PROLOG
Bulan purnama penuh menghiasi dada langit. Cahaya yang dihamparkan ke seluruh pelosok langit malam menjadikan kawasan sekeliling cerah. Bayangan pokok-pokok di sekeliling membentuk pelbagai halusinasi. Bagi manusia pengecut, suasana sebegitu cukup untuk menaikkan bulu roma. Namun tidak bagi remaja berusia 15 tahun itu. Dia sedang duduk di beranda rumah, sambil menikmati suasana malam.
Sunyi dan tenang. Kedua-dua orang tuanya sudah lena diulit mimpi.
"Cantiknya bulan malam ni!" bisiknya.
'Kau buat apa tengah malam di luar rumah? Bukankah malam ini malam Jumaat?'.
"Saja. Ambil angin malam,".
'Masuklah!'.
Dia ketawa sendiri. Lucu apabila berdialog dengan dirinya yang penakut.
"Kenapa ya, manusia dan jin tak boleh jadi kawan baik, bulan? Kalau aku diberi peluang, aku nak berkawan dengan jin atau kawan ghaib. Tak salahkan? Bolehlah aku berbual dengan dia. Aku takkan guna dia untuk benda-benda jahat. Mesti seronokkan kalau ada kawan dari kaum jin, kan?" bicaranya sendiri sambil memandang bulan.
'Kau nak kawan dengan kawan yang tak nampak?'.
'Ya,'.
Tidak semena-mena, angin malam bertiup menyapa batang tubuh gadis itu. Sejuk. Namun gadis itu masih duduk di beranda.
'Assalamualaikum,'.
***
Senarai nama tempat untuk praktikum pada tahun terakhir telah dikeluarkan oleh jabatan. Diperhati skrin komputer riba milik sahabatnya.
"Alhamdulillah. Semester ini saya tak perlu menyewa di luar asrama untuk praktikum,".
"Kenapa?".
"Sekolah saya setengah jam sahaja dari asrama. Jadi....,".
"Awak akan ulang aliklah,kan?".
Sahabat merangkap rakan sebiliknya itu tersenyum bahagia. Awatif menjelirkan lidah.
"Awak dapat sekolah mana? Pasangan awak Diana kan?".
"Ya. Entah. Kalau tengok alamat, di......,".
Mata mereka kembali melekat pada skrin komputer, mencari sebaris nama Awatif atau Diana.
"Ini!".
"Padang Besar?".
Seketika, kedua-dua gadis itu terdiam.
"Ini boleh mendatangkan marah!".
"Kenapa?".
"Sudah dua semester saya kena campak merata-rata! Sungai Petani. Penang. Sekarang Perlis? Ya Allah!".
Fadila terdiam. Dia tahu rakannya itu marah.
"Sabarlah, awak! Mungkin ada hikmah awak dan Diana kena pergi sana,".
"Ah, tidak adil! Campur jarak sekolah dua semester lepas bagai, akhirnya?".
Awatif berpaling dan menapak ke arah katilnya. Lalu dihempaskan badannya yang berisi ke atas katil. Fadila memandang rakannya itu. Tidak dinafikan gadis itu sudah dua kali dihantar praktikum di luar kawasan institut atau dengan lebih tepat, di luar daerah. Tidak mahu menambahkan baran rakannya, dia biarkan gadis itu hanyut dalam fikiran dia sendiri. Moga Awatif temui ketenangan dan rasional.
Siling bilik dipandang kosong. Rasa marahnya masih bersisa di hati. Namun, perkara utama yang bermain-main di benaknya sekarang adalah masalah yang ada padanya. Ditambah pula pasangan praktikum ialah Diana, gadis yang berbeza sepertinya juga. Berbeza pada tanggapan golongan yang memahami tetapi mainan perasaan bagi insan yang menganggap perbezaan yang ada padanya adalah benda mengarut.
'Dugaan apakah ini, Ya Allah?'.
Mata dipejam rapat. Cuba untuk berehat. Apabila dia terjaga, dia berharap rasa marahnya hilang.
***
*Imbas Semula*
Kisah 1 - Kembali
Usai mengemaskan barang-barang untuk mengajar esok, Awatif mengambil keputusan untuk tidur. Kepala dijengahkan ke luar pintu. Pasangan praktikumnya juga kelihatan sedang berkemas, tanda bersedia untuk berehat.
"Siap dah?".
"Dah,".
"Saya nak tidur dah,".
"Saya pun. Tapi nak kemaskan sisa-sisa kertas dulu,".
"Ok. Saya tidur dulu,".
Langkah diatur ke arah katil. Badan dihempas di atas katil.
"Akhirnya, boleh rehat!". Jarang benar rasa mengantuk singgah pada matanya.
'Biasanya, kalau mengantuk teruk sangat ini, adalah perkara nak berlaku,' bisik Awatif dalam hati. Namun diabaikan. Perlahan-lahan matanya terpejam.
"Awa?".
"Hm?".
"Saya tutup lampu, ya?".
"Hm," balas Awatif malas.
Pap! Bilik tidur yang dikongsi dengan pasangan praktikumnya, Mona, kelam.
Beberapa ketika kemudian, cahaya putih mengganggu lena Awatif. Kelopak mata dibuka sedikit. Dalam keadaan samar-samar, cahaya lampu kalimantang mencuri masuk melalui celah pintu yang terbuka kecil.
'Kenapa pula Mona keluar bilik tak tutup pintu ni? Silau!' omel Awatif. Malas mahu bersuara, dia mengubah posisi tidur, dari mengiring ke kanan dia menggerakkan tubuh tidur secara menelentang. Lengan diletakkan ke dahi. Rasa mengantuk masih menguasainya.
Tiba-tiba, Awatif rasa ada sesuatu menjalar di perutnya.
'Manja pula Mona malam ni! Tak pernah nak peluk aku,'.
Dia membiarkan perbuatan rakannya. Kemudian, terdetik persoalan di benaknya.
'Sejuknya tangan Mona! Demamkah? Kejap. Bukan dia suka tidur menghadap dindingkah?'.
Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Nalurinya mula membisikkan sesuatu luar biasa.
'Cuba pandang sebelah. Mona bukan keluar bilikkah?'.
Liur ditelan tetapi bagaikan tersekat di tekak. Antara berani dan tidak, perlahan-lahan Awatif menoleh ke arah kiri. Rasa kantuk yang singgah tiba-tiba terbang melayang. Mona ada di sebelahnya dan tidur menghadap dinding. Manakala kedua-dua belah tangan gadis itu sedang memeluk anak patung beruang. Awatif sedar dia sedang diuji dan dipermainkan. Sebaik sahaja menyedari keanehan tangan sejuk di perutnya, 'tangan' itu bergerak perlahan-lahan, bagaikan menggosok-gosok perutnya. Dalam kelam malam, Awatif terkaku dan bagaikan dipaku di katil.
'Memang aku akan kena malam ni!'.
Dia sudah biasa menghadapi situasi seperti itu. Namun sudah lama dia tidak diganggu. Dia sedar, dia akan dipermainkan pada malam itu. Badannya kejang. Mahu bersuara tidak mampu. Dia pasrah. Pada masa yang sama, ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas dalam hatinya dibaca. Biasanya dia akan mendengar hilai tawa sekiranya dia mula membaca ayat-ayat suci Allah itu. Namun berbeza pada malam itu. Tiada hilai tawa mahupun jeritan nyaring. Sebaliknya, kesunyian. Badannya masih kejang. Bermakna dia masih diganggu. Tanpa dijangka, lehernya rasa sejuk. Bagaikan ada sepasang tangan di leher.
'Allah, apa lagi kali ni?'.
Nafasnya sesak. Dia dicekik!
'Lepaskan aku! Allah! Allah!'.
Bacaannya jadi tunggang-langgang. Namun dia tidak putus asa. Sesak. Jantungnya perlukan oksigen.
'Allah! Allah!' berkali-kali hatinya menjerit menyebut nama Yang Maha Esa.
Tidak lama kemudian, cengkaman tangan sejuk di leher kian longgar. Dia dilepaskan! Spontan Awatif bangkit dari pembaringannya. Anak mata meliar ke segenap ceruk bilik tidur yang kelam. Bulu romanya tegak berdiri. Pantas telefon bimbit yang berada di bawah bantal dicapai dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipasang.
Dia cuba untuk tidak menangis. Nafas ditarik dan dihembus berkali-kali sambil bibirnya berselawat. Apabila ketenangan menjengah dalam dirinya, dia baring semula.
'Ya Allah, lindungi hamba Mu ini!'.
Dalam keadaan takut, akhirnya dia terlena, sambil telinganya ditemani dengan bacaan ayat-ayat suci yang berkumandang pada telefon bimbit.
"Awa, bangunlah! Solat dan ke sekolah," kejut Nurul, teman serumahnya, berdiri tegak di hadapan bilik Awatif dan Mona. Perlahan-lahan, mata Awatif terbuka luas.
"Bangun dah?".
"Hm,".
Apabila sudah memastikan rakannya itu sudah terjaga dari lena, dia menapak ke arah bilik tidurnya. Bersiap untuk ke sekolah.
Awatif memandang ke arah kirinya. Kosong. Mungkin Mona sudah bangun dan sedang mandi. Dia memandang siling bilik. Benaknya masih cuba mencerna peristiwa semalam. Realiti atau mimpi? Sayup-sayup kedengaran bacaan Surah Al-Fatihah daripada telefon bimbitnya yang berada di bawah bantal.
'Ah, bukan mimpi semalam!'.
Dengan rasa tidak bermaya, dia bangkit dan duduk di birai katil.
'Allahu. Itu 'benda' rumah ini atau kisah lama aku?'.
"Awa?".
"Ah, Mona! Ya?".
"Pergi mandi,".
"Baiklah,".
Mona memandang sahaja langkah rakannya itu, bagaikan tidak cukup tidur. Telefon bimbit kuning yang berada di tepi bantal Awatif dipandang.
"My God! Dia kena ganggu semalam?".
Keropok goreng dikunyah perlahan-lahan. Seleranya mati pada hari itu. Mona memandang setiap tingkah laku rakannya itu sepanjang hari, bermula dari rumah sewa sehingga di sekolah. Awatif tidak ceria seperti biasa.
"Ladhu,".
"Hm?".
"Are you okay?".
"Okay, I guess. Kenapa?".
Mona diam seketika. Cempedak goreng dikunyah perlahan. Awatif memandang tepat ke dalam anak mata Mona. Mengharap jawapan.
"Awak buka bacaan Al-Quran semalam, sebab kena ganggu,kan?".
Awatif tersengih. Mona mengecilkan matanya, persis seorang penyiasat.
"Okay, okay! You are right!".
"Apa yang berlaku?".
Awatif menarik nafas dalam-dalam. Secara teratur, dia menceritakan semua yang berlaku semalam. Raut muka Mona berubah.
"My God. Betul?".
"Yes. Awak ingat saya tipu?".
"No. I believe you. Patutlah semalam...,".
"Apa yang patutlah?".
"Actually, selepas saya baring sebelah awak, saya nampak awak bangun dan keluar bilik,".
"What?".
"Yes,".
"Tapi saya tak bangun!".
Bibir mereka berdua terkunci rapat. Otak masing-masing cuba mencerna peristiwa semalam.
"Babe,".
"Yes?".
"Petang ni kita balik asrama? I need to relax my mind,".
"Sure, dear. Anything for my Ladhu,".
"Thanks,".
"Assalamualaikum,".
"Waalaikumsalam. Hoi, balik asrama tak beritahu pun!".
"Saja. Buat kejutan buat awak,".
"Ceh!".
Beg komputer riba diletakkan di atas meja belajar. Nafas lega dihembus perlahan. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Jitra memakan masa satu jam lebih. Itu pun dengan kelajuan 140km/j.
"Kenapa tiba-tiba rajin balik asrama ni?".
"Hehe.... Rindu awaklah,".
"Poyo!".
Awatif menjelirkan lidah pada rakan sebiliknya, Fadila. Gadis itu tersengih kemudian menyambung aktivitinya, menghadap komputer riba. Awatif pula merebahkan badan ke atas katil. Perlukah dia menceritakan peristiwa yang berlaku padanya kepada Fadila? Mata dipejam. Tanpa dia sedar, ada sesuatu menantinya. Menanti untuk menggugat rasa beraninya dan menguji keimanannya kepada Yang Maha Satu.
Awatif menoleh ke arah Fadila, dari katilnya. Gadis itu sudah berbaring.
"Awa,".
"Ya?".
"Esok balik ke sana pukul berapa?".
"Pagi kot. Kenapa?".
"Saja. Saya gerak ke Kuala Muda lepas Zohor,".
"Baiklah,".
"Jom, tidur! Awak tak mengantuk lagi?".
"Saya rasa macam nak tidur juga ni. Biarkan lampu meja saya terbuka ya?".
"Baiklah,".
Mata cuba dipejam. Namun dia tidak boleh melenakan diri. Awatif mencapai telefon bimbit yang diletakkan di tepi kepala.
'Amboi, melampau! Setengah jam tak boleh lelapkan mata lagi ni,' omel Awatif dalam hati. Fadila sudah masuk ke dalam dunia mimpi.
'Allahu, jangan malam ni!'.
Naluri lagi satu Awatif membisikkan sesuatu yang tidak menyenangkan. Bagai ada mata memerhati.
'ALLAH!'.
Tiba-tiba, badannya kejang!
'Apa lagi ni?'.
Kepalanya masih mengiring ke kiri. Manakala badannya terlentang kaku. Aneh. Biasanya seluruh badannya akan kejang, bahkan kelopak matanya turut terpejam. Berbeza pada malam itu, matanya boleh dibuka. Dia sedar dan dia masih berada di dalam biliknya. Buktinya? Fadila sedang lena diulit mimpi!
'Alihkan pandangan kau ke atas,' bisik hatinya.
Perlahan-lahan dan dengan rasa berdebar yang kian menggila, Awatif menggerakkan kepalanya.
'Allah! Allah!'.
Hampir luruh jantungnya di saat bebola mata melihat entiti yang sedang terapung di atasnya. Dia tidak mampu untuk bergerak atau bersuara.
'Ingat Allah, Awa!'.
Matanya bagaikan dipasung pada susuk yang melayang di atasnya. Mata mereka saling bertentangan. Buruk! Kain putih lusuh membaluti susuk tubuh yang terapung-apung itu. Rambut panjang mengurai dan memutih. Kulit muka menggerutu dan bertaring. Jari-jemarinya runcing dan berkuku panjang.
Apa-apa sahaja ayat-ayat suci yang terlintas di hatinya, dibaca. Tunggang-langgang. 'Nenek Kebayan' itu menyeringai. Bacaan diteruskan. Kali ini, azan dikumandangkan oleh hati.
Awatif berharap badannya dilepaskan.
Terhenti segala bacaan dalam hatinya apabila 'nenek Kebayan' itu menjilat-jilat muka Awatif. Terpana dia seketika.
'Pergi! Jangan kacau aku!' jerit Awatif dalam hati.
Entiti itu menyeringai lagi sebelum memuntahkan lendir pekat dan hanyir tepat ke muka Awatif. Pandangannya kelam! Darah! Itu darah.
'Allah!'.
Badan Awatif dilepaskankan. Spontan gadis itu bangkit dan menyapu muka yang dirasakan penuh dengan muntah syaitan tersebut! Apabila mata dibuka, tiada apa-apa yang melekat di mukanya. Bahkan nenek kebayan itu juga telah hilang!
Awatif duduk memeluk tubuhnya.
'Jangan menangis, Awa! Jangan menjerit,' pujuk dirinya sendiri. Dengan tangan terketar-ketar, dia mencapai telefon bimbit. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menjadi temannya sehingga Subuh menjelma.
Fadila terkaku di sejadah. Meremang segala bulu romanya apabila mendengar cerita Awatif.
"Maaf, Awa. Saya benar-benar tak sedar,".
"It's okay. Hanya orang yang diganggu sahaja akan merasa,".
Fadila menggosok-gosok lengannya. Awatif tersenyum tawar melihat reaksi Fadila.
"Sudahlah. Jangan fikir lagi. Sudah solatkan?".
"Sudah,".
"Baringlah dulu. Mesti awak tak cukup tidur semalam,".
Awatif mengangguk perlahan. Fadila perasan mata sembap rakannya itu.
Awatif menyeka air mata yang mengalir di pipi.
"Kamu dengar atau tidak apa yang abi kata?".
"Dengar,".
"Sudah! Itu semua mainan perasaan kamu! Mengarut!".
"Kenapa abi tak mahu percaya?".
"Bukan abi tak nak percaya!".
"Habis tu?".
"Itu memang mainan perasaan kamu! Sudah!".
"Ini kali terakhir Awa kongsi cerita masalah ini pada abi! Awa harap abi faham tapi abi tuduh Awa menipu! Kalau abi tak dapat tolong Awa, biar Awa tanggung semua sendiri!".
Tanpa menunggu lama, Awatif mematikan panggilan. Telefon bimbit dicampak ke dalam beg sandang. Esakan kian menjadi-jadi. Dihumbankan muka ke bantal.
Mona yang sedari tadi mencuri-curi dengar dari luar, memberanikan diri menghampiri sahabatnya.
"Awa,".
"Mona!"
Gadis India kelahiran Selangor itu duduk di birai katil. Bahu Awatif diusap perlahan.
"My dad doesn't believe me! Kalau bukan dia, siapa lagi patut saya bercerita?".
"Sabar, dear. Maybe your dad cannot accept this kind of problem that happened to you,".
Awatif menangis dan menangis. Dia lupa. Semakin dia lemah, semakin syaitan suka untuk mempermainkannya.
"Saya tahu siapa boleh tolong saya!".
"Siapa?".
"Assalamualaikum, Awa,".
"Waalaikumsalam, Pak Ngah,".
"Awa sihat? Rasa apa sekarang?".
"Alhamdulillah, Pak Ngah. Beginilah Awa, Pak Ngah,".
"Awa, Pak Ngah mahu beritahu sesuatu ni,".
"Mengenai perkara yang saya minta tolong Pak Ngah itukah?".
"Ya. Pak Ngah nak Awa jangan risau dan dengar baik-baik apa yang Pak Ngah kata ni,".
"Baik,".
"Benda tu benda lama. Datang cari tuannya semula. Buat masa ini, benda itu Pak Ngah dah jauhkan dari kamu. Ingat, masa depan kita tak dapat nak agak,".
"Cari tuan? Awa.....,".
"Ya, cari tuan. Pak Ngah pun.... entahlah. Jaga diri kamu,".
"Hm.. Baiklah Pak Ngah. Terima kasih,".
"Bersyukur pada Allah dan bermohonlah perlindungan pada-nya,".
Talian diputuskan. Awatif memandang skrin telefon dengan pandangan kosong.
'Cari tuan? Takkanlah benda bertahun-tahun lalu kembali semula?'.
(6 Tahun Lalu)
"Anak puan ni, penuh dengan kegelapan. Saya nampak kegelapan mengelilingi dia,".
"Maksud ustazah?".
"Ada sesuatu berdamping dengan dia, suka padanya. Patutlah dia berubah sikap. Garang. Kerap dengar suara-suara yang tidak dapat kita manusia biasa dengar,".
"Ya Allah, ustazah tolong pulihkan anak saya!".
"Dengan izin Allah, dia akan pulih. Cuma saya perlukan puan atau suami puan untuk sediakan beberapa barang untuk pagarkan rumah puan,".
Awatif sekadar mendengar perbualan ummi dan seorang wanita yang bertudung labuh, berbaju kurung dan berkaca mata.
'Aku ada pendamping?'.
Dia termenung. Segala perihal yang berlaku di sekelilingnya tidak penting padanya. Cuma dia rasa penat dan mahu duduk bersendirian.
"Berapa lama ustazah untuk halau benda tu?".
"Inshaallah, seminggu,".
'Kenapa nak halau kawan aku?'.
Sudah seminggu rawatan diteruskan. Pada satu malam, benda itu memunculkan diri di sebelah katil Awatif.
'Kenap kau datang?'.
'Aku kena pergi. Kau lepaskan aku?'.
Awatif sekadar memandang tanpa memberi sebarang respon. Beberapa ketika kemudian, benda itu menghilangkan diri. Pandangan gadis itu kelam.
***
Beg-beg pakaian dibawa masuk ke dalam bilik yang telah disewa untuk tiga bulan. Diana pula sibuk mengeluarkan semua barang yang disumbat ke dalam bonet kereta.
"Hei, Na!".
"Ya?".
"Sekarang kita berdua sahaja di sini. Susah senang kita bersama-sama, tahu?".
"Ya. Kita sama-sama jaga diri masing-masing,".
Awatif tersenyum sendiri. Tanpa mereka meminta atau menjangkakan, tiga bulan yang bakal dilalui akan menguji mental dan keimanan mereka.
Comments
Post a Comment