Kuih koci yang berada di dalam mulut dikunyah perlahan-lahan. Menikmati keenakan kuih koci sambil mendengar bebelan Mariam. Bunyi pinggan mangkuk berlaga jelas kedengaran.
"Kamu dengar atau tidak apa mak cakap ni?".
"Em... Azfar dengar, mak,".
"Baguslah! Hujung minggu ini bawa isteri kamu balik berpuasa di rumah,".
Azfar menarik nafas dalam-dalam. Dia faham maksud Mariam. Bukan permintaan tetapi arahan. Sekilas dia memandang Mariam yang sedang mencuci pinggan mangkuk.
'Ish, mak ni! Orang bukan tak nak bawa menantu kesayangan mak tu balik rumah tetapi dugaan buat oranglah, mak! Huhu.... Biarlah dia berpuasa di asrama,' getus hati Azfar. Seraut wajah bulat menari-nari di ruang matanya. Kalau diikutkan hati, setiap hari dia mahu iftar dan bersahur bersama-sama dengan gadis itu. Namun ada sesuatu yang menghalangnya.
"Termenung panjang nampak,".
Azfar menoleh ke belakang. Suhaila tersengih lebar.
"Kenapa?".
"Kenapa apa?".
"Kenapa kau tersengih ni?".
"Ish, apalah along ni! Senyum itu satu sedekah,".
"Itu senyum! Kau sengih!".
Suhaila menarik muncung panjang. Tidak mahu berbalah dengan Azfar, dia menarik kerusi bertentangan dengan Azfar dan duduk. Tangannya laju mencapai kuih koci buatan Mariam.
"Baca Bismillah dulu!".
"Ya, pak cik!".
Azfar tersengih. Suka dapat mengenakan adiknya.
"Hah, Azfar! Jangan lupa ajak Damia. Lagipun cuti tiga hari,kan? Seronoklah kalau semua ada,".
Azfar mengangguk faham. Air muka Suhaila bercahaya.
"Kak Mia datang sini? Horey!".
"Eh, seronok pula dia!".
"Mestilah! Kak Mia boleh ajar Su Bahasa Inggeris,".
"Belajarlah sendiri,".
"Along dengki ya? Tamaklah tu nak ambil Kak Mia sepanjang masa,".
Panas pipi Azfar apabila diusik oleh Suhaila.
"Ma..mana ada! Dah, along nak ke masjid! Siapa nak ikut?".
"Saya!" balas Suhaila dan Mariam serentak.
"Siapa lambat, kena tinggal!".
Telefon pintar dipandang kosong. Telefon atau mesej? Jam di dinding dipandang sekilas. Mungkin gadis itu masih belum tidur. Telefonlah senang!
Telefon dicapai. Skrin disentuh. Jari telunjuknya digerakkan ke atas. Nafas ditarik dalam-dalam apabila tiba pada sebaris nama.
"Tuttt.Tuuut...,".
Talian masih belum disambungkan. 'Tidur? Takkanlah awal sangat,'.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
"Errr... Ya?".
"Sibuk?".
"Tak. Kenapa?".
"Emm... Sihat tak?".
Soalan yang logik disoal. Sudah 3 hari dia tidak bertemu dengan gadis itu. Bunyi pintu dibuka dan ditutup semula.
"Alhamdulillah. A... em... abang sihat?".
Azfar menelan air liur. Ada getar dalam dadanya apabila mendengar panggilan yang ditujukan kepadanya.
'Bahaya ni. Kenapalah lembut sangat suara kau ni ha?'.
"Abang?".
"Ya. Errr... Alhamdulillah. Awak ada kerja tak hujung minggu ni?".
"Setakat ni, tiada lagi. Kenapa?".
"Petang esok, lepas Asar saya ambil awak,".
"Nak ke mana?".
"Balik rumah. M.... em... Kita puasa di rumah,".
Sepi.
"Helo?".
"Em.. Ya. Ba...baik,".
Sebaik sahaja talian dimatikan, Azfar menghembus nafas lega. Telefon pintar diletakkan di sisi bantal. Siling bilik yang kelam dipandang kosong. Sengaja dia mematikan lampu, cuba untuk berehat dalam gelap.
"Damia Husna," spontan nama isterinya meniti di bibir. Kemudian dia tersenyum.
Sudah hampir setahun mereka bergelar suami isteri tetapi belakangan ini baru dia terasa sesuatu. Rasa rindu.
'Aku rasa kalau perempuan lain, mesti putus asa. Buat perangai. Mujurlah Damia sabar dengan perangai aku,'.
Azfar bergolek ke kanan. Mukanya ditekupkan ke bantal.
"Rindu!".
Pipinya panas sendiri.
...
Pakaian untuk bermalam tiga hari di kampung dimasukkan ke dalam beg sandang. Usai mengemas, dia menapak pula ke arah almari. Mencari barang-barang yang dirasakan perlu untuk dibawa bersama-sama.
Fadila sekadar memerhati, sambil tangannya mencarik-carik isi ayam goreng yang dibeli di bazar siang tadi.
"Kalutnya!" teguran Fadila membuatkan Damia tersengih. Tangan gadis itu masih ligat memasukkan sesuatu ke dalam beg.
"Nanti dia datang, tak elok pula dia tunggu lama-lama,".
"Siapa dia?".
"Abang," ujar Damia. Pipinya membahang. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Fadila. Gadis itu sedang tersengih bermakna, suka dapat mengusik sahabatnya itu.
"Hahaha.... Oh, itu panggilan untuk Encik Azfar ya!".
"Eeee, janganlah!".
Fadila ketawa melihat reaksi Damia. Dia tahu rahsia gadis di hadapannya itu. Tidak ramai yang tahu bahawa Damia sudah berkahwin dengan Encik Azfar, pensyarah muda yang baru berkhidmat selama setahun di institusi pengajian tersebut. Dia tahu pun selepas dua bulan Damia sah bergelar isteri kepada Azfar.
"Jaga diri di rumah suami. Puasa ni jangan buat benda tak tentu hala pula,".
"Ya! Tak tentu hala apa pula?" soal Damia lurus. Spontan dia dapat menangkap maksud ayat Fadila apabila melihat ada senyuman sinis terukir di bibir rakan sebiliknya.
"Eh, malas layan awak!".
"Hahaha... Ya, malaslah layan kita sebab orang tu nak layan suami pula!".
Damia mengetap bibir. Makin dilayan, makin menjadi-jadi usikan Fadila. Apabila melihat sahabatnya itu ketawa, hilang rasa geram Damia. Dia pun ikut ketawa.
Hujung jari-jemari mengetuk permukaan stereng berulang kali, menghasilkan bunyi tidak seirama. Sesekali jam di pergelangan dipandang, kemudian anak matanya beralih ke luar cermin kereta. Sengaja Azfar meminjam kereta Axia hijau Suhaila, supaya kakitangan institut tidak mengenalinya. Salah satu sebab yang lain adalah cermin kereta adiknya yang lebih gelap.
"Manalah isteri aku ni?" omelnya sendiri, sebelum dia tersenyum. Perkataan 'isteri' membuatkan dia termalu sendiri. Dulu jual mahal. Sekarang sudah jatuh hati. Azfar menggigit bibir. Benaknya cuba mencari jalan untuk mencuri semula hati isterinya.
'Apa masalah kau? Tiga hari dia di rumah, luangkan masa sepenuhnya dengan dia,' kata hatinya.
Tok! Tok!
Ketukan di cermin kereta merencatkan Azfar daripada lamunannya. Kunci kereta ditarik ke atas.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
Pintu kereta ditutup dengan berhati-hati. Azfar merenung gadis di sebelahnya.
"Ma...maaf lambat. Mia tulis nama di buku log keluar masuk asrama," ujar Damia, rasa bersalah kerana membiarkan Azfar menunggunya hampir 10 minit. Dia menunduk memandang kakinya sendiri.
"It's okay. Jom, gerak!".
"A.... abang,".
"Ya?".
Azfar memandang semula ke arah Damia. Gadis itu menghulur kedua-dua belah tangan, tanda untuk bersalam. Azfar kaku seketika. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangan.
Terkesima dan pada masa yang sama terharu apabila Damia mencium tangannya.
"Jom, gerak! Nanti lewat sampai Sungai Petani,".
Azfar berdehem perlahan.
"Baiklah. Jangan lupa pakai tali pinggang keselamatan,".
Axia hijau meluncur laju keluar dari susur Kubang Pasu.
...
"Hei, orang perempuan kalau bersiap, lama lain macam!" rungut Azfar yang sudah sepuluh minit menunggu dalam kereta. Cermin pandang belakang dipandang seketika. Songkok di kepala di buang dan diletakkan di atas paha. Pantulan wajah dipandang seketika.
"Assalamualaikum,".
"Waalaikummusalam,".
Suhaila dan Mariam sudah masuk ke dalam kereta. Matanya mencari-cari satu susuk tubuh yang masih tidak kelihatan. "Cari siapa Azfar? Geraklah. Nak masuk Isya' tak lama lagi," tegur Mariam.
"Em, Mia mana?" soal Azfar perlahan. Suhaila dan Mariam tersengih.
"Kak Mia tak mahu ikut pergi masjidlah, abang,".
"Kenapa?".
Mariam dan Suhaila ketawa kecil. "Nanti balik daripada masjid, kamu tanyalah dia. Sudah, kita gerak sekarang," ujar Mariam.
Perlahan-lahan Azfar menukar ke gear D dan menjatuhkan brek tangan. Matanya masih tertancap pada pintu rumah.
'Apahal tak mahu ikut pergi masjid? Nanti balik siaplah,' omel Azfar dalam hati.
Usai membersihkan diri dan bersiap, Damia memandang pantulan wajahnya di dalam cermin. Sudah berapa lama dia tidak menjejakkan kaki ke dalam bilik ini? Matanya meliar ke sekeliling bilik tidur Azfar. Apabila memikirkan dia perlu berkongsi bilik dengan lelaki itu selama tiga malam, dadanya berdebar kencang. Jika bermalam di rumah Azfar yang terletak di Mergong, dia lebih selesa kerana mereka berdua tidur di bilik yang berasingan. "Sudahlah perangai Azfar seminggu dua ni pelik," rungutnya sendiri.
Nafas ditarik dalam-dalam.
"Bertenang Mia, bertenang. Jangan fikir bukan-bukan,".
Jam dinding dipandang sekilas. Teringat pesanan mak mertuanya selepas berbuka puasa tadi.
"Biasanya dalam 10.30 kami dah balik. Mia tolong buatkan kopi o panas dan hidangkan kuih yang lebih berbuka tadi ya. Azfar tu suka sangat makan lepas tarawih,".
Masih ada setengah jam. Damia memandang sekali lagi ke sekitar kamar. Kemas. Tiada apa-apa yang perlu dikemaskan. Masa untuk ke dapur!
"Assalamualaikum," salam diberi sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Sunyi. Tiada sahutan.
'Mana pula isteri aku ni?'.
"Kenap tercegat depan pintu?" soal Mariam. Azfar menoleh ke belakang dan tersengih memandang mak dan adiknya. Dia bergerak ke kanan, memberi laluan kepada Mariam dan Suhaila. "Abang ni pelik semacam saja semenjak Kak Mia balik. Kenapa eh?" soal Suhaila pula, cuba mengusik Azfar. Lelaki itu mencerlungkan matanya, tanda amaran terhadap gadis itu supaya jangan mengusiknya. Spontan Suhaila menjelirkan lidah, sengaja mahu menaikkan darah Azfar.
"Jangan nak eh eh sangat! Masuk dan kunci pintu," arah Azfar kemudian menapak ke arah bilik tidurnya. Apabila tiba di hadapan pintu bilik, dia teragak-agak untuk memulas tombol.
'Eh, ini bilik aku! Buat apa takut?' monolognya.
Mariam menapak ke arah meja makan. Sebaris senyuman terukir di raut tuanya apabila melihat seteko kopi o panas dan sepinggan cucur ikan bilis terhidang di atas meja. Matanya meliar ke sekeliling ruang makan.
"Mak cari siapa?" soal Suhaila yang tiba-tiba muncul dari belakang.
"Ish, budak ni! Terkejut mak," ujar Mariam berpura-pura marah, sambil cuba menutup rasa terperanjatnya. Reaksi Mariam mencetuskan ketawa halus dari bibir Suhaila.
"Eh, cucur ikan bilis!".
Spontan dia mencapai sebiji cucur dan dimasukkan ke dalam mulut. Mariam menggeleng perlahan. Dia mengatur langkah ke dapur, mencari menantunya. Daun pintu dapur ternganga luas. Rasa hairan mengetuk tangkai hati tuanya.
Damia memandang ke kiri dan ke kanan. Kelam. Berbantukan cahaya daripada lampu kalimantang, dia terus memandang dalam kebun pisang milik Mariam. Kemudian, kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan.
"Aku mimpikah?" getus hatinya.
"Damia?" sapa seseorang sambil menepuk bahunya, sekaligus menyentap keberaniannya.
"Allah! Mak, terkejut Mia,".
"Eh, terkejut pula dia! Yang kamu duduk belakang rumah ni kenapa?" giliran Mariam pula menyoalnya. Damia tersengih. Tiba-tiba bulu romanya menegak.
"Tiada apa-apalah mak. Jom, masuk! Sejuk pula malam ni," ujar Damia. Tangannya memaut lengan Mariam dan mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Dalam hatinya, dia membaca Kursi berkali-kali sehingga hatinya tenang dan rasa seramnya hilang.
Bantal ditepuk berkali-kali. Sesekali Azfar menjeling ke arah Damia, yang sedang duduk termenung di birai katil. Seketika sepi menjalari antara mereka. Sama ada Azfar mahupun Damia, masing-masing kekok apabila berdua-duaan.
"Mia," panggil Azfar perlahan. Gadis itu mengalihkan pandangan ke arahnya.
"Ya?".
"Kenapa tak ikut pergi masjid tadi?" tanpa berbasa-basi, dia terus menyoal Damia. Perlahan-lahan rona pipi Damia berubah. Gadis itu kelihatan malu dan serba-salah. Azfar memandang gadis itu dengan penuh rasa ingin tahu dan hairan.
"Kenapa?".
"Sa... saya... saya...," tergagap-gagap Damia mahu menjawab persoalan Azfar. Kepalanya ditundukkan.
"Awak apa? Rugi tak ikut pergi masjid,".
'Encik Azfar, tolonglah faham!' jerit batin Damia.
"Disebabkan awak tak ikut pergi masjid tadi, pergi ambil wuduk dan kita baca Quran sama-sama," ujar Azfar tegas tetapi lembut. Namun Damia masih kaku di birai katil.
"Damia?".
"Saya tak boleh,".
"Eh, semenjak bila awak tak boleh mengaji? Saya kenal awak dari dulu lagi. Elok sahaja awak baca Quran dengan mak,".
"Bukan tidak boleh, tidak pandai mengaji. Saya..... tak boleh... tak booooooleh pegang Al-Quran," balas Damia lembut tetapi sengaja ditekankan perkataan 'Tidak Boleh'. Lama dia merenung gadis di sisinya. Sebelum dia tersenyum bermakna.
"Oh, baiklah! Kiranya ada orang tak puasalah ni? Haha...," usik Azfar.
"Abang!".
"Hahaha... Baiklah. Baiklah. Maaf," ucap Azfar. Tiba-tiba hatinya mencair apabila mendengar panggilan Damia kepadanya.
"Abang,".
"Ya?".
"Saya nak tuntut hadiah saya,".
"Hadiah apa ya?".
"Hadiah sebab saya keliling padang cukup 2.4 kilometer,".
Sebaik sahaja dia mendengar bicara Damia, terhambur ketawa dari bibirnya. "Hadiah apa yang awak nak? Malam-malam pula ni. Ingat, awak tak boleh solat," ujar Azfar kemudian tersenyum bermakna. Dia makin berani mengusik gadis itu apabila rasa kekok kian mengendur antara mereka. Sekali lagi pipi tembam isterinya berubah warna.
"Abang jangan nak mengada,".
"Hahahaha... Apa hadiah awak nak?".
"Abang mampu tunaikan?".
"In sha Allah, kalau dalam kemampuan saya,".
"Bacakan saya ayat-ayat suci Al-Quran sebelum kita tidur, boleh?".
"Oh, kiranya saya jadi hafiz untuk awak setiap malamlah ni?".
"Tiga malam saja," balas Damia lalu tersengih. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia mencubit-cubit pipi Damia.
"Ya. Hadiah untuk isteri saya," akhirnya Azfar menyatakan persetujuannya. Damia tersenyum lebar.
***
Damia tersenyum sendiri. Al-Quran ditatap sayu. Memori Ramadan yang paling indah tetapi dia harus terima hakikat bahawa jodohnya dan Azfar tidak panjang.
Comments
Post a Comment