Skip to main content

ANTARA PERSAHABATAN & PERASAAN

   Mendung petang bagai menggamit kembali memori sewaktu belajar, di awal usia menjejakkan kaki di utara tanah air. Jauh daripada keluarga, keluar daripada norma kampung. Aku membawa bersama-sama hati yang kecewa kerana terpaksa meninggalkan matrikulasi, membawa diri bersendirian tanpa keluarga atau sahabat rapat kerana mendukung pundak serta cita-cita ayah, ingin aku menjadi guru.


   Kisah persahabatan kali ini bermula apabila aku dan dua orang lelaki yang memang rapat atas dasar persahabatan. Di awal perkenalan, aku memang meletakkan batasan, terutama untuk hati aku sendiri. "Mek, jangan melebih-lebih! Ingat, kau ada hati untuk dijaga,". Itulah kalimat yang menjadi penghalang dan penguat untuk aku menjaga hati aku daripada terpesong dan pada ketika itu, aku juga menjaga hati insan lain. Insan yang jauh berada di Pantai Timur ketika itu. Ini kebenaran kisah aku, Azrul (bukan nama sebenar) dan Ikmal (bukan nama sebenar). 


   Pada hari pertama, menjadi rutin setiap institusi pengajian, setiap pelajar wajib mengikuti minggu orientasi. Semasa sesi berkumpul di dewan mengikut opsyen dan kelas, di sinilah kali pertama aku dan Ikmal berkenalan. Namun pada saat itu, aku masih tidak mengambil kisah rakan-rakan lelaki yang satu kuliah denganku. Aku ingat-ingat lupa situasi sebenar semasa di dalam dewan. 

   Tibalah masa, setiap kumpulan mengadakan sesi suai kenal di dalam lingkungan yang lebih kecil, atau dengan kata mudahnya, setiap kumpulan akan berkumpul dalam satu kawasan yang telah ditetapkan oleh mentor masing-masing. Ketika itu, kumpulan aku berkumpul di salah satu bilik di Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ya, di sini aku masih ingat, Ikmal memandang aku tetapi aku abaikan kerana aku hanya menganggap dia memandang aku kerana waktu itu giliran aku untuk memperkenalkan diri. Kenangan ini dipercepatkan, dalam masa yang singkat, aku dan Ikmal berkawan rapat. Sungguh, demi ALLAH, aku tidak pernah menyangka dalam diam, dia meminati aku. Aku tidak pernah sedar kerana aku rasa diri aku tidak layak disayangi oleh mana-mana lelaki dan tingkah laku aku sangat kasar, bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan Ikmal yang sopan pekertinya dan bicaranya. Oh, lupa! Saat aku dan Ikmal berkawan, wujud sengketa antara aku dengan kekasih hati ketika itu. Entahlah, katanya aku tidak cukup baik untuk dia! Biarlah. Namun sengketa antara kami tidak menjadikan aku busuk hati untuk menggunakan Ikmal sebagai tempat melepaskan marah atau melempiaskan dendam kepada kaum lelaki.

   Setiap kali Ikmal memerlukan bantuan, aku dengan rela hati memberi pertolongan. Ya, aku tahu aku bodoh kerana tidak pernah perasan benih-benih sayang mula mekar dalam jiwa Ikmal. Maafkan aku, sesungguhnya maafkan aku. Cuma aku perasan usikan rakan-rakan sekeliling. Cuma waktu itu jiwa aku buta. Buta dengan janji palsu lelaki yang kononnya pilihan keluarga, buta dengan kata-kata negatif dalam benak aku sendiri. Mungkin kita terlalu rapat sehingga ditakdirkan, kita sama-sama memilih Kelab Teater. Mustahil untuk kita berdua memilih kelab sukan atau kelab lain yang lasak kerana kita sama-sama berbadan besar. Kelab Teater, di situlah titik permulaan persahabatan kami bertiga. Ikmal, kau yang kenalkan aku dengan Azrul. Aku harap kau masih ingat, kau yang kenalkan aku dengan sahabatmu sendiri. Percaturan Allah itu mungkin ada rahsia tersirat yang tiada sesiapa pun tahu.
Aku, Ikmal dan Azrul; tiga sekawan yang memang gila. Aku dan Azrul spesis manusia yang bising, yang melawak kasar, suka bergaduh. Manakala Ikmal pula insan yang akan mendamaikan semula ketegangan antara kami. Sekali lagi, sumpah, demi ALLAH, aku tidak tahu malah tidak menyangka persahabatan kita bertiga diuji. 

   Semuanya bermula apabila rombakan kumpulan. Tanpa sebarang pengumuman awal, rombakan kumpulan berlaku dan aku ditakdirkan satu kumpulan dengan Azrul. Namun pada masa itu, tiada masalah buat aku kerana hanya berbeza kumpulan tetapi masih tetap boleh meluangkan masa bersama-sama bukan kerana kita masih dalam kelab yang sama dan institusi yang sama? Itulah silap aku. Silap kerana aku menganggap tidak akan ada khabar angin yang menjatuhkan persahabatan kita bertiga.
Aku dan Azrul, memang tahap kegilaan dan rapat masing-masing di dalam kumpulan memang menjadi bualan. Bukan dalam satu kumpulan tetapi dalam satu institusi. Namun aku abaikan kerana pada aku selagi khabar angin itu tidak benar, untuk apa aku melatah? Itu satu lagi kesilapan aku kerana aku boleh abaikan tetapi tidak bagi Ikmal. Desas-desus mengatakan aku dan Azrul menjalinkan hubungan membuatkan jiwa kau huru-hara. Aku punca kau dan Azrul renggang? AKU? Sedangkan aku tiada apa-apa perasaan untuk kau mahupun Azrul.


   Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, kita bertiga dingin. Kita bertiga jarang lepak bersama-sama. Pada satu tahap, hubungan aku dengan Azrul sendiri dingin. Sehinggalah, Azrul bersemuka dengan aku. "Kita jumpa di astaka. Ada perkara perlu diselesaikan," ujar Azrul pada aku. Ya, seperti biasa, seketul kentang seperti aku hanya mengangguk dan pergi.

   Memori yang tidak akan aku lupa. Aku beranikan diri pergi ke astaka, tanpa sekelumit pun prasangka pada Azrul. Aku tidak bertanya ada orang lain di sana atau tidak. Aku redah gerimis petang. Di astaka, dua batang tubuh sedang tercegat berdiri. Azrul tersengih, manakala Ikmal memandang aku, seperti takut-takut atau malu, entahlah.

   "Ada apa weh?" soal aku tanpa berkias. Aku malas memanjangkan perbualan. Kalian melayan aku persis orang asing beberapa minggu, kemudian ajak aku berbincang bagai tiada masalah antara kita? Sebal betul hati aku ketika itu. Mereka saling berpandangan dan saling siku-menyiku antara satu sama lain. "Cepatlah!" bentakku.

"Ikmal ada perkara nak cakap," balas Azrul. Aku mengangguk kemudia memandang Ikmal, lalu memberi isyarat mata supaya meneruskan perbualan.
"Saya.... suka awak,".
Terjeda aku seketika. Telinga aku salah dengarkah atau ini realiti? Gerimis petang masih membasahi bumi. Spontan aku berpeluk tubuh saat bayu berhembus sayu, membawa bersama-sama udara sejuk.
"Apa? Suka?". Ikmal menundukkan kepala. Entahkan malu entahkan terkejut dengan soalan aku. Azrul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Begini, mek. Ikmal suka kau, sayang kau. Faham tak?" celah Azrul.
"Errr.. saya pun sayang korang!" balas aku laju. Saat itu, otak aku hanya mencerna 'sayang' yang dimaksudkan Ikmal adalah 'sayang' sebagai kawan, kerana jiwa aku sentiasa menafikan hak aku; hak untuk disayangi dan dicintai. Saat ini, aku memang tengah berperang dengan perasaan aku sendiri. Pada benak aku juga terpapar wajah pemilik hati di Pantai Timur. Padahal realitinya kami dalam krisis. Azrul menepuk dahinya sendiri.

"Dia suka kau lebih daripada seorang kawanlah!" ujar Azrul, tegas. Mungkin dia bosan dengan tahap kelembapan otak aku menerima luahan hati Ikmal. Ya, sekali lagi aku terjeda. Rintik-rintik hujan menimpa tanah makin kuat pada pendengaranku. Kali ini, semua mendiamkan diri. Aku gelisah. Ya, jujur aku gelisah dan spontan aku mengalihkan batang tubuh aku ke arah padang. Aku menarik nafas dan menghembus nafas berulang-ulang kali, cuba menenangkan diri.

   Dugaan apakah ini? Ujian apakah ini? Dalam keadaan aku sedang berusaha memulihkan hubungan aku dengan pemilik hati nun jauh di sana, ada insan yang menyukai aku dalam diam. Tidak, dia tidak diam. Mungkin inilah jawapan kepada setiap usikan rakan-rakan sekeliling. Mungkin inilah punca muncul khabar angin bahawa aku orang ketiga dalam persahabatan ini. Apa salah aku? 

"Mek!" berkali-kali Azrul memanggil aku, sehingga aku tersedar daripada lamunan aku sendiri.
"Hm?" soal aku, sekadar memandang muka Azrul. Dia menunjukkan isyarat mata, seolah-olah meminta aku memberi jawapan. Keluhan halus aku lepaskan. Aku menjatuhkan anak mata aku tepat di wajah Ikmal. Aku patut berterus-terang.

"Maafkan saya, Ikmal. Saya minta maaf. Ada hati yang perlu saya jaga. Maaf sebab terbuat awak jatuh hati tanpa sengaja," balasku, selembut yang aku mampu. Aku tahu, dia mahu menangis. Aku tidak menunggu lama, laju aku mengatur langkah meninggalkan astaka. Aku biarkan manik-manik hujan menimpa batang tubuhku. Sengaja menapak perlahan di bawah hujan. Walau aku yang menolak luahan cinta Ikmal tetapi aku faham kesakitan itu.

   Aku rasa bersalah. Aku rasa terbeban kerana aku menjadi punca persahabatan itu menjadi asing, hanya kerana aku menganggap tiada yang akan menyayangi aku dalam diam. Benarlah, antara lelaki dan wanita, mustahil untuk terus kekal menjadi sahabat. Salah seorang akan tersuka tanpa disedari.
   Buat Ikmal dan Azrul, sehingga saat ini, aku masih sayangkan kalian sebagai kawan. Aku faham dalam hati kalian masih ada benci buat aku.

   Untuk Ikmal, aku pernah berdepan dengan kau dan minta kau berterus-terang tetapi kau mengatakan kau baik-baik sahaja. Pesanan ringkas pada rakan-rakan lain, aku tidak pernah mengetahui Ikmal menyukai aku sehinggalah ada yang memberitahu aku. Maafkan aku sebab mengecewakan kawan kalian yang baik itu.

Moga persahabatan yang keruh ini akan jernih semula satu hari nanti. Moga ALLAH melindungi kalian di dunia dan akhirat serta ALLAH murahkan rezeki kalian.

Terima kasih untuk setiap memori indah yang kalian pernah berikan.

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...