Skip to main content

Diam-diam Suka (E3)

Jam di pergelangan diperhati. Sudah menjadi tabiat gadis itu,  tiba awal di sesuatu tempat yang dijanjikan. Telefon pintar yang berada dalam beg tangan diambil.
Keluhan halus terbit dari bibir Aisha Alifa apabila tiada satu pun pesanan yang masuk dalam peti simpanan mesej atau Whatapps. Disimpan semula telefonnya ke dalam beg tangan. Malas mahu menjadi tunggul di hadapan medan makan Aman Central,  Aisha Alifa mengatur langkah ke arah kawasan panggung wayang.
Skrin yang memaparkan senarai filem baharu yang akan ditayangkan pada hari ini diperhati satu demi satu.
"Assalamualaikum,". Aisha Alifa menoleh ke sebelah kiri. Spontan senyuman terlakar di bibirnya. "Waalaikummusalam," jawab Aisha Alifa.
"Maaf sayang. Sesak betul dari Jitra tadi," ujar lelaki berkumis nipis itu, jujur. Aisha Alifa tersenyum.
"Tidak mengapalah,  abang. Janji abang selamat sampai, Aisha sudah gembira," balas gadis bertudung merah jambu itu. Mustafa tersenyum lega. Salah satu sikap gadis itu yang disukainya adalah tidak mudah marah tanpa sebab.
"Baiklah,  sebagai hukuman abang lewat sampai, abang belanja sayang makan,".
"Yeah,  terima kasih abang!".
"Sukalah dapat makan, kan?".
"Mestilah. Dapat makan satu hal. Makan pula dengan orang yang tersayang,  dua kali ganda gembira," kata Aisha Alifa sambil melirik manja. Mustafa ketawa perlahan. Masak benar dengan perangai tunang kesayangannya itu. Mereka beriringan ke medan makan.

Aisha Alifa perasan beberapa pasang mata memandang ke arah mereka berdua,  setiap kali selisih. Mungkin Mustafa tidak perasan atau sengaja tidak ambil tahu akan keadaan sekeliling.
"Abang," panggil Aisha Alifa perlahan. Mustafa yang berjalan di sebelahnya menoleh ke arah Aisha Alifa.
"Emm...  Abang perasan atau tidak?".
"Perasan apa sayang?".
"Kalau kita jalan berdua begini,  mesti orang akan pandang semacam," kata Aisha Alifa. Mustafa ketawa kecil mendengar rungutan Aisha Alifa. Dia tidak terus menjawab,  sebaliknya diam dan terus menapak.
"Abang,  dengar atau tidak?".
"Ya,  sayang.  Abang dengar. Jadi, apa yang sayang mahu abang buat? Jerkah mereka supaya jangan pandang kesayangan abang yang debab ini?" usik Mustafa.
Sengaja mahu membuatkan Aisha Alifa bengang. Dia suka melihat reaksi marah manja kesayangannya itu. Ternyata, dia berjaya membuatkan gadis itu membuat mimik muka tidak puas hati.
"Abang saja kan!  Aisha tahu abang faham perkara yang Aisha cuba sampaikan!".
Mustafa ketawa. Dia berhenti menapak, menyebabkan Aisha Alifa juga berhenti daripada terus mengatur langkah. Dia memalingkan tubuhnya dan menghadap gadis itu. Ketinggian Mustafa memaksa Aisha Alifa mendongak sedikit. Seketika anak mata mereka bertentang.
"Aisha Alifa, dengar cakap abang.  Walau apa-apa pun orang fikir atau cakap, abang tetap sayangkan awak. Kalau tidak, abang tidak akan ikat awak seawal ini,  sayang,".
"Abang sayangkan Aisha walau Aisha gemuk begini?".
"Ya sayang.  Sudah,  abaikan pandangan orang lain.  Abang bukannya kacak sangat pun.  Mungkin mereka dengki sebab mereka tiada pasangan secomel dan setinggi kita," balas Mustafa. Aisha Alifa tersenyum puas dan anak matanya merenung ke dalam anak mata Mustafa. Moga hubungan mereka hingga ke jinjang pelamin.

(Sekarang)
Aisha Alifa mengeluh perlahan. Memori antara dia dan Mustafa tiba-tiba menerjah ke dalam ingatan. Skrin komputer dipandang kosong.
Rancangan Pengajaran Harian masih tidak siap. Ini semua gara-gara mimpi semalam. Adakah mimpi itu ada kaitan dengan pengakuan Hafiz?
'Sudahlah,  Aisha Alifa!  Mimpi mainan tidur,  syaitan semua itu!' bisik hatinya. Bagaimanakah pula dengan pengakuan Hafiz? Dia sendiri belum beri jawapan. Pandangan dilemparkan ke luar tingkap. Kehijauan padang sekolah menenangkan benaknya seketika, walau tiada angin yang bertiup.
Setiap bait bicara dan riak wajah Hafiz masih lagi melekat kemas di benaknya.
"Aisha," panggilan Hamidah mengembalikan gadis itu ke dunia nyata. "Errr...  Ya kak?" sahut Aisha Alifa. Hamidah tersenyum. Bahu gadis itu dipaut lembut.
"Buat apa?".
"Tengah siapkan Rancangan Pengajaran Harian. Ada apa-apa saya boleh bantukah?" tanya Aisha Alifa. Jarang Hamidah menegurnya,  tambahan semasa waktu rehat. Hamidah merenung seketika wajah Aisha Alifa,  cuba membaca air muka gadis itu.
"Semenjak akhir-akhir ini,  kakak lihat Aisha seperti ada masalah sahaja,",
"Ya?  Tiada apa-apa, kak," balas Aisha Alifa. Ah, mustahil dia dapat menipu mata orang yang lagi berusia berbandingnya!
"Terus-teranglah, Aisha. Kamu tidak selesa dengan permintaan kakak atau dengan Hafiz selepas dia meluahkan perasaan dia kepada kamu?".
"Allah, maaf kakak!  Saya tiada niat mahu menimbulkan kerisauan dalam hati kakak.  Saya sangat selesa dengan kakak,".
"Cuba jujur dengan kakak. Seminggu dua ini kakak lihat kamu lebih banyak mengelamun," ujar Hamidah bersungguh-sungguh. Aisha Alifa terharu apabila ada yang perasan akan perubahan dirinya. Aisha Alifa menarik nafas dalam-dalam, cuba mengumpul kekuatan.
"Entahlah,  kakak. Saya tidak tahu cara untuk berterus-terang dengan kakak. Terlalu banyak persoalan bermain di benak saya," kata Aisha Alifa, nadanya direndahkan. Tanpa dijemput,  Hamidah mengambil kerusi dan diletakkan di hadapan Aisha Alifa. Dilabuhkan punggung di atas kerusi itu. "Adakah berkaitan dengan Hafiz?" soal Hamidah ingin tahu. Aisha Alifa menggigit bibir. Lambat-lambat dia mengangguk. "Kalau Aisha ada sebarang persoalan, Aisha boleh tanya kakak. In sha Allah,  kakak cuba jawab," tambah Hamidah. Demi merealisasikan hasrat anak saudaranya itu,  dia sanggup menjadi orang tengah.
"Betulkah apa yang diluahkan oleh Cikgu Hafiz tempoh hari?".
"Apa?".
"Dia suka saya. Dia akan cuba tawan hati saya," ujar Aisha Alifa tanpa berselindung. Hamidah ketawa kecil apabila melihat air muka gadis di hadapannya. Polos dan naif. Hamidah mengangguk. Aisha Alifa merenung ke dalam anak mata Hamidah,  cuba mencari kebenaran dalam anggukannya.
"Kenapa saya?".
"Kenapa kamu?  Maksud kamu?".
"Saya....  Kakak tahukan. Saya hanyalah Aisha Alifa. Bukan.... Hmm..  Saya hanya Aisha Alifa yang begini,".
"Baiklah,  Cik Aisha Alifa yang biasa.  Mungkin pada diri kamu, kamu hanya Aisha Alifa yang biasa,  yang begini. Namun pada mata Hafiz, kamu istimewa,".
"Istimewa?  Bahagian manakah yang istimewa?".
Hamidah ketawa lagi.  Aisha Alifa bingung dengan reaksi Hamidah. Wanita separuh usia itu mengusap lembut bahu Aisha Alifa.
"Beginilah. Apa kata Aisha beri peluang kepada Hafiz dan diri kamu sendiri. Semua jawapan untuk persoalan Aisha,  ada pada Hafiz," balas Hamidah. Kemudian,  dia bangkit dan menapak ke luar kelas.

"Aisha,".
"Ya,  kak,".
"Kalau kamu risau dipermainkan Hafiz, kakak cadangkan kamu buang kerisauan itu. Dia bukan jenis lelaki akan kejar wanita tanpa sebab. Sekali dia setia,  dia akan setia hingga hujung nyawa. Dia jenis nekad. Selagi tiada alasan untuk dia putus harapan,  dia akan berusaha," panjang lebar Hamidah bersyarah,  memberi keyakinan kepada Aisha Alifa bahawa anak saudaranya bukan kasanova. Senyuman yang dihadiahkan oleh Hamidah membuatkan Aisha Alifa berfikir sejenak. Nada percakapan Hamidah yakin dan tegas tetapi senyuman yang diberikan sangat lembut dan penuh kemesraan.
Aisha Alifa ditinggalkan bersendirian. Dia meraup mukanya berkali-kali.
'Ya Allah, apakah ini ujian sekali lagi? Apakah aku perlu memberi peluang dan ruang sekali lagi pada lelaki?' soal Aisha Alifa dalam hati.
...

Akibat terlena di bilik sakit,  Aisha Alifa tinggal bersendirian di kelas PPKI. Yang ada hanya pegawai pembantu murid,  Haiza, sedang mengemas bilik aktiviti. Terpisat-pisat Aisha Alifa bangun dan keluar daripada bilik sakit.
"Hah,  Aisha ada lagi! Lena benar tidur ya," sapa Haiza. Aisha Alifa menarik muncung panjang. "Semua orang sudah balikkah kak? Sampai hati tiada sesiapa kejutkan Aisha," omel Aisha Alifa. Dia masuk ke dapur dan membasuh muka di sinki. Haiza ketawa. "Semua cikgu sudah pulang. Kakak mahu kejutkan kamu tetapi Kak Midah cakap usah kejutkan Aisha. Dia kata Aisha nak berehat," ujar Haiza. Ada rasa serba-salah dalam nadanya. Aisha Alifa ketawa perlahan.
"Betullah kata Kak Midah tu,  kak. Hehehe..  Saya balik dulu," kata Aisha Alifa meminta diri untuk pulang. Kak Haiza menunjukan simbol baik. Aisha Alifa melangkah ke meja kerjanya. Usai mengemas semua barang di mejanya,  dia menapak ke luar dan menuju ke arah pejabat. Sudah menjadi kewajipan setiap pekerja untuk 'punch card' sebelum balik.
Tanpa dia sedari,  ada susuk tubuh mengekorinya. Susuk tubuh itu sengaja menyamakan rentak kaki dengan Aisha Alifa.

"Hai," sapa satu suara,  memeranjatkan Aisha Alifa yang sedang mengelamun.
"Allah,  terkejut saya, cikgu!" jerit Aisha Alifa perlahan. Reaksi gadis itu membuatkan lelaki itu tersenyum. "Maaflah. Saya ingat Aisha perasan saya berjalan di belakang," ujarnya,  meminta maaf. Riak muka Aisha Alifa menunjukkan gadis itu terkejut yang bukan dibuat-buat.
"Kenapa cikgu tidak pulang lagi?" soal Aisha Alifa,  cuba mengurangkan debar di dada. Kali ini mereka berjalan beriringan ke arah pejabat. "Hmm.. Saya tengok kereta Saga hitam masih ada di sekolah,  jadi saya tunggulah," balas lelaki itu spontan. Aisha Alifa menjeling. Senyuman bermakna terukir di bibir Hafiz.
"Yalah," celah Aisha Alifa,  tidak percaya.
Mungkin Hafiz mahu bergurau. "Betullah. Manalah tahu,  Cik Aisha ada masalah. Saya tunggulah,  mahu jadi penyelamat," tambah Hafiz. Perbualan mereka terhenti seketika apabila berada di hadapan pejabat. Hafiz membuat isyarat supaya Aisha Alifa mengambil dahulu kad namanya.
Usai meletakkan semula kad di tempat kad, Aisha Alifa menghampiri Hafiz.
"Kalau betul risau, bukan memerhati dari jauh. Mesej boleh,  Whatsapps pun ada," bisik Aisha Alifa. Suara Aisha Alifa yang berbisik itu menimbulkan perasaan lain dalam hati lelakinya. Hafiz tersenyum. Dia faham kiasan yang cuba disampaikan oleh gadis berbadan besar itu.
"Kalau begitu,  berilah nombor awak Cik Aisha," balas Hafiz perlahan. Dia tidak mahu sesiapa mendengar perbualan mereka berdua. Bibir Aisha Alifa kelihatan bergerak-gerak. "Hmm.. Rasanya admin sekolah sudah masukkan saya dalam kumpulan Whatsapp sekolah,  bukan? Cari sendiri," balas Aisha Alifa dan berlalu pergi.
"Cik Aisha!" laung Hafiz dari tingkat atas. Aisha Alifa mendongak. Hafiz mengangkat telefon pintar miliknya paras bahu.
"Jangan tinggalkan tanda biru sahaja selepas baca pesanan saya!".
Aisha Alifa tersenyum bermakna, kemudian mengangkat ibu jari.
Hafiz menggigit bibirnya.
'Hahaha...  Pandai dia main tarik tali, ya,".

Comments

Popular posts from this blog

Diam-diam Suka (E1)

Prolog Terkocoh-kocoh dia melangkah,  menuruni anak-anak tangga. Berbantukan cahaya malap yang terhasil daripada nyalaan lampu siling warna kuning,  dia menapak dengan berhati-hati.  Silap terlangkau satu anak tangga,  mahu tergolek menunggeng. "Aisha Alifa!". "Opocot!". Gadis itu berhenti melangkah,  terkejut dengan sapaan rakan serumahnya. Aisha Alisa menoleh ke belakang. Sesusuk tubuh yang tidak asing baginya berdiri dalam gelap. "Ish,  kau ni kenapa Mila?" tanya Aisha Alisa geram. Mila tersengih nakal. "Kau kalut nak pergi mana? Baru 6.15,". Aisha memandang jam dipergelangan. Tangan kanannya pula membetulkan beg sandang di belakang. "Lewat sikit, jawabnya aku sangkut dalam kesesakan lalulintas nanti," balas Fatimah, kemudian dia mencapai gugusan kunci yang tergantung di tepi pintu. Mila ketawa kecil. "Skemanya bahasa kau. Baiklah,  hati-hati Aisha Alifa," pesan Mila sebelum menghilang masuk ke dapur...

Meniti Kenangan - Kona Leper

Assalamualaikum dan salam rindu dari anak jati Kelantan. Meniti Kenangan; sesuai dengan tajuk utama, entri ini merupakan cebisan-cebisan memori semasa kecil, sebagai kanak-kanak perempuan yang banyak habiskan masa dalam dunia sendiri. Hidup sebagai anak tunggal, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berlatih untuk wujudkan imaginasi sendiri agar aku tidak bosan. Buat mak dan ayah, terima kasih. 😘😘 'Kona leper' adalah satu perkataan dialek Kelantan yang merujuk pada perbuatan.....  Eh, apa ek dalam bahasa Melayu yang betul? Perbuatan apabila melalui suatu selekoh dan sengetkan motor sampai cecah lutut. Apa daaa perkataan tu? 😂😂😂 Pada usia aku, lebih kurang enam atau tujuh tahun, pandai kayuh basikal, menjadi kebiasaan pada aku untuk melakukan lagak ngeri 'kona leper' di selekoh berhampiran rumah lama aku. Setiap petang atau ada sahaja peluang untuk main basikal, itulah aksi ngeri yang wajib aku lakukan. K...

Jom Kenali IPDA

  Khas buat junior2 & para ibu bapa yang dapat tahu anak2 mereka dapat masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman yang terletak kat Jitra ni, atau lebih spesifik lagi Bandar Darulaman. Mula2 saya sendiri pun tertanya2... Camne IPDA ni ya? Tak banyak yang dapat saya share bersama-sama. Hanya sedikit je. Jenguk2lah di bawah ni... (^^,) Bagi sapa2 yang dapat major @ minor pendidikan jasmani di sini, ni lah tempat yang korang akan selalu lepak~ Seminggu minggu suai kenal, kamu akan berada di sini, 1 hari suntuk! Dewan Besar. Best~~~ heheeh~~ di sini saya hanya upload gambar asrama perempuan sebab di sini la ada pejabat kediaman. Asrama lelaki sebelah ye. Padang bola jaring.. Ini sebahagian je... Banyak lagi kawasan padang & gelanggang yang ada di sini. (^^,) Sampai di sinilah sahaja~~ sempena pengambilan pelajar baru, saya perkenalkan serba sedikit mengenai IPDA. Salam perkenalan & sayang.... (^^,) wink...