Alifa Alifa Alifa
Kaulah gadis jelita
Bilaku berjalan sebelah
Terasa rusuk bergetar
Alifa Alifa Alifa
Kaulah yang mempersona
Bilaku terdengar suaranya
Hatiku terpaut jadi gila
Hafiz tersenyum sendiri, sambil mendengar lagu yang sudah berbelas kali dimainkan oleh pemain muzik di telefon pintarnya. Setiap kali lagu itu dimainkan, dia akan mengubah nama pada lirik asal lagu tersebut.
Sengaja Hafiz merapatkan kelopak matanya, sambil membayangkan susuk tubuh Aisha Alifa.
Ya, kalau pada pandangan nafsu, susuk tubuh Aisha Alifa memang mematikan selera.
Berbeza pada Hafiz, susuk tubuh itu berjaya mencuit hati lelakinya. Sebaris senyuman terukir di bibir Hafiz. Kelopak mata dibuka kembali. Aroma kopi mengganggu fokusnya untuk berkhayal.
Rakan serumahnya sedang duduk di sofa bertentangan, sambil menghirup kopi panas. Keningnya digerakkan ke atas dan ke bawah beberapa kali.
"Kenapa? Ada masalah?" soal Hafiz, acuh tidak acuh.
"Eh, garangnya! Aku tak buat apa-apa pun. Duduk minum kopi sahaja," balas Tahir. Hafiz menjeling. Dari posisi berbaring, Hafiz mengubah posisi duduk menyandar pada sofa.
"Kalau muka kau macam badut begini, mesti ada sesuatu kau nak tanya. Apa kes?" kata Hafiz, memaksa rakannya itu membuka mulut. Tahir ketawa perlahan. Cawan yang berisi kopi panas diletakkan dengan berhati-hati ke atas meja kaca di hadapannya.
"Well, aku dengaq hang tengah angau la ni. Betui ka?" soal Tahir dalam dialek utaranya yang pekat. Spontan Hafiz mencapai bantal dan menekup mukanya. Reaksi lelaki itu membuatkan Tahir ketawa kuat.
"Manusia mana yang cerita pada kau, syaitan?" soal Hafiz antara dengar dan tidak. Tidak lain tidak bukan mesti Idham.
"Kita bertiga sahaja menyewa dalam rumah ini. Jadi... Hahahahaha..... Weh, ceritalah! Siapa? Marka mana berjaya pecahkan tembok batu hang ni? Aku nak tabik kat dia!" cucuk Tahir, cuba mengorek rahsia Hafiz.
"Nantilah. Kalau on, aku cerita pada hang noh!" balas Hafiz.
"Dengan aku pun hang nak berahsia bagai! Aku taboh satgi. Cuba hang kongsi. Aku memang nak tahu sangat ni," tambah Tahir, tidak puas hati dengan jawapan Hafiz. Malas mahu melayan persoalan Tahir, Hafiz bangun. Dia menggeliat, mahu meredakan rasa tegang pada urat-urat badan.
"Cantik tak wei?" Tahir tidak mahu mengalah walaupun Hafiz menunjukkan reaksi tidak mahu bercerita. Hafiz mengangkat bahu, kemudian tersenyum bermakna. Dia menapak ke arah bilik. Namun langkahnya terhenti, lalu menoleh sekilas ke arah Tahir.
"Dia tak cantik pada mata kau tapi pada hati aku, dia sempurna,".
"Ceit, ayat mat jiwang dia keluar sudah!" balas Tahir, lalu ketawa besar. Hafiz tersengih lalu menghilangkan diri dalam bilik.
Walaupun Hafiz berahsia dengannya, dia tahu lelaki itu menemui insan istimewa buat dirinya.
"Lama dah aku tak tengok hang qenyih macam tu Fiz. Harap kau bahagia," monolog Tahir sendiri.
***
Berani
Hafiz menggigit bibir sendiri. Matanya setia menatap skrin telefon pintar, manakala jari-jemarinya sesekali menekan huruf-huruf pada skrin.
'Online'
Sudah lima minit Hafiz sekadar menatap Whatapps yang terpampang gambar Aisha Alifa. Dia ragu-ragu, mahu menegur atau tidak. Taip, padam, taip, padam. Itulah yang dilakukan oleh Hafiz.
"Arghh!" keluh Hafiz, lalu dicampakkan telefon pintar ke sisi.
Lengan kanan diletakkan ke atas dahi.
'Mulakan Fiz. Kalau tidak, kau terlepas. Bila lagi? Malam ni malam minggu. Sekurang-kurangnya kalau tegur malam ni, ada masa dua hari untuk tenangkan hati sebelum masuk kerja semula!' monolog hatinya sendiri. Mungkin cuba mempengaruhi Hafiz supaya berani. Ditarik nafas dalam-dalam, lalu Hafiz mencapai telefonnya semula.
Aisha Alifa sedang melayan pesanan-pesanan yang masuk ke dalam aplikasi Whatapps. Tiba-tiba, dia menerima satu pesanan daripada nombor yang tidak dikenali.
Assalamualaikum. Hai, Cik Aisha Alifa.
Aisha Alifa menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ditekan gambar profil pemilik akaun Whatsapp tersebut. Seketika kemudian, dia tersenyum.
Waalaikummusalam.
Sibuk?
Tak. Kenapa?
Kira kalau saya mengganggu malam minggu Aisha tak mengapalah, ya?
Aisha Alifa tersenyum sendiri. 'Kalau tak boleh, takkan aku layan pula Encik Hafiz oi!' bebel wanita itu dalam hati.
It's okay, Mr. Hafiz. Ada apa saya boleh tolong?
Em... Saya memang perlukan pertolongan Cik Aisha sekarang.
Pertolongan yang bagaimana, ya?
Tolong beri saya kebenaran untuk kenal awak dengan lebih rapat. Please?
Aisha Alifa ketawa sendiri membaca ayat Hafiz. Wanita itu terjeda seketika daripada membalas pesanan Hafiz. Benaknya mencari idea untuk menguji lelaki itu. Beberapa ketika kemudian dia tersenyum dan jari-jemarinya menekan skrin telefon pintar.
Hafiz bangkit dari kerusi dan menapak ke dapur. Tiba-tiba tekaknya terasa haus.
'Apalah jawapan minah bulat tu? Sabar Fiz, sabar!' bisik hatinya. Kedinginan yang menerobos ke wajahnya semasa pintu ais dibuka, membuatkan kehangatan yang terasa sedikit hilang.
Kebenaran untuk berkawan? Apa kata kalau awak minta cop mohor daripada abah saya?
Hafiz mengepung udara dalam pipinya, kemudian menghembus perlahan. Dia tahu wanita itu sengaja mencabarnya.
Cabaran atau apa?
Terpulanglah.
Baik. Kalau abah awak beri saya cop mohor, kira jadi ya?
Aisha Alifa menggigit bibirnya. Dia teragak-agak untuk membalas.
Kita tengok dulu. Kalau abah beri kebenaran, kita fikirkan hal seterusnya.
Hafiz tersenyum bahagia.
Baiklah. Hantar nombor abah awak kepada saya sekarang.
'Beri saja Aisha. Kita tengok sejauh mana keberanian dan kesungguhan dia,' monolog Aisha Alifa sendiri.
Ting!
Petanda ada pesanan masuk ke dalam peti Whatsapp miliknya. Sekali lagi bibirnya mengukir senyum.
"Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih Hafiz!".
Comments
Post a Comment