hambali kematian kata. Pertama kali dalam hidup mereka, pesalah datang ke rumah dan mengaku kesalahan yang dilakukan. Damia tersenyum dan dia masih tenang. Perlahan-lahan beg sandangnya dibuka. Sekali lagi semua mata tertumpu kepada gadis itu. Sekeping sampul surat coklat dikeluarkan daripada beg dan perlahan-lahan ditolak ke arah Khairul.
"Kalau saya datang dan minta maaf tanpa bayar ganti rugi, itu dinamakan kurang beradab. Di dalam sampul ini ada bayaran ganti rugi. Saya tidak tahu kos sebenar yang telah awak gunakan untuk baiki motor awak tetapi untuk tempoh ini, hanya sebanyak ini yang mampu saya berikan. Kalau masih kurang dari jumlah asal, beritahu dan saya akan selesaikan perlahan-lahan,".
Khairul terkaku di tempatnya. Antara percaya dan tidak, dia memandang Damia dan kemudian pandangannya beralih kepada abi dan ibunya. Hambali tersenyum tetapi dia pantas mengawal senyumannya. Manakala Aminah memandang Damia dan Hanim silih berganti. Sampul coklat masih tidak disentuh oleh Khairul. Terkebil-kebil dia memandang Khairul.
"Jadi.... pak cik kira masalah ini sudah selesai, bukan?".
"Err.....,".
"Kenapa? Ada apa-apa lagi Damia atau Hanim nak cakap?".
"Er... em.... Kenapa pak cik dan mak cik tenang sahaja?".
Hambali dan Aminah ketawa serentak mendengar pertanyaan Damia. Hambali menepuk-nepuk bahu Khairul.
"Abi rasa abi dan ibu tidak perlu masuk campur hal kalian. Pak cik tiada hak untuk marah atau mengherdik seseorang yang berani datang minta maaf dan bayar ganti rugi. Lagipun, Khairul sudah cukup dewasa untuk selesaikan masalahnya sendiri, bukan?".
Khairul kehilangan kata-kata. Dia merenung Damia.

***

Khairul membuka peti simpanan mesejnya. Perbualan antara dia dan Damia dibaca sekali lagi.

- Aku nak tanya.
- Ya?
- Apa motif kau langgar motor aku?
- Kenapa baru sekarang nak tahu?
- Jangan jawab soalan aku dengan soalan, boleh tak?
- Haha... Maaf. Apa kata awak cuba pergi selidik Jun?
- Apa kaitan Jun dalam hal ini?
- Em.... Apa awak rasa kalau saya kata saya buat begini supaya Jun tinggalkan awak?
- Atas dasar apa?
- Atas dasar kemanusiaan mungkin.
- Gila. Apa motif kau?
- Pergi arked pada hujung minggu. Selidik kegiatan harian Jun. Awak akan dapat jawapan.

Hanya kerana mahu mengetahui motif utama Damia melanggar motornya, dia menjadi penyiasat persendirian sudah hampir seminggu. Apakah kaitan Jun? Khairul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Telefon bimbit disimpan ke dalam poket seluar. Teh ais yang masih bersisa disedut sehingga habis.
"Eh, awak teman lelaki Jun, bukan?" sapa seseorang yang tidak dikenalinya. Khairul memandang gadis berambut panjang itu dengan penuh rasa hairan.

Stereng kereta digenggam kemas. Panas hatinya sepanas cuaca kering yang membahang di Perlis. Kedinginan hawa sejuk daripada pendingin hawa kereta tidak mampu menurunkan darjah kepanasan hatinya saat ini. Ada hikmah dia ditemukan dengan gadis berambut panjang seketika tadi.
"Err... awak siapa?".
"Oh, maaf! Saya Sofia, kawan Jun,".
"Oh, maaf! Jun jarang bercerita mengenai rakan-rakannya,".
"Perkara biasa! Risau saya cantas dialah tu,".
"Cantas?".
"Eh, sebentar! Bukankah awak dan Jun sudah berpisah?".
Terkesima lelaki itu seketika.
"Errr... Maksud awak? Saya tidak faham,".
"Oh my God! Mesti awak kena tinggal tanpa awak tahu, kan?".
"Maaf. Apa maksud awak?".
"Lembapnya! Khairul, jawab soalan saya. Dalam seminggu dua Jun ada telefon atau mesej awak?".
"Tidak,".
"Kenapa?".
"Dia kata dia ada kerja di Bangkok. Ada urusan perniagaan di sana,".
Sofia tersenyum sinis. Rambutnya yang panjang dan berwarna perang beralun mengikut arah tiupan angin. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Wajahnya didekatkan kepada wajah Khairul.
"Awak memang tidak kenal siapa Jun? Dia popular di sini dan di sebelah sana," bisik Sofia. Pada masa yang sama, dia cuba untuk menggoda Khairul. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Berdasarkan cerita Jun, Khairul bukan lelaki yang lekeh. Berkerut-kerut dahi Khairul, cuba memahami maksud bicara Sofia.
"Dia akan cari mana-mana lelaki yang poket tebal,".
"Untuk?".
"Duit adalah segala-galanya,".
"Maksud awak, Jun kaki kikis?".
"Pandai pun,".
Muka Khairul berubah rona.
"Jangan nak buat cerita mengenai Jun! Dia bukan.....,".
"Chill, bro! Kalau awak rasa saya reka cerita, cuba tanya peniaga-peniaga di arked. Rasanya setiap pemilik restoran di kawasan ini kenal Jun," ujar Sofia lalu menyandarkan badannya pada kerusi. Tangannya disilangkan. Bibir merahnya menguntumkan senyuman sinis.

Sebaik sahaja Sofia berlalu meninggalkannya, Khairul cuba bertanya kepada pemilik restoran dan beberapa orang peniaga di kawasan arked itu. Setiap jawapan dan reaksi yang diberikan oleh mereka membuatkan Khairul tersentap.
"Jun? Siapa tidak kenal kaki kikis tu! Suami aku pun hampir jadi mangsa guna-guna dia!".
"Kau bukan orang pertama yang tanya mengenai betina itu!".

Khairul terus terkaku di dalam kereta. Telefon di dalam poket dikeluarkan. Sebaris nama dicari dan didail.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
"Kau.... Kau tahu siapa Jun?".
"Ya,".
"Kenapa.... Kenapa kau tak beritahu?".
"Saya dah rosakkan harta kebanggaan awak. Itu sudah cukup untuk membuatkan dia lari cari orang lain,".
"Alasan gila! Perbuatan gila!"
"Gila untuk orang normal seperti awak. Masuk akal untuk gadis yang materialistik,".

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...